Saturday, January 15, 2011

AKIDAH DALAM MENANGANI TEKANAN HIDUP

1.0              PENGENALAN

Akidah boleh ditafsirkan sebagai satu kepercayaan atau keyakinan (Kamus Dewan Edisi Ketiga 2002; hlm 21). Akidah adalah kata dasar dalam bahasa Arab iaitu aqada yang bermaksud simpulan atau materi yang merujuk kepada sesuatu yang teguh dan mantap atau iman yang kuat dan mendalam terhadap Allah dan segala yang terkandung dan bersabit dengan rukun iman. Dari segi istilah syarak pula akidah ditarsirkan sebagai kepercayaan atau keimanan yang teguh dan kukuh dalam jiwa kepada hakikat-hakikat dan nilai-nilai yang mutlak, yang tetap, kekal, pasti dan suci.

Manakala tekanan hidup pula ialah satu situasi dimana perasaan seseorang menjadi khuatir atau risau, takut, emosi tinggi atau cepat marah dan kadangkala membawa kepada kebingungan yang berpanjangan sehingga mengganggu urusan seharian. Tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari namun ia berubah wajah tanpa mengikut peredaran masa. Tekanan  bukanlah suatu perkara yang asing bagi masyarakat negara ini dan biasa dialami semua peringkat masyarakat (Hatta Sidi & Mohamed Hatta Shaharom; 2002). Dalam kehidupan moden, tekana atau stres menjadi pelengkap hidup. Banyak masalah dan sedikit solusi atau jalan penyelesaian  yang diketahui. Orang yang kurang kuat imannya, dapat melakukan perkara yang ditegah agama seperti bunuh diri. Orang yang kuat iman, tapi terlalu ambisi atau berkeinginan mencapai sesuatu, dapat mengalami stroke.

Manusia beragama akan memperoleh ketenangan dalam akidahnya biarpun berbagai peristiwa pahit atau badai yang melanda dirinya. Akidah yang mantap akan menjaganya dari segala tekanan dan ketegangan yang mungkin wujud dalam diri serta akan mewujudkan suasana yang menenangkan jiwa walaupun hidup dalam lingkungan atau suasana yang pada hakikatnya mungkin tidak setenang mata yang memandang dan bekemungkinan boleh mendatangkan bahaya pada diri sendiri.
           
            Sejarah Islam jelas memaparkan kepada kita berbagai contoh yang tidak terhitung jumlahnya tentang tekanan hidup yang diharungi oleh masyarakat terdahulu. Masyarakat Islam dahulu hidup dalam kondisi yang sangat sulit di mana peperangan yang dicetuskan kaum Quraisy dan sekutunya, sekatan terhadap ekonomi, keterasingan sosial serta tekanan moral yang berlanjutan. Namun kerana memiliki spiritual yang tinggi, kesemua perkara ini berjaya diharungi dan mereka berjuang menghadapinya dengan jiwa yang tenang serta megharapkan rahmat dari Allah s.w.t untuk menempuhinya.





2.0              FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA TEKANAN HIDUP

Tekanan merupakan satu keadaan di mana persepsi terhadap seseorang itu dan kemampuannya untuk mengatasi permintaan tersebut, ketidakseimbangan ini akan menyebabkan berlakunya stress dalam diri individu tersebut. Ketidakseimbangan akan bergantung kepada daya tindakan seseorang dalam membentuk psikologikal yang melibatkan strategi, kognisi serta tingkah laku dan fisiologikal. Stress akan berlaku sekiranya daya tindak secara normal tidak berkesan. Keadaan ini mungkin akan menyebabkan kerosakan fungsi dan struktur. Tidak semua individu akan mengalami proses yang sama.

            Antara faktor berlakunya tekanan ialah dasar kerajaan. Sebagai contoh, seorang guru akan mengalami tekanan dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam bidang pendidikan. Hal ini kerana dasar serta reformasi tersebut pasti menjadikan tugas seorang guru akan bertambah (Ahmad Shakir ;1998).  

            Selain itu sikap seseorang majikan juga boleh menyebabkan pekerjanya sentiasa berada dalam dilemma atau tekanan. Hal ini akan berlaku sekiranya seorang majikan menjalankan pentadbiran organisasinya secara autokratik dan mengamalkan sikap pilih kasih. Sebagai contoh, seorang majikan tidak berlaku adil dalam pengagihan tugas kepada pekerjanya menyebabkan terdapat sebilangan pekerja yang mendapat bebanan tugas yang berat dan sebilangannya mendapat bebanan tugas yang ringan.

            Suasana persekitaran juga menjadi faktor kepada berlakunya tekanan. Jika seorang pekeraja, suasana tempat kerja berkemungkinan menjadi punca kepada berlakunya tekanan hidup. Suasana yang tidak selesa seperti sikap majikan yang kurang mesra dengan pekerja kadangkala boleh menimbulkan masalah kepada pekerja untuk berkomunikasi dengannya serta mennyatakan pendapat pekerja terbabit demi mencapai sesuatu yang telah ditetapkan oleh majikan atau syarikat dan sebagainya(Hatta Sidi dan Mohammed Hatta Shaharom;2002).

            Jika dilihat dalam konteks seorang pelajar pula, suasana persekitaran seperti bilik kelas yang kurang selesa juga boleh menjadi tekanan kepada pelajar. Kesesakan yang berlaku dalam bilik kelas boleh mengganggu keselesaan pelajar untuk belajar. Selain suasana bilik kelas, kadangkala sikap guru atau tenaga pengajar juga boleh menimbulkan tekanan kepada pelajar. Palajar kadangkala dibebankan dengan tugasan yang terlalu banyak selain terpaksa mengikuti aktiviti atau program yang telah diatur oleh pihak sekolah. Jika dirumah pula, suasana dirumah seperti pelajar yang mempunyai bilangan keluarga yang ramai namun hanya tinggal dalam sebuah rumah yang agak kecil, keselesaan mungkin tiada. Ini sekali lagi mungkin menjadi tekanan kepada pelajar apabila hendak mengulangkaji pelajaran.

            Tekanan juga berpunca daripada kekecewaan yang dialami oleh seseorang individu. Kekecewaan boleh didefinisikan sebagai perasaan yang timbul apabila seseorang gagal memperolehi sesuatu keinginan disebabkan sesuatu halangan. Satu kekecewaan mungkin tidak akan menyebabkan tekanan tetapi apabila berlaku kekecewaan berulangkali, ia akan menyebabkan seseorang merasa tertekan. Hasilnya akan berlakulah konflik dalam diri yang juga menyebabkan berlakunya tekanan. Konflik akan berlaku apabila dua atau lebih tujuan tidak dapat disepakati bersama. Tekanan boleh memberi kesan kepada diri sama ada kesan yang baik mahupun kesan negatif.



3.0              AKIDAH DALAM MENGHADAPI TEKANAN HIDUP

Bagi menangani tekanan yang dihadapi oleh seseorang individu, akidah juga memainkan peranan yang penting. Dengan adanya akidah yang mantap, segala tekanan dan ujian yang datang menimpa mampu diharungi dengan baik. Namun begitu jika akidah yang ada dalam diri seseorang itu agak lemah, maka gejala seperti terpesong akidah mungkin boleh berlaku apabila tekanan tersebut tidak dapat diurus dengan baik.

            Di sini akidah boleh berperanan dengan berfikir secara positif bahawa semua tekanan atau dugaan itu sebenarnya memiliki pahala atau ganjaran daripada Allah. Hal ini akan meringankan tekanan atau beban yang ditanggung. Tekanan akan dihadapi dengan hati yang tenang kerana memikirkan ganjaran pahala dan rahmat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. Hal ini akan menyebabkan tekanan atau beban tersebut tidak meninggalkan kesan yang mendalam pada diri. Sabda Rasullullah s.a.w (Biharul Anwar 1982; hlm. 122) :

المصائب مفاتيح الأجر

Maksudnya : musibah adalah kunci pahala.

            Seseorang individu juga perlu melihat bahawa tekanan yang dihadapi akibat daripada musibah yang menimpa bukanlah sesuatu perkara yang besar yang menimpa diri mereka. Setiap muslim perlu memikirkan musibah yang lebih besar iaitu musibah yang menimpa agamanya. Dengan adanya akidah atau pegangan agama yang kuat, tekanan yang dihadapi tidak akan memberi impak yang besar terhadap dirinya kerana berpendapat tekanan yang dihadapi adalah hanya sekadar perkara duniawi. Kaedah ini adalah salah satu kaedah untuk meringankan tekanan seseorang yang menghadapi masalah atau musibah duniawi dan juga merupakan kaedah pendidikan para Ahlul Bayt a.s.

Diriwayatkan bahawa Imam Shadiq a.s. melihat seseorang bersedih hati karana kematian anaknya. Beliau berkata kepadanya (Al-Fital An-Naisaburi : hlm. 489):
“Wahai saudaraku, engkau bersedih hati karana musibah kecil ( yang menimpamu ) dan engkau lalai akan musibah besar? Seandainya engkau telah siap  untuk menerima kematian anakmu sejak dulu, nescaya engkau tidak bersedih hati separah ini. Sebenarnya kesedihan yang disebabkan oleh keteledoranmu untuk mempersiapkan diri menghadapi sebuah musibah adalah lebih parah dari kesedihanmu disebabkan  oleh kematian anakmu ini”.

Selain itu, tekanan atau stress juga boleh dikurangkan dengan cara melakukan perkara yang luar dari rutin harian. Sebagai contoh keluar bersiar-siar menikmati keindahan alam ciptaan tuhan. Selain dapat mengurangkan tekanan, kita juga dapat belajar mengenai adab dengan alam sekitar serta lebih menghargainya untuk sama-sama dinikmati oleh generasi akan datang. Dengan berkunjung ke rumah saudara-mara juga adalah salah satu cara mengurangkan tekanan yang dihadapi selain dapat mengeratkan silaturrahaim antara satu sama lain. Amalan ini juga adalah satu amalan yang diajar oleh Baginda Nabi s.a.w kerana amalan mengeratkan silaturrahim dapat manambahkan rezeki dan memanjangkan umur.
Al-Quran juga banyak mengajar kita tentang bagaimana menangani tekanan mengikut akidah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t melalui kalamNya. Al-Quran mengajar kita menangani tekanan dengan cara bersabar dalam menempuhi segala cabaran yang mendatang. Dalam al-Quran disebut perkataan sabar sebanyak lebih kurang 70 kali dan ini menunjukkan sabar merupakan akhlak yang baik dan dituntut selain mengurangkan tekanan. Sifat inilah juga yang menjadi antara toggak kejayaan Nabi s.a.w dalam menyebarkan dakwah Islam. Antara ayat al-Quran yang menyentuh berkaitan sifat sabar ialah surah Yusof ayat 18 :
فَصَبۡرٌ۬ جَمِيلٌ۬‌ۖ وَٱللَّهُ ٱلۡمُسۡتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ
            
Maksudnya : bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu ( Yusof, 12:18 )
       
            Sabar juga menjadi satu perkara atau elemen yang ditekan oleh Rasulullah s.a.w kepada para sahabat Baginda. Rasulullah sering mengingatkan kepada para sahabat agar sentiasa bersabar dalam apa jua keadaan sekalipun berdepan dengan saat-saat getir seperti ketika sedang menghadapi musuh. Sabda Rasullah s.a.w berkaitan sifat sabar  (Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam; 2007; hlm. 141) :

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ما أعطي أحد عطاء خيرا وأوسع من الصبر                                                                              ( البخري )

Maksudnya : daripada Abu Said al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Seseorang itu tidak dikurniakan sesuatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sabar.”

                        Dengan melupakan masalah yang dihadapi serta melupakan apa yang telah berlaku juga mampu menenangkan jiwa (Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni; 2010; hlm 9). Mengingati perkara yang telah berlaku serta mengenang masa lalu, kemudian terlalu asyik berinteraksi dengannya dan bersedih atas apa yang telah berlaku merupakan kebodohan dan kegilaan yang hanya akan mematikan keinginan serta menyiksa hati sendiri. Perbuatan seperti ini akan menambahkan lagi tekanan yang dihadapi. Sesungguhnya perkara yang telah berlaku, menurut orang yang berakal telah disimpan rapi dan tidak diceritakan, dikurung buat selama-lamanya didalam penjara kelupaan.

           
Berbuat baik atau berbudi kepada orang lain juga merupakan satu amalan yang baik yang diterapkan dalam akidah umat Islam. Dengan berbuat baik kepada orang juga merupakan  sesuatu yang boleh membawa kepada kelapangan dada kepada mereka yang mengalami tekanan. Berbuat baik kepada orang lain boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk dan cara seperti membantu mereka yang berada dalam kesusahan dan kesulitan, memberi makan kepada mereka yang berada dalam kelaparan serta menziarahi mereka yang sedang sakit juga merupakan satu cara kita berbuat baik kepada orang lain. Perbuatan yang baik bagaikan minyak kasturi yang memberi manfaat pada orang yang membawa, penjual dan juga pembelinya. Menjadikan amalan berbuat baik kepada orang lain akan menjadikan seseorang itu seperti puding yang penuh barakah yang dijual di dalam jiwa orang-orang yang hatinya dimakmurkan oleh kebaikan.

            Dengan sentiasa tersenyum apabila bertemu orang juga merupakan salah satu terapi untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi. Menebar senyuman yang indah pada orang lain merupakan satu akhlak yang baik dan merupakan suatu sedekah jariah di alam yang fana ini. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud(Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni; hlm 34) :
           
“walaupun kamu menemui saudaramu dengan wajah yang riang.”

Dalam ajaran yang dibawa oleh agama Islam terdapat larangan kepada penganutnya agar tidak membuang masa. Larangan ini berasas serta mampu menyelamatkan diri daripada mengalami tekanan hidup. Hal ini kerana jika masa terluang tidak diisi dengan perkara-perkara berfaedah, akal akan sentiasa berfikir. Pada ketika ini kecenderungan untuk berfikir kepada masalah yang timbul adalah amat mudah. Jika ada waktu yang terluang eloklah digunakan dengan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang boleh membuatkan kita melupakan sejenak masalah atau konflik yang timbul. Mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah juga adalah selaras dengan tuntutan agama seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran :

وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)

Maksudnya : Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. ( al-Asr ; 103 ; 1-3 )
Setiap kelaparan pasti ada kekenyangan, jika kehausan pasti ada yang menghilangkan kehausan tersebut begitulah juga dengan kesusahan yang timbul. Sebagai seorang individu muslim, kita perlu beranggapan bahawa setiap perkara yang berlaku adalah ujian daripada Allah dan pasti ada jalan penyelesaiannya. Jika sikap ini sentiasa ditanam dalam diri, nescaya tekanan dapat dielak. Kita perlu yakin dengan aturan yang telah dibuat oleh Allah s.w.t.. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam al-Quran :

إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرً۬ا

Maksudnya : sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Asy-Syarh ; 94 ; 6 )

            Selain ayat-ayat al-Quran. Terdapat juga syair arab yang menyebut berkaitan setiap  kesusahan itu pasti kesenangan diakhirnya. Antara untaian kata dalam syair tersebut ialah :
           
“Kesusahan demi kesusahan datang, sesudah itu kemudahan. Dan kesusahan akan hilang.”


Seorang muslim juga perlu mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa (Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd Nazam ; 71):

“al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda”  (riwayat Bukhari).

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam merungkaikan segala permasalahan manusia.

Di samping itu , sebagai seorang yang mengamalkan ajaran Islam, dengan  sentiasa mengingati Allah juga dapat membuatkan hati kita menjadi tenang dan tenteram. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk kita sentiasa mengingati Allah, antaranya ialah dengan sentiasa berzikir kepadanya. Jadi tidak hairanlah jika kita lihat orang yang bibirnya sentiasa basah dengan zikir kepada Allah, hatinya akan sentiasa berada dalam ketenangan. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran :


أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ

Maksudnya : Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.                                                                        (al-Ra'ad 13:28)
                        Selain dari sentiasa mengingati Allah dengan berzikir, terdapat amalan lain yang dianjurkan oleh Islam bagi mencapai ketenangan dalam diri. Masalah yang timbul dalam diri setiap manusia adalah sunnatullah. Sebagai seorang yang mengamalkan ajaran Islam, kita tidak sepatutnya mudah menyerah kalah apabila ditimpa musibah atau masalah sebaliknya Allah telah mengajar kita cara-cara menghadapi masalah atau musibah. Hal ini ada dinyatakan di dalam al-Quran :

ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ

Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.  (al-Baqarah ; 2 ; 156)

                        Dalam ayat diatas Allah menyuruh kita menyebut kalimah 'Innaa lilaahi wa innaa ilaihi raji'uun’ apabila ditimpa atau mendengar sesuatu musibah yang berlaku. Dengan mengucapkan kalimah sebegini, ia menunjukkan bahawa kita sentiasa redha dengan setiap ujian yang Allah berikan. Hal ini akan mengurangkan tekanan kerana tidak lagi menjadi bebanan atau kita berada dalam kedaan yang terpaksa untuk menerima atau melakukan sesuatu.

                        Allah s.w.t adalah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Atas sifat-sifat inilah Allah s.w.t melakukan apa sahaja ke atas hamba-hambaNya. Namun semua yang Allah s.w.t lakukan ialah untuk kebaikan hamba-hambaNya. Perkara inilah yang perlu disematkan dalam fikiran setiap muslim tidak kira sama ada menghadapi musibah ataupun tekanan lain seperti di tempat kerja ataupun dalam institusi kekeluargaan. Semua yang Allah lakukan keatas hambaNya ialah hanya setakat mana individu tersebut mampu memikulnya. Sekiranya Allah s.w.t lakukan lebih daripada itu, ini bererti Allah s.w.t itu zalim, sedangkan Allah s.w.t tidak zalim. Jika ini sentiasa disematkan dalam diri nescaya kita akan sentiasa bersedia menerima apa jua tekanan kerana ia mungkin dapat meningkatkan keimanan dalam diri. Perkara ini ada dijelaskan Allah dalam al-Quran :

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ
Maksudnya : Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.                                                 (al-Baqarah ; 2 ; 268)

                        Jika ahli sains mengatakan bahawa dengan mandi boleh menghilangkan atau meredakan tekanan, Islam juga menggunakan unsur air bagi meredakan tekanan yang dialami. Selain mandi, dengan berwuduk juga boleh mengurangkan tekanan dalam hidup, dalam masa yang sama wuduk boleh menjadi terapi bagi mengurangkan ketegangan antara individu. Jika sekadar wuduk masih tidak mampu meredakan ketegangan hidup maka bolehlah diteruskan dengan bersolat. Ini kerana dalam solat kita berada dalam keadaan khusyuk memohon kepada Allah s.w.t. Keadaan ini pasti akan membuatkan seseorang itu berasa tenang kerana ketika itu dia seolah-olah sedang berbicara dengan Allah meluahkan segala apa yang sedang membebani dirinya. Demikian jugalah dengan Allah s.w.t yang telah merakamkan di dalam kitab suciNya bahawa Dia akan sentiasa membantu hamba-hambaNya yang memohon kepadaNya.

                        Selain kitab suci al-Quran, banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT). Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran seperti mana firman Allah SWT :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ

Maksudnya: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang. (al-Baqarah ; 2 ; 153 )

Di samping itu, dengan  meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama' dan akan mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.
Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Setelah segala langkah diambil namun tekanan masih juga tidak dapat diatasi, jalan terakhir adalah dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman :

وَقَالَ رَبُّڪُمُ ٱدۡعُونِىٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِى سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya : Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.( al-Ghaafir : 40 ; 60)

Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan, mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.


4.0       KESIMPULAN

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, atau apa sahaja perkara yang membuatkan kita menjadi tertekan, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.
Firman Allah SWT :

يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ (٢٨) فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى (٢٩) وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى (٣٠)

Maksudnya : "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku." (al-Fajr ; 89 ; 27-30)


Jika hati dan pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan tersebut.                                             



















RUJUKAN

Ahmad Shakir. 1998 . Tinjauan Tahap dan Punca Stres di Kalangan Guru- guru Sekolah Menengah Negeri Perlis. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda.

Al-Fital An-Naisaburi. Raudhatul Wa’idhin. Mansyurat Ar-Radli.

Al-Ghazali. 1995. Metode Menaklukkan Jiwa : Perspektif Sufistik. Bandung : Mizan Media Utama

Biharul Anwar. 1982 : Musakkinul Fu`ad.

Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni. 2010. 30 Tip Penenang Hati. Selangor : Al-Hidayah Publications

Hatta Sidi dan Mohammed Hatta Shaharom . 2002 . Mengurus Stres, Pendekatan yang Praktikal. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan edisi ketiga. 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat & Annual Bakri. 2008. Tundukkan Hati : Rahsia Keikhlasan. Kuala Lumpur : Anbakri Publika Sdn. Bhd.

Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam. 2007. 300 Hadis Bimbingan. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.


url

www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2190
www.mukmin.com.my/baca.php?id=580&kategori=10 - Cached






No comments:

Post a Comment