Friday, January 28, 2011

RIBA : JENIS & ISU BERKAITANNYA PADA MASA KINI

1.0              PENDAHULUAN

Riba ialah sesuatu yang diharamkan oleh Islam secara mutlak. Namun begitu riba tetap menjadi amalan dalam kalangan masyarakat masa kini. Amalan ini banyak diperaktikkan dalam sistem kewangan kita sekaligus turut mengheret umat Islam di Malaysia terlibat dengan riba yang banyak diamalkan dalam sistem bank-bank konvensional terutamanya. Secara tidak disedari amalan riba ini telah lama dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya apabila membuat sesuatu pinjaman dengan syarikat-syarikat kewangan yang tidak mengamalkan sistem pinjaman secara Islam.

            Bangsa Arab jahiliah juga memandang riba sebagai satu perkara yang dibenci seta menganggapnya sebagai satu perbuatan yang kotor. Ini jelas ditunjukkan ketika dinding Baitullah rosak dan kaum Quraisy mahu membinanya semula, mereka berusaha sedaya upaya mengumpulkan dana bagi tujuan itu dan dana tersebut dikumpulkan dari mereka yang tidak mengamalkan riba. Ini bererti pembinaan Kaabah adalah dari hasil yang bersih. Disebabkan jumlah dana yang terkumpul dari mereka yang tidak mengamalkan raba adalah sedikit, maka pembinaan Kaabah itu dikecilkan dan kawasan asal yang tidak dibina semula Kaabah tesebutlah yang dikenali sebagai Hijr Ismail.

            Begitu juga dalam dunia barat, pandangan cerdik pandai teologi mereka mengatakan riba adalah kemusnahan, malah cendekiawan klasik Aristotle suatu masa dahulu pernah mencadangkan untuk mengharamkan riba. Ini disebabkan riba dianggap sesuatu gejala yang tidak sihat. Namun begitu kata-kata itu bagaikan angin mendesir yang hanya lalu di pendengaran mereka sahaja.

Setelah syariat Islam diturunkan, amalan riba menjadi perkara yang amat dititik beratkan oleh Islam sehingga dibenarkan perang terhadap mereka yang mengamalkan riba. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam al-Quran :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ (٢٧٨) فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ فَأۡذَنُواْ بِحَرۡبٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ‌ۖ وَإِن تُبۡتُمۡ فَلَڪُمۡ رُءُوسُ أَمۡوَٲلِڪُمۡ لَا تَظۡلِمُونَ وَلَا تُظۡلَمُونَ (٢٧٩)

Maksudnya : wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibat kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.                        (al-Baqarah : 2 : 278-279) 

                         Rasulullah s.a.w juga mengutuk keras perkara berkaitan riba ini melalui hadis Baginda :
لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم اكل الربا وموكله وكاتبه وشاهده وقال : هم سواء
Maksudnya : Rasulullah s.a.w mengutuk pemakan riba, pemberi riba, penulis dan saksinya seraya bersabda : “Mereka semua sama.”       (riwayat Muslim)


            Sistem kewangan pada masa kini yang dikenal pasti paling banyak mengamalkan riba seperti pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, pinjaman wang, pinjaman pelajaran dan lain-lain. Riba atau dipanggil faedah yang dikenakan ke atas peminjam adalah tinggi, malah jika terlewat membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan maka faedah pinjaman dengan sendirinya akan dinaikkan. 

            Oleh itu, kertas kerja ini akan mengupas serba sedikit apakah itu riba dan perkara yang bersangkutan dengan riba serta isu-isu yang berkait rapat dengan riba yang mungkin telah lama diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia tanpa mereka sedari bahawa ia adalah riba.




2.0              DEFINISI RIBA

2.1              Definisi Dari Sudut Bahasa

Riba dari segi bahasa bermaksud lebih, bertambah dan subur(Hj. Abd Razak Hj. Muhammad : 1997 : hlm. 27). Selain itu ia juga boleh ditakrifkan sebagai pertambahan dan peningkatan (Zaharuddin Abd. Rahman : 2010 : hlm 1). Riba juga ditakrifkan sebagai bunga berganda yang membebankan yang diharamkan oleh Islam(Kamus Dewan Edisi ke 3 : 2002 : hlm. 1137).

Sesetengah kitab fiqh mentakrifkan riba sebagai naik iaitu peningkatan sesuatu untuk suatu tujuan tertentu(Ar-Raudhu Al-Marba’ : 1994 : hlm 298). Pengertian riba dari sudut bahasa juga disebut sebagai menaikkan atau melebihkan sesuatu terhadap orang yang menggunakan sesuatu barang atau perkhidmatan (Al-Mughni : 1997 : hlm. 133).


2.2              Definisi Dari Sudut Istilah Syarak

Syarak mentakrifkan riba itu sebagai suatu akad bagi pertukaran barang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan syarak ketika akad itu, atau diketahui persamaannya dengan menangguhkan kedua-duanya (Hj. Abd Razak Hj. Muhammad : hlm. 27). Terdapat juga tafsiran lain bagi riba iaitu sebarang tambahan dalam item-item tertentu (ribawi) dan tambahan keatas hutang akibat tempoh masa (Zaharuddin Abd. Rahman : hlm 1).

                        Selain itu, sebahagian ulama mentakrifkan riba sebagai peningkatan atau meningkatkan kadar pertukaran dalam akad dalam hal-hal khusus yang diharamkan oleh al-Quran, sunnah Rasulullah s.a.w dan juga ijmak para ulama (Al-Mughni : 1997 : hlm. 133). Riba juga diistilahkan sebagai peningkatan secara bersyarat dalam sesuatu kontrak bebas yang pada asalnya bukanlah berada dalam pertimbangan sesuatu kontrak (Fiqh Muamalat al-Musajjar : 2000 : hlm.18)




3.0              HUKUM TERHADAP RIBA DAN HIKMAH YANG TERKANDUNG DISEBALIKNYA
Islam telah menetapkan satu garis panduan yang jelas dalam sistem muamalat yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh itu amalan riba adalah sesuatu yang dilarang kerana boleh melemahkan ekonomi umat Islam serta pasti ada hikmah disebalik larangan tersebut.

3.1              Hukum Riba
Al-Quran secara jelas mengharamkan riba daripada diamalkan oleh umat Islam. Ini jelas berdasarkan firman Allah berikut :
وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ
Maksudnya : Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.                  (al-Baqarah : 2 : 275)
Rasulullah s.a.w pula ada menyebut perkara berkaitan riba dalam hadis Baginda, yang sabdanya berbunyi :
اجتنبوا السبع الموبقات, قلنا : وما هنّ يا رسول الله؟ قال : الشّحر وقتل النّفس الّتي حرّم الله الاّ بالحق وأكل الرّبا وأكل مال اليتيم والتّوالى يوم الزّحف وقدف المؤمنات الغافلات المؤمنات.
Maksudnya : hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan. Kami bertanya apakah perkara-perkara itu ya Rasulullah? Baginda menjawab : mensyirikkan (menyekutukan) Allah (dengan yang lain), melakukan sihir, membunuh manusia yang Allah haramkan (dari membunuhnya) melainkan dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari peperangan (semasa peperangan sedang berlaku) dan menuduh perempuan mukhsan lali (dari melakukan zina) lagi mukmin dengan melakukan zina.
            Berdasarkan firman Allah s.w.t dan juga hadis daripada Nabi s.a.w di atas maka telah jelas kepada kita sebagai seorang muslim bahawa riba merupakan satu amalan atau perbuatan yang dilarang keras dan diharamkan daripada melakukannya.

3.2              Hikmah Disebalik Pengharaman Riba
Sebagai seorang muslim, kita perlu yakin bahawa setiap apa yang dilarang oleh Allah s.w.t pasti ada hikmah disebaliknya terutamanya dalam hal yang berkait dengan kepentingan umum seperti sistem muamalat ini.
            Amalan riba riba boleh menyebabkan kemudaratan atau keruntuhan akhlak dan sikap seseorang individu muslim. Jika dilihat Islam menganjurkan agar umatnya hidup dalam keadaan saling         sayang-menyayangi serta tolong-menolong antara satu sama lain. Amalan riba adalah satu amalan yang boleh menyebabkan satu pihak yang lain akan tertindas. Ini telah terpesong dari akhlak yang di ajar oleh Islam kepada kita. Malah amalan ini akan melunturkan perasaan kasih sayang sesama muslim malah sebaliknya menyuburkan perasaan cinta terhadap harta benda. Jika amalan ini dibiarkan berleluasa, ia bukan sahaja menindas golongan yang kurang berkemampuan malah sifat tamak akan meguasai diri pemilik harta.

            Selain kesan kepada individu, amalan riba juga boleh memudaratkan masyarakat. Hal ini kerana amalan riba akan melebarkan jurang antara golongan yang berada dengan golongan yang kurang mampu atau miskin. Riba merupakan satu penindasan terhadap orang-orang miskin kerana ia hanya akan dibebani dengan hutang atau faedah daripada sesuatu muamalat manakala golongan yang kaya akan terus mengaut keuntungan daripada kesusahan orang lain. Ini sudah pasti akan menimbulkan jurang dalam kalangan masyarakat iaitu orang miskin akan membenci orang yang kaya manakala orang kaya pula akan terus menindas orang miskin.
            Disamping itu, amalan riba juga akan menyuburkan sikap malas bekerja dan kurang dinamik. Sikap ini bukanlah satu sikap yang baik dan tidak sepatutnya berada dalam diri umat Islam kerana ia bukanlah satu akhlak yang didik oleh Rasulullah s.a.w. Dengan adanya riba, masyarakat hanya akan menjalankan jual beli yang membolehkan mereka mengaut keuntungan dengan cara yang mudah. Islam tidak menerima konsep untung tanpa bekerja keras. Ini bertepatan dengan sabda Baginda Nabi s.a.w (Zaharuddin Abd Rahman: hlm 4):
الخراج بالضّمان
Maksudnya : “(Bagi mendapatkan) keuntungan (hasil pelaburan) mesti dengan menghadapi risiko (dan jaminan barang yang dijual adalah selamat – bermakna tiada untug tetap dijanjikan).”
                        Berdasarkan kesan-kesan yang akan timbul akibat daripada riba jadi wajarlah amalan ini diharamkan dan inilah hikmah disebalik pengharaman tersebut.




4.0              JENIS-JENIS RIBA

Berkaitan pembahagian jenis-jenis riba ulama mempunyai pandangan yang berbeza. Ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali membahagikan riba kepada dua jenis manakala ulama mazhab Syafie pula membahagikan riba kepada tiga bahagian.


4.1              Riba al-Fadhl ( الفضل )
Riba al-fadhl ialah berjual beli atau bertukar di antara dua item ribawi yang sama jenis dengan kadar berat yang berbeza (jika dijual secara timbang) atau kuantitinya (jika dijual secara bilangan kuantiti). Riba al-fadhl juga juga ditakrifkan sebagai riba penambahan iaitu setiap penambahan tanpa pengganti dalam tukar menukar barang dengan barang lain yang sama (Dr. Ahmad Muhammad al-‘Assal & Dr. Fathi Ahmad Abdul Karim : hlm. 50).
            Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang riba al-fadhl, disini dibawakan satu contoh berkaitan riba jenis ini (Zaharuddin Abd Rahman : hlm 25) :
Seseorang menukar 5 gram emas (jenis 916) dengan 6 gram emas (jenis kualiti 750). Hukumnya menjadi haram kerana sepatutnya kedua-dua emas itu mesti sama berat iaitu 5 gram. Apabila beratnya berbeza, ia jatuh dalam hokum riba.
            Sabda Nabi s.a.w berkaitan pengharamannya ialah (Ar-Raudhu Al-Marba’ : 1994 : hlm. 2980 :
الذّهب بالذهب والقضة بالقضة والبر بالبر والشعير بالشعير والتمر بالتمر والملح بالملح مثلا بمثل سواء لسواء يدا بيد. فمن زاد أواستزاد فقد أربى. فاءذا اختلفت هذه الاجناس فبيعوا كيف شئتم
Maksudnya : emas bertukar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, jelai dengan jelai, kurma dengan kurma dan garam dengan garam, yang sama dengan yang sama, yang serupa dengan yang serupa, tunai dengan tunai. Maka barang sapa menambah atau meminta tambahan, dia telah melakukan riba. Apabila jenis-jenis ini berlainan antara satu dengan yang lain, maka berjual belilah sebagaimana yang engkau mahu. (Riwayat Ahmad & Muslim.
Menurut hadis di atas, apabila melakukan transaksi dalam komoditi-komoditi di atas, hendaklah kita melakukannya tanpa ada tambahan dari mana-mana belah pihak, bererti sama timbangan dan kadarnya serta pertukaran tersebut dilakukan on the spot sekiranya dua barang yang ditukarkan itu sama jenisnya. Sekiranya berlainan jenisnya akan tetapi masih dalam kategori di atas, hendaklah pertukaran dilakukan secara on the spot sahaja tanpa perlu mengikut syarat-syarat persamaan dari kadarnya.
            Walaubagaimanapun ulama berbeza pendapat dalam menentukan komoditi yang tertakluk dengan syarat pertukaran sama kadar dan secara spontan. Ulama Zahiri berpendapat komoditi yang tertakluk adalah hanya 6 komoditi yang disebutkan dalam hadis. Manakala mazhab fiqh yang lain berpendapat, pengharaman riba ini bukan tertakuluk kepada 6 komoditi itu sahaja, akan tetapi apa-apa sahaja komoditi yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan 6 komoditi tersebut. Ulama Maliki berpendapat pertukaran yang tidak sama nilainya antara emas dan emas serta perak dengan perak adalah dilarang kerana ianya termasuk dalam kategori wang (medium pertukaran). Mereka juga berpendapat komoditi yang tertakuluk kepada riba al-Fadhl ini adalah mana-mana komoditi makanan yang boleh disimpan berdasarkan analogi yang diambil daripada hadis.
Ulama Syafie dan Hambali bersependapat dalam hujah ulama Maliki mengenai emas dan perak akan tetapi tidak bersependapat dalam hal komoditi-komoditi lain yang mana Ulama Maliki menegaskan komoditi makanan yang boleh disimpan termasuk dalam komoditi yang berkaitan dengan riba al-Fadhl. Manakala Ulama Hanafi berhujah bahawa komoditi-komoditi yang boleh terlibat dengan riba al-Fadhl tidak hanya tertumpu dengan apa yang disebut di dalam hadis, akan tetapi boleh dikembangkan kepada semua komoditi yang kebiasaannya dijual menggunakan ukuran dan timbangan.

4.2              Riba Nasi’ah (النسيئة)
Riba Nasi’ah ialah adalah tambahan yang diambil kerana penundaan pembayaran hutang di mana hutang itu sepatutnya dibayarkan pada tempoh yang tertentu, akan tetapi dilewatkan pembayaran hutang kepada tempoh yang baru . Menurut pandangan alim ulama riba nasi’ah ialah riba yang yang dibayar lebih kerana dilambatkan pembayarannya iaitu caj tambahan atau membayar balik pinjaman melebihi jumlah pinjaman yang dibuat kerana melambatkan pembayaran (Hj Abd Razak Hj. Muhammad : hlm 28). Selain itu, ia juga disebut sebagai riba nasi’ah kerana pemiutang meningkatkan nilai hutang apabila penghutang gagal membayarnya untuk satu-satu tempoh masa (Fiqh Muamalat : hlm. 19).
Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkaitan riba nasi’ah, di sini disertakan satu contoh yang boleh menjelaskannya :
Adli berhutang dengan Ismail sebanyak RM 100 dan berjanji akan membayar hutang RM 100 itu dalam tempoh sebulan akan datang. Namun begitu, apabila genap tempoh sebulan itu, Adli tidak mampu membayar hutangnya dan meminta untuk dilewatkan sedikit waktu untuk dia membayar hutangnya. Oleh kerana penangguhan itu, Ismail meminta Adli membayar RM 120 kepadanya. RM 20 ini merupakan tambahan akibat kelewatan pembayaran hutang tersebut dan dikenali sebagai Riba an-Nasii`ah.
Dalam membincangkan jenis-jenis riba ini, ulama mazhab Syafie menambah satu lagi jenis riba iaitu riba al-yad.

4.3       Riba al-Yadd (اليد)
Riba al-Yadd ialah riba yang berlaku akibat penangguhan dalam pertukaran barang-barang. Contoh dibawah akan menjelaskan bagaimana riba al-yadd boleh berlaku :

Yusof menjual kereta kepada Syahmi. Mereka telah berakad bahawa Yusof menjualnya dengan harga RM 30 ribu. Mereka berdua berpisah dari majlis akad dan Syahmi telah menangguhkan pembayaran. Apabila Syahmi ingin membayar hutang pembelian kereta tersebut kepada Yusof, Yusof telah minta RM 32 ribu daripadanya, lebih daripada apa yang telah dipersetujui dalam akad.



5.0       ISU-ISU SEMASA MENGENAI PERSOLAN RIBA
Beberapa perkara telah dikenal pasti dalam isu riba. Hal-hal sebegini timbul dalam kalangan masyarakat hari ini berikutan kesedaran masyarakat mengenai sistem riba yang diguna pakai dalam sistem ekonomi hari ini.

5.1       Riba dalam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN)
PTPTN ialah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan pembiayaan pendidikan para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. Ia ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 bagi menggantikan peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sebelum ini menyalurkan bantuan pembiayaan pendidikan untuk para pelajar.
Kelayakan pelajar untuk diberikan pinjaman adalah bergantung kepada tahap kemampuan kewangan keluarga dan mereka mestilah mengikuti program pengajian sepenuh masa pada peringkat ijazah pertama dan diploma (pra ijazah) di mana-mana institusi pengajian tinggi. Pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengambil kontrak pinjaman PTPTN bernilai RM 19000 diwajibkan membayar balik sebanyak RM 23,083.89 setelah ditambah lebihan 3% bagi tempoh pembayaran 10 tahun. Manakala bagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mengambil pinjaman sebanyak RM 60000 selama tiga tahun dikenakan bayaran  balik sebanyak RM 87, 261.17.
 Bayaran balik pinjaman pendidikan boleh dibuat secara ansuran bulanan untuk selama 10 hingga 20 tahun. Ia hendaklah mula dibuat selepas enam bulan tamat pengajian atau apabila mendapat pekerjaan, mana yang terdahulu. Bayaran balik hendaklah dibuat melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dilantik oleh kerajaan sebagai agen pemungut bagi pihak PTPTN. Bayaran balik juga boleh dibuat melalui lain-lain cara asalkan ianya dipersetujui oleh PTPTN. Pihak PTPTN sedia menerima bayaran yang dibuat secara sekaligus atau dalam apa jua amaun asalkan ianya tidak kurang dari amaun yang telah dipersetujui melalui surat perjanjian. Bayaran balik pinjaman mengandungi amaun pinjaman pokok serta kos pentadbiran yang dikenakan sebanyak 3% setahun berdasarkan baki setiap bulan. (PTPTN, http// www.ptptn.gov.my)
Para fuqaha berpendapat bahawa dalam hukum Islam adalah dilarang keras meminjamkan wang dengan menggunakan sebarang tambahan. Apabila kita meminjam sama ada untuk kepentingan peribadi atau tujuan komersil, kita wajib mengembalikan wang itu sahaja dan tidak sesen pun lebih daripada itu. Pinjaman PTPTN merupakan satu kontrak di antara pelajar dan pihak PTPTN yang bertanggungjawab menyediakan bantuan kewangan atau pinjaman bagi para pelajar yang layak. Maka disini jelaslah bahawa kontrak yang berlaku di antara pelajar dan pihak PTPTN adalah kontrak hutang. Islam amat menitikberatkan umatnya agar berhati-hati ketika terlibat dalam urusniaga yang melibatkan hutang. Ini adalah kerana semua pinjaman bersyarat terlebih dahulu dalam menetapkan keuntungan adalah riba dan sebarang penambahan pada jumlah pokok hutang adalah dilarang sama sekali oleh Islam. Ini adalah bersesuaian dengan ayat Al Quran. Firman Allah S.W.T :

وَإِن تُبۡتُمۡ فَلَڪُمۡ رُءُوسُ أَمۡوَٲلِڪُمۡ لَا تَظۡلِمُونَ وَلَا تُظۡلَمُونَ

Maksudnya :”  Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan demikian) kamu tidak melakukan zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”                                                                 (al- Baqarah 2:279)

Ayat di atas dengan jelas menyatakan bahawa selebihnya daripada pokok pinjaman adalah riba, baik sedikit ataupun banyak. Bersepakat para fuqaha bahawa Islam mengharamkan riba tanpa sebarang syarat. Perintah larangan ini mencakupi semua lebihan atau tambahan ke atas wang pinjaman.
Dalam hal ini,  wujud segolongan masyarakat yang mengatakan bahawa riba yang diharamkan adalah jumlah faedah yang mempunyai sifat berganda-ganda sahaja, manakala faedah yang sedikit misalnya tiga peratus seperti yang dikenakan PTPTN ini tidak termasuk dalam riba yang dilarangkerana ia tidak membebankan dan tidak menindas. Mereka berhujah dengan mengatakan bahawa Islam hanya mengharamkan riba yang berganda-ganda sahaja berdasarkan ayat firman Allah S.W.T :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡڪُلُواْ ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضۡعَـٰفً۬ا مُّضَـٰعَفَةً۬‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan atau mengambil riba berlipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya. Dan peliharalah diri kamu dari api neraka yang disediakan bagi orang-orang kafir”.
                                                                                                                                                                                                                                                                            (Ali-Imran 3:130)
Oleh itu, pendapat yang mengatakan riba diharamkan bagi yang bersifat ad’af mudho’afah adalah juga tidak berasas. Sebenarnya pengharaman riba ad’af mudho’afah melalui ayat 130 surah ali-Imran (wahyu ketiga dalam siri ayat-ayat yang diturunkan mengenai riba) bukanlah bersifat mutlak. Ayat ini bukanlah bertujuan mengkhususkan jenis riba yang diharamkan kerana ia diwahyukan lebih awal dari ayat terakhir mengenai riba iaitu ayat 275-281 surah al-Baqarah. Ayat riba terakhir ini secara terang mengharamkan apa jua bentuk riba tidak kira samada ianya berlipat kali ganda atau tidak. Tambahan pula ramai pentafsir berpendapat bahawa perkataan ad’af mudho’afah tidaklah menunjukkan sifat kadar bunga itu, sebaliknya ia menunjukkan arah aliran bunga yang bersifat mengikut tempoh masa pinjaman yang dibuat.                            (Ab. Mu’min Ab Ghani, 1993: hlm.267)

Seandainya kita bersetuju dengan pandangan oleh pihak ini yang menyatakan bahawa riba yang tinggi sahaja diharamkan maka riba yang rendah dibolehkan. Kini wujud persoalan bagaimana kita dapat membezakan kadar riba yang tinggi dengan kadar riba yang rendah? Di samping itu, pengertian besar atau kecilnya riba itu adalah sangat relatif untuk dibincangkan. Berapa ukuran yang biasanya dijadikan sebagai standard besar atau kecilnya riba itu? (Afzal ur Rahman 1994 : hlm.75).   Menurut Dr Muhammad Abd Allah Darraz Rahimahullah, lafaz ad’af mudho’afah dalam ayat tadi mungkin boleh diertikan mencapai enam puluh peratus. Ini adalah kerana lafaz ad’af mudho’afah itu sendiri berbentuk jamak (menunjukan bilangan yang lebih dari tiga). Memang amat sukar untuk menentukan antara keduanya. Ini adalah kerana kemungkinan wujud keadaan apa yang dianggap sebagai kadar bunga biasa yang adil oleh satu pihak pada satu masa, tetapi dianggap sebagai kadar bunga yang terlalu tinggi oleh pihak yang sama pada masa yang lain atau pihak yang lain pada masa yang sama.
Jelaslah bahawa perbezaan di antara dua istilah (riba yang tinggi dan riba yang rendah)  ini bukanlah perbezaan dari segi jenis tetapi ia merupakan perbezaan dari segi tingkat kadar bunga yang berubah dengan mudah melalui peredaran masa (tempat) kerana apa yang dianggap kadar bunga yang terlalu tinggi pada hari ini mungkin kan dianggap sebagai kadar yang berpatutan pada hari esok.  Oleh yang demikian Islam tetap mengharamkan serta tidak membezakan di antara riba yang rendah kadarnya dan yang tinggi kadarnya. (Azlan Khalili Shamsudin 1988: hlm.12)
Jika pihak PTPTN mengenakan kadar 3 peratus itu sebagai untuk menampung kos perkhidmatan maka para ulama mempunyai pendapat mereka bagi masalah ini. Memang kita sedia maklum bahawa PTPTN adalah merupakan salah sebuah institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan. Sesebuah institusi tidak dikendalikan oleh seorang individu tetapi ianya melibatkan ramai individu yang bekerja dibawahnya. Bukan itu sahaja, sesebuah institusi juga memerlukan banyak kos bagi menguruskan gaji pekerjanya, sewa bangunan, kos pengurusan dan bermacam-macam lagi. Oleh itu sekiranya PTPTN hendak mengenakan kos pengurusan, ia dibolehkan sebab ia bukannya pertambahan yang diambil kerana penangguhan masa tetapi untuk menampung kos pengurusan itu sendiri. Realitinya ulama zaman dahulu membincangkan aspek pinjaman tanpa ada perbincangan khusus tentang kos dan sebagainya kerana kebiasaannya pada zaman dahulu urusan hutang itu melibatkan antara individu dengan individu sahaja dengan tidak melibatkan kos. Tetapi sekiranya melibatkan antara satu institusi dengan institusi yang lain atau ianya dikendalikan oleh sebuah institusi maka ia melibatkan kos. Dalam keadaan ini kos pengurusan boleh dikenakan dan ia ditanggung oleh peminjam. Selagimana kos itu munasabah atau sebesar mana angkanya pun (jika ia merupakan kos sebenar) maka ianya halal.
Terdapat beberapa perbezaan pandangan ulama dalam isu berkenaan riba dalam PTPTN. Antaranya  penambahan tiga peratus ke atas jumlah modal menurut sesetengah ulama adalah riba (faedah) yang dikenakan oleh pemberi hutang terhadap penghutang.  Hutang PTPTN boleh dikelaskan sebagai pinjaman penggunaan (consumption loan) dan bukannya pinjaman produktif (productive loan). Pinjaman penggunaan bertujuan kegunaan harian seperti kos-kos penginapan, makanan, alat bantuan belajar dan sebagainya. Manakala pinjaman produktif bertujuan pelaburan atau modal untuk memulakan perniagaan seperti yang diberikan oleh bank kepada pelabur-pelabur dan ahli perniagaan. Dengan ini penghutang mendapat faedah yang besar daripada pelaburan hasil wang pinjaman tersebut. Sesetengah ulama menyatakan pinjaman produktif yang wujud pada masa ini terkeluar daripada maksud riba yang diharamkan kerana pemiutang wajar meminta sedikit pulangan atau lebihan bayaran atas keuntungan yang diperolehi oleh penghutang. Namun begitu, lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman penggunaan seperti PTPTN tertakluk dalam hukum riba - kerana pinjaman penggunaan bertujuan sebagai perbelanjaan hangus dan bukannya untuk pelaburan yang boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang. Kos perkhidmatan juga lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman yang berbentuk penggunaan harian bagi tujuan pendidikan dan pembelajaran dikira riba dan satu bentuk penindasan. Penindasan itu ternyata berlaku dalam pinjaman penggunaan sahaja kerana orang yang berhutang (pelajar) terdesak untuk memenuhi keperluan hariannya, sementara pemberi hutang (PTPTN) pula mengambil kesempatan mengenakan kadar bunga yang tinggi yang berbentuk menindas.
Bagaimanapun, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi mempunyai pandangan yang berbeza. Menurutnya, lebihan tiga peratus ini adalah jumlah untuk menyamakan nilai mata wang bagi sepuluh tahun akan datang. Nilai RM10 tahun ini tidak sama nilainya dengan RM10 untuk sepuluh tahun akan datang. Maka lebihan tiga peratus ini adalah jumlah untuk menyamakan nilai tersebut pada masa akan datang. Beliau menggunakan teori “nilai barangan yang lebih rendah pada masa depan berbanding nilai sekarang”. Lebihan yang disebut agio ini merupakan nilai yang ditambah kepada pinjaman modal pada masa pembayarannya sebagai usaha untuk menyamakannya dengan nilai asal pinjaman modal. Dengan kata lain, bunga adalah sama dengan perbezaan (dari segi psikologi dan bukannya ekonomi) antara barangan masa kini dengan barangan masa depan. Sementara PTPTN pula mendakwa kadar itu sebagai kos perkhidmatan dan wang untuk pusingan modal bagi memenuhi tuntutan pelajar akan datang.
Sementara itu,  bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Hashim Yahya secara lisan mengakui kadar itu adalah riba berdasarkan illah yang terdapat dalam pinjaman berkenaan. Ringkasnya, bolehlah dikatakan sebarang jumlah terakru (accrued) yang ditambahkan kepada jumlah pokok merupakan riba yang diharamkan walau apa alasan sekalipun (sama ada disebut kos perkhidmatan atau pusingan modal) selagi ia melibatkan urus niaga pinjaman. Namun ada ulama berpendapat, lebihan tersebut dibenarkan sebagai upah penulis hutang dan kos penyelenggaraan. Ada juga ulama, misalnya Ibn Hazm daripada mazhab al-Zahiri, berpendapat bahawa riba yang wujud pada hari ini tidak sama dengan yang wujud pada zaman Rasulullah s.a.w kerana berlainan komoditi seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w. Antara komoditi yang terlibat dalam hukum riba ialah emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam. Oleh kerana wang ringgit hanya wujud pada zaman sekarang, maka lebihan yang berlaku tidak dikira riba dan mereka meragui kesahihan illah yang digunakan dalam pembinaan hukum Islam melalui proses qiyas
 Pemikir-pemikir Islam masa kini seperti Al-Maududi, Mufti Shafi, Fazlur Rahman dan lain-lain lagi menolak pandangan ini. Mereka berpendapat jika prinsip ini diterima pakai, maka masalah yang sama akan timbul, misalnya tentang jenis-jenis judi dan arak yang menggunakan pelbagai jenama sekarang iaitu ianya mestilah diisytiharkan halal kerana jenama-jenama ini tidak terdapat pada zaman Rasulullah. Cuma harus diingatkan bahawa asalnya pinjaman yang dibenarkan oleh Islam berdasarkan konsep at-ta’awun (kerjasama atau bantu-membantu) iaitu golongan kaya menolong orang miskin dan begitu juga peranannya kerajaan terhadap pelajar.
Pihak kerajaan atau PTPTN  sendiri boleh mengelakkan masalah riba sekiranya kadar yang diwajibkan oleh PTPTN boleh dikatakan bukan riba dengan syarat ia dibuktikan dengan sejelas-jelasnya sebagai kos perkhidmatan dan bukan untuk menambah modal atau untung. Dalam kes PTPTN ini, jika pihak pengurusannya ingin mengenakan kos pengurusan ke atas pinjaman yang diberikan, ia adalah dibolehkan. Ini adalah kerana pertambahan ini bukan diambil berasaskan kepada penangguhan masa akan tetapi ia adalah untuk menampung kos pengurusan itu sendiri. Seterusnya, kerajaan mesti bertindak untuk menukar kontrak (akad) hutang yang sedia ada dalam PTPTN kepada akad jual beli. Dalam erti kata lain, kerajaan menjual perkhidmatan. Seperti yang kita ketahui transaksi bai’ boleh diambil keuntungan. Oleh itu mengapa perlu mengguna akad qard sedangkan hutang perlu bayar jumlah pokok sahaja. Jika tidak, ia akan dianggap sebagai riba.
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 28 Julai 2008 telah membincangkan “Kajian Pelaksanaan Pembiayaan Pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Berasaskan Kontrak Ju’alah”. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1.      Bersetuju dengan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh PTPTN kepada pelajar atas konsep upah (Ujrah) dengan kadar yang munasabah dan tidak membebankan pelajar.
2.      Pihak PTPTN boleh mengenakan pampasan (ta’widh) kepada pelajar yang telah mendapat pekerjaan tetap dan berkemampuan daripada aspek kewangan tetapi sengaja tidak mahu membayar semula pembiayaan PTPTN. Bagi pelajar yang tidak mempunyai kerja tetap dan tidak berkemampuan daripada aspek kewangan tidak dikenakan pampasan.
3.      Pihak PTPTN hendaklah memberikan rebat (ibra’) kepada pelajar yang berjaya melangsaikan pembiayaan lebih awal daripada tamat tempoh perjanjian
4.      Bersetuju supaya pembiayaan PTPTN berasaskan konsep upah ini diaplikasikan kepada semua kategori pelajar di setiap peringkat pengajian dan terpakai kepada seluruh pelajar tanpa mengira agama dan bangsa. ( http//www.e-fatwa.com)


5.2       Wang Riba Boleh Di Serah Kepada Baitulmal

Tidak syak lagi bahawa wang faedah atau “interest” yang diberikan oleh mana-mana bank konvensional adalah ditegah dan haram hukumnya seseorang mengambil dan menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadinya atau keluarganya seperti membeli makanan, pakaian, tempat tinggal atau menggunakan wang itu untuk membayar hutangnya, walaupun orang yang memberi hutang itu bukan Islam atau untuk membayar hutangnya, walaupun orang yang memberi hutang itu bukan Islam atau untuk membayar cukai, termasuk cukai pendapatan.
Sikap sesetengah orang tidak mahu mengambil wang “interest” dan membiarkannya terus berada di dalam bank adalah juga salah dalam ajaran Islam kerana ini bermakna dia mengukuhkan lagi kedudukan bank ribawi serta menolong dan membantu berkembangnya maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.  Lebih malang lagi bagi umat Islam yang menyimpan wang mereka di bank luar negara seperti di Eropah atau Amerika dan tidak mengambil faedah “Interest” di mana akhirnya wang itu digunakan oleh bank itu bagi membantu pertubuhan-pertubuhan Kristian dan Yahudi yang berada di negara-negara Islam bagi memantapkan lagi usaha mereka untuk mengkristiankan umat Islam atau sekurang-kurangnya membuat pelbagai kegiatan bagi melemahkan keimanan umat Islam dan seterusnya terpesong daripada ajaran Islam.
Oleh itu, wang faedah atau “interest” hendaklah diambil dan diserahkan kepada Baitulmal untuk dibelanjakan dan membiayai projek-projek kebajikan umum seperti membantu fakir miskin, anak-anak yatim, membuat jambatan, jalan dan seumpamanya.
Kesimpulannya, ada empat hukum berkaitan penggunaan wang “interest” atau mana-mana wang daripada sumber haram, iaitu mengambil dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi hukumnya haram, membiarkannya tersimpan dalam bank juga hukumnya haram, mengambil dan merosakkannya seperti dibakar atau dibuang ke laut, juga hukumnya haram dan mengambil dan menyerahkannya kepada Baitulmal, inilah yang dituntut.
Satu hal yang saya ingin jelaskan disini bahawa penggunaan wang itu pada urusan kebajikan umum bukanlah termasuk dalam erti kata sedekah, cuma ia satu cara perbelanjaan atau penggunaan wang haram pada satu-satunya jalan yang diharuskan. Mereka yang mengambil wang "interest"  dan menyerahkannya kepada Baitulmal tidak mendapat pahala sedekah, tetapi akan mendapat pahala dari dua segi, iaitu keengganannya menggunakan wang haram untuk faedah sendiri adalah satu sikap yang baik dan akan diberi pahala oleh Allah s.w.t. dan dia sebagai orang tengah yang membuat kebajikan dengan menyerahkannya kepada Baitulmal juga diberi pahala oleh Allah s.w.t. 


5.3       Had Keuntungan Dalam Islam

Dalam Islam tiada dalil khusus mengenai permasalahan ini. Setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikiya. Namun begitu, keadaan ini masih terikat dengan harga pasaran. Para ulama berbeza pendapat bagi asset atau barang yang tiada sebarang perbezaan tambah nilai. Terdapat mereka yang membenarkan todak lebih 1/6 daripada harga pasaran, ada yang meletakkan 1/3 iaitu pandangan ulama Maliki, ½ dan lain-lain. ( Zaharuddin Abd. Rahman, 2010: hlm.139)
Bagaimanapun, menurut tahkik atau analisa terkini yang dibuat oleh Syeikh Prof. Dr. Muhyidin al-Qurrah Daghi, pandangan terkuat dalam hal ini adalah terserah kepada uruf atau suasana setempat. Semua kadar yang diberikan itu tidak disokong oleh dalil khusus. Bagi mereka yang menginginkan dalil keharusan harga tanpa had iaitu harga yang menepati syara, dalilnya ialah:
  أن النبي صلى الله عليه وسلم, أعطاة دينارا ييشتري له به شاة, فاشترى له به شاتين, فباع احداهما بدينار, فجاء بدينار, فدعا له بالبركة في بيعة, وكان لو اشتري التراب لربح فيه

Maksudnya : “sesungguhnya Nabi S.A.W. memberi ‘Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaanya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi S.A.W. membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi S.A.W. terus mendoakannya dalam jaulannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambung dengan harga satu dinar, bermakna ½ dinar seekor. Kemudiannya menjual dengan harga 1 dinar iaitu keuntungan 100%. Transaksi ini diiktiraf oleh Baginda S.A.W malahdipuji dan didoakannya.


5.4       Beli Kereta Cara Islam Tetapi Insurans Riba

Terdapat sesetengah daripada ahli masyarakat membuat transaksi dengan bank Islam iaitu menjadikan Bank Islam sebagai pembiaya melalui pelbagai konsep dan aqad yang menepati system muamalat syariah. Antara konsep yang digunakan ialah Mudhorabah, iaitu bank akan membeli daripada pengedar dan menjualnya semula kepada pembeli dengan harga “mark up” kerana pembeli memilih pembayaran secara ansuran.
Kebanyakkan Bank Islam yang lain akan mengamalkan konsep al-Ijarah Thumma al-Bai iaitu sewaan yang ditamatkan dengan jualan. Proses dilakukan apabila pihak bank akan membeli kereta daripada pengedar atau mungkin juga terus daripada pembeli. Selepas pemilikan bank keatas manfaat kereta telah sempurna, maka pihak bank akan menyewakan kereta itu kembali kepada pembeli. Apabila pembayaran terakhir dilakukan oleh pembeli, dianggap bayaran terakhir sebagai jualan terus. Semuanya telah disahkan oleh Penasihat Syariah masing-masing. ( Zaharuddin Abd. Rahman 2010: hlm.152)
Hukum insurans konvesional adalah haram menurut Majlis Fatwa Kebangsaan. Hal ini sebagaimana yang telah diputuskan oleh kesepakatan para ulama kerana ianya mempunyai elemen-elemen riba, gharar dan maisir. ( Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan 2009: hlm.57)
Biasanya insurans tidak akan diuruskan oleh pihak bank, sebaliknya diuruskan oleh pembeli atau penjual kereta. Walaubagaimanapun, jika ianya diurus oleh bank atau syarikat penjual kereta tersebut, pembeli berhak untut menuntut perlindungan takaful untuk keretanya. Tidak terdapat sebarang peruntukan undang-undang yang boleh memaksa pembeli memilih insurans yang ditetapkan oleh penjual kereta tersebut. Muzakarah telah memutuskan  bahawa konsep dan pelaksanaan takaful di Malaysia adalah bertepatan dengan syariat Islam. (Keputusan Muzakarah Kebangsaan 2009: hlm. 80)


5.5       Riba Di Antara Kerajaan Dan Rakyat Di Benarkan

Menurut mazhab Hanafi, riba tidak diharamkan jika transaksi itu di antara hamba dan tuannya. Pandangan mazhab hanafi terkandung dalam nas fatwanya:

أن لا يكون البدلان ملكا لأحد المتبايعين فاْءن كان لا يجري الربا وعلى هذا يخرج العبد
Maksudnya : “ Antara syaratnya (untuk jatuh riba) merstilah badal (harta) itu tidak dipunyai oleh satu pihak sahaja, jika (ianya dipunyai oleh satu pihak sahaja) maka tiadalah berlakunya riba, justeru itu terkeluarlah hamba.”  ( Bada’i al- Sana’i 1996: hlm.3129)

Pendapat asas daripada Hanafi ini disebabkan hamba sebenarnya tidak boleh memiliki hartanya sendiri. Semua harta hamba adalah milik tuannya. Oleh yang demikian, tiada masalah riba antara harta hamba dan harta tuannya.
Namun begitu, majoriti pandangan mazhab yang lain tidak berseruju dengan pendapat dalam mazhab Hanafi. Persepakatan mazhab menyatakan haramnya tetap sama. Imam Ibn Hazm secara tegas menolak dengan dalil Saiyidina Husain bin Ali pernah menerima hadiah kambing daripada seorang hamba. Apabila mengetahui hadiah tersebut daripada seorang hamba, Husain memulangkannya tetapi hamba tersebut mengatakan bahawa:
انها لى
Maksudnya : ianya (kambing) itu milikku.

Melalui penjelasan itu, Saidina Husain menerima hadiah kambing tersebut. Oleh itu, dengan jelas membuktikan bahawa hamba masih boleh memiliki harta. Jual beli, memberi hadiah dan lain-lain. Sekiranya hamba tidak boleh memiliki sudah tentu Saidina Husain menolaknya. ( al-Muhalla 1997: hlm.515)
Jika menurut mazhab Hanafi memang dibenarkan riba diantara hamba dan tuannya. Namun terdapat pandangan yang lebih utama daripada mazhab-mazhab lain. Terdapat pihak-pihak yang menggunapakai pandangan mazhab Hanafi pada masa kini. Objektif utamanya untuk membenarkan bank-bank yang dimiliki pemerintah untuk memberi pinjaman kepada rakyat dengan riba. Mazhab Hanafi menganggapnya harus kerana hamba tidak ada kapasiti atau berkeupayaan memiliki harta sendiri kerana semuanya miliknya untuk tuannya.
Perlu diingatkan bahawa rakyat bukannya hamba. Kesannya, harta rakyat tidak boleh diusik sewenang-wenangnya oleh pemerintah. Pemerintah hanya berhak menguatkuasakan dan melaksanakan undang-undang serta menyediakan prasarana yang sesuai supaya transaksi terhindar daripada penipuan dan dieksploitasikan.


5.6       Derma Daripada Bank Riba Untuk Projek Amal Jariah

Semasa menjawab persoalan ini, Dr. Ali Muyy Ed-Deen al-Qara Daaghi, Ketua Jabatan Feqah di Universiti Qatar menyatakan tidak ada bukti hukum yang melarang menerima derma daripada bank riba untuk tujuan pembangunan dan amal. Sebaliknya, derma itu boleh diterima dan dibelanjakan dalam apa jua cara kebajikan kecuali membeli al-Quran dan mendirikan masjid. (Fatwa Menempuh Kehidupan Moden 2006: hlm.321)
Menurut resolusi yang dikeluarkan oleh Akademik Feqah OIC, wang riba hendaklah dibelanjakan untuk maksud kebajikan. Resolusi ini berdasarkan hakikat bahawa apabila bank riba dan orang-orang yang memakan riba serta harta harta benda mereka itu berbaur dengan riba mendermakan hartan bendanya, maka wang yang didermakan itu tidak lagi dianggap sebagai diperoleh dengan cara haram. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas bahawa pada suatu kali sedikit daging telah dihadiahkan kepada Rasululullah s.a.w dan Aisyah menarik perhatian Baginda dengan berkata bahawa daging tersebut diberi kepada Barirah iaitu hamba Aisyah yang sudah merdeka- sebagai sedekah (oleh kerana Nabi s.a.w tidsak boleh menerima sedekah). Rasulullah s.a.w menjawab,”Daging itu sedekah kepadanya, tetapi hadiah kepada kita.”
Kesimpulannya, harta benda yang didermakan seperti itu, jika sekalipun datang daripada wang haram, haram digunakan oleh pemiliknya. Maka apabila didermakan boleh digunakan oleh penerimanya untuk tujuan kebajikan.

5.7       Hukum Bekerja Di Bank

Sistem ekonomi Islam ditegakkan atas dasar memerangi riba dan menganggapnya sebagai dosa besar yang dapat menghapuskan berkat kepada individu dan masyarakat. Hal ini telah disebutkan didalam al-Quran dan al-Sunnah dan disepakati oleh umat. Firman Allah Taala:

يَمۡحَقُ ٱللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ وَيُرۡبِى ٱلصَّدَقَـٰتِ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ
Maksudnya :”Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap seorang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa.”                                                   (al-Baqarah 1: 276)

Dalam peraturan dan tuntutannya Islam menyuruh umatnya agar memerangi kemaksiatan. Apabila dia tidak sanngup, maka minimum menahan diri agar perkataan mahupun perbuatannya tidak terlibat didalam kemaksiatan tersebut. Oleh yang demikian, Islam mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan kemaksiatan. Sabda Rasulullah s.a.w:
لعن آكل الربا ومؤكله وشاهديه وقال هم سواء    
Maksudnya : “ Rasulullah melaknat pemakan riba, yang memberi makan dengan hasil riba dan dua orang yang menjadi saksinya.” Dan Baginda bersabda: “mereka itu sama.”                                        ( Hadis Riwayat Muslim)

Hadis di atas menerangkan orang-orang yang bersangkutan dengan riba tidak terlepas dengan ancaman di dunia dan di akhirat. Masalah riba bukan sahaja berkaitan dengan pegawai bank namun pelbagai cabang lagi yang bersangkutan dengannya sehingga menyelinap masuk kedalam sisitem kewangan dan ekonomi kita pada hari ini. Ianya bagai bencana sebagaimana yang hadis sabda Rasulullah s.a.w:

ليأ تين على الناس زمان لا يبقى منهم احد الا اكل الربا فمن لم يأ كله اصابه من غباره
Maksudnya : “ sungguh akan datang pada manusia suatau masa yang pada waktu itu tidak tersisa seorang pun melainkan akan makan riba; sesiapa yang tidak memakannya akan terkena debunya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Keadaan seperti ini tidak dapat diubah dengan melarang seseorang daripada bekerja dengan bank yang mengamalkan riba tetapi dapat diubah dengan perubahan sikap terhadap oleh seluruh umat Islam. Di samping itu, apabila dengan melarang umat Islam bekelayakan bekerja di bank yang mengamalkan riba maka dunia perbankan dan sistem ekonomi akan terus dikuasai oleh Yahudi.
Kesimpulannya, tidak semua pekerjaan bekaitan perbankan tergolong dalam riba. Tidak menjadi masalah bagi seseorang muslim untuk menerima pekerjaan tersebut walaupun dia tidak rela dengan harapan sistem perbankan tersebut akan mengalami perubahan kepada sistem yang diredhai oleh Allah (Fatwa-fatwa Kontemporer 2005: hlm.767).

6.0       PENUTUPAmalan riba adalah suatu amalan yang dilarang keras dalam Islam. Amalan ini akan menyuburkan sifat malas berusaha dalam diri umat Islam. Selain itu, amalan ini juga menyebabkan berlakunya penindasan dalam kalangan masyarakat. Golongan kaya akan terus kaya dan menendas golongan yang tidak berkemampuan.
            Amalan ini juga telah banyak atau telah lama diamalkan dalam sistem ekonomi umat Islam terutamanya di negara kita Malaysia sama ada secara kita sedari atau tidak. Inilah yang dikhuatirkan dan mungkin juga telah lama menghantui kehidupan sabahagian daripada kita.
                        Setelah mengetahui serba sedikit hal-hal berkaitan riba melalui kertas kerja ini, diharapkan kita dapat menilai sistem muamalat yang kita gunakan selama ini agar kita tidak terus terjerumus dalam amalan riba yang merupakan perkatra yang dilaknat dan diharamkan dalam Islam. Hal ini juga penting bagi memastikan rezeki yang kita berikan kepada sama ada kepada keluarga atau untuk kegunaan diri sendiri bukanlah daripada hasil yang haram. Ini bagi memastikan kehidupan kita sentiasa dirahmati dan diberkati Allah s.w.t.


BIBLIOGRAFI
Ab. Mu’min Ab Ghani. 1993. Jurnal Syariah ‘Bunga Dan Kaitannya Dengan Riba Yang Diharamkan’ . Jilid 1 Bil 2. Julai 1993.

Afzal ur Rahman. 1994. Doktrin Ekonomi Islam. Zaharah Salleh (ter). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka Universiti Pertanian Malaysia.

Azlan Khalili Shamsudin. 1988. Banking And Public Finance In Islam. Kuala Lumpur : Pustaka Fajar
Daud Baharum. 2006. Fatwa Menempuh Kehidupan Moden. Gading Kreatif: Petaling Jaya.
Dr. Falih Hasan Khalaf. 2006. Al-Bunuk Al-Islamiah. Amman Jordan
Dr. Yusuf Qardhawi. 2005. Fatwa-fatwa Kontemporer,  Jilid 1, Cetakan IV.  Penerbit Darul Ma’rifah, Beirut Lubnan.
Hj. Abd Razak Hj. Muhammad. 1997. Fiqh. Kuala Lumpur : Pustaka Hj. Abd Majid
Imam Abi Bakar Bin Saud al-Kasani. 1996. Bada’i al- Sana’i fi Tartib al-Syara, Jilid 7. Darul Fikir, Beirut Lubnan
Keputusan Muzakarah  Jawatankuasa  Fatwa Majlis  Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. 2009. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bahagian Pengurusan Fatwa
Muhammad Abd. Rahman al-Murashliy kemaskini oleh Ahmad Muhammad Syakir Rahimahullah. 1997. Al- Muhalla Dar Ehia al- Turathi al- Arabi. Beirut Lubnan
Muhammad Kamal Azhari. 1993. Bank Islam Teori Dan Praktik. Kuala Lumpur : Dewan Pustaka Pelajar

Muhammad Rawas. 1999. Al-Muamalat Al-Maliah Al-Muasirah Fi Al-Fiqh Wa As-Syariah. Beirut Lubnan : Dar An-Nafaes
Muhammad Rawas. 2000. Fiqh Al-Muamalat Al-Mushjir. Beirut Lubnan : Dar An-Nafaes
Syeikh Imam Muafiquddin Abi Muhammad Abdullah Bin Ahmad Bin Qudamah. Al-Mughni Wa Syarah Kabir. 1997. Beirut Lubnan
Zaharuddin Abd. Rahman. 2010. Riba dan Isu Kewangan Semasa. Telaga Biru: Kuala Lumpur
PTPTN,http// www.ptptn.com
Fatwa Kebangsaan, www.e-fatwa.com


6 comments:

  1. do you have full notes about islamic banking?? for exmple, brief explanation about the development of islamic banking in malaysia and modes of operation such as al-ujr,al hiwalah and so on. :)

    ReplyDelete
  2. mohon share untuk bhn2 tesis , asif,syukran .

    ReplyDelete
  3. mohon untuk dijadikan rujukan assignment...^^, tQ

    ReplyDelete
  4. mohon untuk dijadikan rujukan assignment...^^, tQ
    ....

    ReplyDelete
  5. mohon sebagai rujukan assignment. tq

    ReplyDelete
  6. Hello
    I am Mr. Muhammad a private loan lender that gives loan at the interest rate of 2
    % , I offer loans to individuals and companies or groups of people who
    are financially down . It is a financial opportunity at your door step
    today and get a quick view of credit there.
    There are many funding opportunities and assist in all aspects and
    still counting . But it's a financial opportunity on the doorstep ,
    and the dry season is coming to an end, and can not miss this unique
    opportunity . Do you need financial assistance ? Do you need a loan to
    expand your business? Do you need a loan to start a business on a large
    scale? You need a loan that can change your life and your current
    financial status ? Do You need a loan urgently to put things
    in right place ? Then look no further , because your loan is your dream
    door step today.The service is provided to individuals , businesses
    and business men . The amount of credit available in the range of $
    1,000.00 to U.S. $ 500,000,000.00 or your choice I give out loans for
    project , business , taxes , bills, and many other reasons , our loan
    are easy and * censored * for more information contact us by email
    :ahmadcare11@gmail.com
    REQUEST FOR LOAN
    ================================
    Name : ...................
    Second name : ..................
    Contact Address : .................
    Country : ...................
    Age : ..........................
    Sex : ....................
    Phone Number : ..............
    Status: .................
    Occupation : ...............
    position : .................
    monthly income : ..............
    Loan Amount : .................
    Purpose for Loan: ...............
    duration : ....................
    Have you applied for loan before : ............
    you understand English : .................
    SOME QUESTIONS ANSWERED (Frequently Asked Questions) We have a simple
    form for you to fill to apply for a loan . fill it out and send it
    to me. The application covers the following topics . * Authorization *
    Credit Borrower information1 .
    What is the interest rate ? The interest rate depends on the project .
    The rate is 2 % monthly interest only annual interest rate payable.
    2 . Will my credit matter ? not
    3 . Where do you loan? We loan World
    4 . How long does it take to fund ? After submitting the loan
    application , you can expect a preliminary answer less than 24 hours
    and funding within 72-96 hours after receiving the information we need
    from you .
    5 . What will my payments be ? Which will be calculated for you and
    sent to you on a repayment schedule alongwith the loan terms .
    We are looking forward to a strong business relationship with you.
    Sincerely ,
    cash firm

    ReplyDelete