1.0 PENDAHULUAN
Dakwah sebagai salah satu disiplin ilmu baru yang wajar dipelajari
oleh setiap individu muslim. Walau bagaimanapun asas-asas dan prinsip ilmu ini
telah dipraktikkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w sejak baginda memulakan
kerja-kerja dakwah iaitu sebaik sahaja Baginda diutus menjadi Rasul serta
diperintahkan untuk berdakwah dan menyampaikan agama Islam kepada seluruh umat
manusia oleh Allah s.w.t.
Dakwah yang baginda jalankan adalah berpandukan kepada wahyu yang
diterima baginda daripada Allah s.w.t. Namun begitu dalam keadaan-keadaan
tertentu, sebagaimana kegiatan-kegiatan lain, Baginda s.a.w juga menggunakan
kebijaksanaannya sendiri namun pada hakikatnya merupakan wahyu yang datangnya
daripada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t
:
وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ (٣(
Maksudnya : Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu
yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
(an-Najm; 53: 3)
Pada zaman sahabat kegiatan dakwah juga
dijalankan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah diasaskan oleh Baginda s.a.w
dan berterusan hingga ke zaman kegemilangan empayar Islam yang seterusnya.
Prinsip-prinsip yang telah dibentuk oleh Baginda s.a.w terus dipelihara,
dihayati dan diperkembangkan serta disesuaikan dengan persekitaran semasa, tempat
dan kumpulan sasaran dakwah. Firman Allah s.w.t:
قُلۡ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ
عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِىۖ وَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۟
مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ (١٠٨(
Maksudnya: Katakanlah (wahai
Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia
umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas
nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan
syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan
sesuatu yang lain."
(Yusuf; 12: 108)
Pendek kata prinsip-prinsip berdakwah berdasarkan
kepada petunjuk al-Quran dan bimbingan al-Sunnah. Kefahaman dan penghayatan
para pendakwah terhadap prinsip-prinsip ini pada masa lalu telah meletakkan gerakan dakwah Islamiah di
mercu kegemilangan. Oleh yang demikian para pendakwah pada masa kini juga tidak
boleh lari dari menggunakan prinsip-prinsip dakwah yang telah dianjurkan oleh
Baginda s.a.w sekiranya inginkan kejayaan dalam sesebuah kerja dakwah.
2.0 DEFINISI
DAKWAH
2.1 Dari
Sudut Bahasa
Dakwah dari segi bahasa berasal dari perkataan
Arab (دعا –
يدعو – دعوه – دعاية (yang bererti seruan, panggilan atau
ajakan. Kata dasar dakwah dalam penggunaan Bahasa Arab boleh diguna pakai untuk
17 makna yang berlainan (Munjid al-Tulab, t.th.: 200).
Dakwah juga
didefinisikan sebagai kegiatan menyeru dan membimbing serta meyakinkan secara
baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya menyedari dan mengamalkan
ajaran agama (Islam). Selain itu ia juga didefinisikan sebagai patuh kepada
ajaran agama Islam dengan lebih sempurna (sebagaimana yang kelihatan pada
tingkah laku dan pergaulan serta cara berpakaian) sedangkan dulu dia selalu
bergaul bebas dan berpakaian moden tetapi sekarang ini sudah dakwah (Kamus
Dewan edisi ketiga, 1998: 244-245).
2.2 Dari Sudut Istilah
Pelbagai bentuk
definisi dakwah telah dikemukan oleh para ilmuan Islam. Antara definisi yang
diberikan ialah dakwah itu ialah “Kalimah Syahadah”. Pengertian ini berdasarkan
kepada surat yang diutus oleh Baginda Nabi s.a.w kepada Hiraqla, sepertimana
juga seruan dibuat terhadap pemerintah-pemerintah agama kafir yang lain.
Ghalwasiy mendefinisikan dakwah
kepada dua pengertian iaitu agama Islam dan kegiatan menyampaikan agama Islam. Sekiranya
dikatakan dikatakan “dia ini adalah daripada orang-orang dakwah”, maka
perkataan dakwah disini bermaksud penyebaran agama Islam. Jika diakatakan
“ikutlah dakwah Allah”, maka maksudnya ialah agama Islam. Seterusnya Ghalwasiy
mengatakan dakwah juga telah menjadi nama bagi satu disiplin ilmu yang lain
yang mana mempinyai ruang lingkup perbahasan, cirri-ciri dan
matlamat-matlamatnya yang tersendiri (Ghalwasiy, 1978: 10-11).
Ada juga dalam kalangan ulama dan
cendekiawan Islam yang mendefinisikan dakwah sebagai panggilan ke jalan Allah
iaitu agama Islam, suatu agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w
(Karim Zaidan, 1972: 10-11). Definisi lain yang diberikan bagi member makna
kepada dakwah ialah usaha membentuk perbuatan atau percakapan untuk menarik
manusia kepada kebaikan dan petunjuk (al-Ansari, 1984: 4)
Al-Ansari juga telah memetik
definisi-definisi yang diberikan oleh beberapa orang ulama. Salah satu
daripadanya ialah pendapat yang diberikan oleh Syeikh Ali Mahfuz dalam
kitabnya, Hidayah al-Mursyidin, iaitu dakwah bererti mendorong manusia kearah
kebaikan dan petunjuk serta menyuruh berbuat makruf dan melarang berbuat munkar
demi untuk mencapai kebahagian serta-merta (dunia) dan kemudian (akhirat)
(al-Ansari, 1984: 5).
Rangkaian perkataan “Dakwah Islamiyyah”
sebagai suatu istilah yang khusus dan penting dalam usaha penyebaran, pengembangan
dan pemahaman kepada Islam sebagai agama yang diamal dan diterima pakai serta
menjadi cara hidup manusia. Atas dasar dan prinsip inilah, pelbagai pengertian
dan definisi bagi dakwah Islamiyyah telah dibuat.
Pengertian dan kefahaman tentang
pengertian dakwah Islamiyyah seperti yang dinyata adalah bertepatan dengan
firman Allah dalam al-Quran :
قُلۡ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدۡعُوٓاْ
إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِىۖ وَسُبۡحَـٰنَ
ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ (١٠٨(
Maksudnya: Katakanlah (wahai
Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia
umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas
nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan
syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan
sesuatu yang lain."
(Yusuf; 12: 108)
3.0 SEJARAH DAKWAH
Setelah
Baginda Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul, Baginda telah memulakan
kerja-kerja dakwah sebagimana yang telah di perintahkan oleh Allah s.w.t.
Dakwah yang dijalankan oleh Baginda s.a.w boleh dibahagikan kepada dua iaitu
dakwah secara rahsia dan dakwah secara terbuka.
3.1 Dakwah Secara Rahsia
Nabi Muhammad
s.a.w mula menyahut seruan Allah s.w.t untuk menyampaikan dakwah tetapi secara
rahsia untuk menghindari usaha berdakwah dari dapat dikesan akan akan
mendatangkan tentangan daripada pihak kafir Quraisy. Dakwah ini meliputi ahli
keluarga dan sahabat handai Baginda s.a.w sahaja.
Pada peringkat permulaan dakwah ini,
orang yang pertama sekali menerima dakwah Baginda s.a.w ialah isteri Baginda
iaitu Khadijah binti Khuwailid diikuti Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah,
khadam dan anak angkat Baginda, Abu Bakar As-Sidiq, Uthman bin Affan, Zubair
bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas dan Al-Arqam bin Abi Arqam.
Kesemua sahabat-sahabat Baginda ini
bertemu dengan nabi s.a.w secara sembunyi di rumah Al-Arqam bin Abi Arqam demi
untuk mengelak daripada diketahui musuh. Apabila ada diantara mereka yang ingin
melaksanakan ibadah, mereka akan pergi ke lorong-lorong sunyi untuk melakukan
ibadah tersebut. Pada peringkat permulaan ini hanya seramai 30 orang dari
kalangan lelaki dan wanita yang memeluk Islam. Mereka telah menjadikan rumah
Al-Arqam sebagai pusat pentarbiahan dan menyampaikan kefahaman berkaitan agama
Islam. Jumlah ini akhirnya bertambah kepada 40 orang. Kebanyakkan daripada
meraka adalah terdiri daripada golongan fakir miskin, hamba-hamba dan mereka
yang tiada kedudukan dalam masyarakat.
3.2 Dakwah Secara Terbuka
Apabila
semakin ramai penduduk Makkah yang telah menerima dan memeluk Islam, maka
berita mengenai kedatangan agama Islam telah tersebar luas ke seluruh Kota
Makkah. Setelah hal ini berlaku, Allah s.w.t telah memerintahkan Baginda Nabi
Muhammad s.a.w untuk menyampaiakan dakwah Baginda secara terang-terangan.
Firman Allah s.w.t:
فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ
ٱلۡمُشۡرِكِينَ (٩٤(
Maksudnya: Oleh itu, sampaikanlah
secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan
janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.
(al-Hijr; 15: 94)
Setelah menerima wahyu ini, Rasulullah s.a.w terus naik ke
Safa dan memanggil, “Wahai Bani Fihr, Wahai Bani Adi”, setelah itu
mereka semua berkumpul dan bagi yang tidak dapat hadir, mereka mengirimkan
orang untuk mendapatkan maklumat yang disampaikan oleh Muhammad s.a.w dalam
perhimpunan itu. Rasulullah s.a.w berkata kepada mereka, “Bagaimana kalau
aku katakana bahawa di belakang bukit ini ada sekumpulan tentera yang ingin
menyerang kamu semua, adakah kamu percaya.” Jawab mereka, “Ya kami
percaya kerana kamu tidak pernah berdusta.” Baginda menyambung, “Ketahuilah
bahawa aku Rasul yang diutus kepada kamu untuk mengingatkan kamu akan azab yang
pedih.” Lalu Abu Lahab dengan lantang bersuara, “Celaka kamu pada hari
ini, adakah ini sahaja yang kamu ingin katakana dengan menghimpunkan kami.”
Rentetan daripada kata-kata Abu Lahab
itu, Allah s.w.t telah menempelak Abu Lahab dalam firman-Nya:
تَبَّتۡ يَدَآ أَبِى لَهَبٍ۬ وَتَبَّ (١(
Maksudnya: Binasalah kedua-dua tangan Abu
Lahab dan binasalah dia bersama.
(al-Masad; 111: 1)
Setelah itu, Rasulullah s.a.w telah
turun dari bukit dan melaksanakan firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Dan
berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat” dengan mengumpulkan
seluruh ahli keluarganya dan berkata, “Wahai Bani Ka’ab bin Luai, selamatkan
diri kamu dari api neraka! Wahai Bani Murrah bin Ka’ab, selamatkanlah diri kamu
dari api neraka! Wahai Bani Abdi Syams, selamatkanlah diri kamu dari api
neraka! Sesungguhnya aku tidak akan dapat menolongmu dihadapan Allah s.w.t
selain bahawa kamu mempunyai talian kekeluargaan yang akan aku sambung dengan
hubungannya.” (Rusydi Ramli al-Jauhari, 2012: 218)
Dakwah secara terbuka seperti ini telah mendapat tentangan
daripada musyrikin Makkah dengan alasan mereka tidak akan meninggalkan agama
nenek moyang mereka. Semua kaum Quraisy menentang ajaran yang dibawa oleh
Rasulullah s.a.w termasuk bapa saudaranya sendiri Abu Lahab yang pada awalnya
gembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w kecuali Abu talib yang sentiasa
menjadi pelindung kepada Nabi walaupun beliau tidak memeluk Islam hingga ke
akhir hayatnya. Setelah bermulanya dakwah secara terbuka maka bermulalah juga
siri-siri penyiksaan yang dilakukan kaum kafir Quraisy terhadap umat Islam. Seorang
demi seorang umat Islam yang gugur syahid akibat diseksa dengan begitu hebat
sekali.
4.0 RUKUN-RUKUN
DAKWAH
Bagi memastikan sesuatu usaha atau
kerja-kerja dakwah itu berjaya mencapai matlamatnya, gerak kerja dakwah
tersebut perlu dilakukan dengan teliti dan sebaik mungkin. Oleh yang demikian,
dalam memastikan dakwah ini berjaya, setiap rukun-rukun dakwah perlu ada dan di
patuhi agar modus aperandi dakwah tidak tersasar dari landasan yang sepatutnya.
Antara rukun-rukun dakwah yang ada
ialah:
a)
Pendakwah ( الداعي )
Pendakwah merupakan satu elemen yang
penting yang perlu ada dalam berdakwah. Hal ini kerana pendakwah merupakan
penggerak kepada kerja-kerja dakwah yang dilakukan. Bagi menjadi seorang
pendakwah yang baik, beberapa kriteria pendakwah perlu ada dalam diri seseorang
yang ingin menjalankan kerja-kerja dakwah agar mampu menjadi agen perubahan
dalam masyarakat.
Antara kriteria yang perlu ada pada
seorang pendakwah atau daie ialah:
i.
Ilmu pengetahuan yang luas
Sebagai seorang agen perubahan dalam masyarakat,
aspek berkaitan ilmu pengetahuan perlu dititik beratkan. Pendakwah sebagai
penggerak perubahan atau transformasi yang ingin dilakukan perlu memiliki ilmu
pengetahuan yang secukupnya agar mudah untuk berhujah jika dia diajukan
pelbagai persoalan dari orang yang didakwahnya.
Jika pendakwah itu memiliki ilmu
pengetahuan yang secukupnya, dia mampu menyedarkan masyarakat dengan
hujah-hujahnya yang rasional dan bertepatan dengan kehendak syarak berkaitan
kebaikan dan keindahan agama Islam. Sejarah juga telah membuktikan bahawa
selain mengunakan prinsip-prinsip yang digariskan oleh Islam dalam berdakwah,
ilmu pengetahuan juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan kejayaan
sesuatu kerja dakwah.
ii.
Iman yang kuat (kekuatan kerohanian)
Aspek kerohanian merupakan aspek yang penting
yang perlu ada pada seorang daie. Tanpa kekuatan kerohanian seseorang pendakwah
pasti akan mudah rasa berputus asa dalam menjalankan kerja-kerja dakwah jika
dakwah yang di sampaikan tidak diterima.
Berputus asa merupakan satu sifat yang
perlu dihindari oleh seorang pendakwah. Seorang pendakwah perlu sentiasa
beristiqamah dan sentiasa beranggapan bahawa dia sebagai penggerak dan penerus
perjuangan Baginda s.a.w.
iii.
Berakhlak mulia
Kejayaan sesuatu usaha dakwah itu juga bergantung
kepada akhlak dan sahsiah seorang pendakwah. Hal ini kerana pendakwah merupakan
ikutan atau contoh teladan kepada masyarakat sekeliling. Oleh yang demikian
seorang pendakwah perlu memiliki akhlak dan sahsiah yang terpuji seperti
Rasulullah s.a.w dan para sahabat Baginda yang begitu komited dalam berdakwah.
b)
Penerima Dakwah ( المدعو )
Penerima dakwah atau
al-mad’u ialah manusia yang diseur ke jalan Allah s.w.t sama ada dia seorang
Islam atau pun bukan Islam. Hal ini bererti setiap manusia tidak terkecuali
daripada menerima seruan dakwah Islamiah. Islam juga tidak membezakan antara
seorang manusia denga manusia yang lain. Hal ini juga menjadikan Islam sebagai
satu wasilah perhubungan antara satu sama lain.
c) Misi Dakwah ( الرسالة
)
Secara dasarnya misi
dakwah bertujuan supaya penerima dakwah memahami, yakin dengan kebenaran yang
dianjurkan oleh Islam dan menghayatinya sebagai satu cara hidup. Misi dakwah
juga menjadi asas kepada menggerakkan pendakwah untuk menyampaikan seruan
mengenai agama Islam kepada penerima dakwah. Oleh yang demikian misi kepada
dakwah yang disampaikan perlu merangkumi semua aspek yang mana akan
memperjelaskan mengenai kesempurnaan Islam dari perkara utama dan asas iaitu
hal-hal yang berkaiatn dengan keimanan kepada Allah s.w.t hinggalah kepada
sekecil-kecil perkara seperti hal yang berkaitan kemanusiaan.
Selain itu, misi dakwah yang dibawa
jua perlu meliputi semua isi wahyu yang diturunkan kepada junjungan besar kita
Muhammad s.a.w. Hal ini kerana risalah dakwah yang terkandung dalam kita agung
umat Islam iaitu al-Quran akan tetap terjamin dan terpelihara oleh Allah s.w.t
dari sebarang penyelewengan hingga ke penghujung usia dunia ini. Isi
kandungannya juga tidak dapat ditandingi oleh sesiapa.
d)
Metod Dan Cara
( ( المنهج والأسلوب
Metod dan cara berdakwah yang
dianjurkan oleh Islam ketika hendak menyampaikan dakwah boleh dibahagikan
kepada lima bahagian. Antara metod yang dianjurkan ialah :
i.
Al-Hikmah
Syeikh al-Qahthani (1992:
27) telah menyimpulkan al-hikmah dengan katanya, “Setelah merenung dan
mengkaji, kita dapati bahawa takrif yang syumul yang menggabungkan dan
mencantumkan pelbagai pendangan dalam mendefinisikan al-hikmah ialah takrif
memebetuli atau menepati dalam perkataan dan perbuatan, dan meletakkan setiap
sesuatu pada tempatnya.”
ii.
Al-Maw’izah al-Hasanah
Metod al-maw’izah
al-hasanah ialah dengan memberi nasihat yang baik dengan menyatakan segala
tegahan yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah serta memberikan peringatan
terhadap kejadian yang pernah menimpa manusia dengan mengingatkan orang ramai
tentang kejadian tersebut supaya mereka beringat-ingat dengan balasan Allah
(Ibn Kathir, 1996: 93).
iii. Al- Mujadalah
al-Husna
Al-mujadalah al-husna
meliputi aspek-aspek persamaan antara pihak yang terlibat dalam sesuatu
perbahasan. Rentetan daripada itu barulah diperbahaskan masalah-masalah
perbezaan yang wujud hingga menjurus kepada titik tolak yang diharapkan tidak
meninggalkan kesan kekalahan dan kejatuhan harga diri, malah dengan penuh
kesedaran pihak sasaran menerima kebenaran yang tersingkap dengan hati yang
terbuka (Yusuf al-Qardawi, 1982: 212).
iv. Bi al-Lisan /
Bi al-Qawl
Lisan ialah anugerah yang
diberikan Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia. Melaluinya kata-kata dapat
didengar dan difahami serta menjadikannya bahasa perantaraan kepada komunikasi
antara manusia. Seseorang akan dikutuk dan dihina apabila mereka
menyalahgunakan lisan yang dikurniakan Allah s.w.t ketika di dunia dan semua
ini akan dihisab oleh-Nya diakhirat kelak.
v.
Fardiyyah
Dakwah fardiyyah ialah
satu ajakan, panggilan atau seruan ke jalan Allah s.w.t yang dilakukan oleh
seorang pendakwah, bagi mempengaruhi orang lain dengan tujuan untuk memindahkan
mereka dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik dan diredhai Allah
s.w.t (Ali Abdul Halim Mahmud, 1991: 19).
5.0 OBJEKTIF DAKWAH
Islam
merupakan agama yang benar dan mengajak manusia ke arah kebaikan. Manusia
dikurniakan akal dan fikiran oleh Allah SWT untuk menilai sesuatu perkara sama
ada perkara tersebut baik atau pun sebaliknya.
Namun begitu, disebalik anugerah
akal dan fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hambanya, masih ramai
di kalangan manusia yang masih kufur serta tidak beriman kepada Allah. Oleh
itu, dakwah memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan setiap umat
Islam kerana dengan dakwah, kita dapat mengajak manusia ke arah kebaikan serta
kembali ke jalan yang benar iaitu percaya dan beriman kepada Allah SWT.
Hal ini kerana, disebalik usaha
dakwah, terdapat objekti yang utama dalam penyebaran dakwah yang mana ianya
menjadi tuntutan ke atas setiap orang Islam. Dakwah dilaksanakan bertujuan
untuk membawa kepada kebaikan yang berpanjangan yang mana hasil daripadanya
akan membbawa seseorang manusia itu kepada penyempurnaan kebaikan. Oleh itu,
objektif dakwah dilaksanakan di dunia ini adalah bertujuan bagi mencapai
kebahagiaan dan menyebarkan Islam (Ahmad Ahmad Ghalush : 1978 : 29).
Hal ini kerana, Islam itu merupakan
agama yang syumul iaitu merangkumi setiap aspek kehidupan sama ada di dunia dan
juga di akhirat. Oleh itu, dakwah yang dilakukan bukan semata-mata bertujuan
bagi menarik golongan bukan Islam memeluk agama Islam sekaligus meramaikan
jumlah umat Islam tetapi ia ada lah sebaliknya. Hal ini kerana, disebalik
mengajak golongan bukan Islam menerima Islam, dakwah yang dilakukan juga adalah
bertujuan bagi membolehkan setiap manusia mencapai kebahagiaan di dunia dan
juga di akhirat.
Hal ini kerana dunia ini adalah
sementara dan juga merupakan jambatan bagi manusia sebelum menuju ke alam
akhirat. Disebalik mengajak kepada Islam, dakwah juga mampu membuatkan manusia
mencapai kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat kerana kebahagiaan yang
sejati adalah apabila berana di bawah rahmat Ilahi. Oleh itu, dakwah adalah
amat penting bagi membolehkan setiap manusia itu mencapai kebahagiaan sama ada
di dunia dan juga di akhirat.
6.0 PERSEDIAAN SEORANG PENDAKWAH
Berdakwah
merupakan tugas mulia yang diwarisi daripada para nabi dan rasul. Sebagaimana
nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rasul terakhir bagi menyebarkan risalah
Islam kepada seluruh alam, maka kita sebagai umat Islam berperanan dan
bertanggungjawab dalam meneruskan dakwah yang telah dimulakan oleh Baginda.
Oleh itu, dalam usaha kita
menyebarkan dakwah kepada golongan bukan Islam, terdapat beberapa perkara
penting yang perlu diberi perhatian bagi memastikan dakwah yang disampaikan dan
diterima oleh golongan bukan islam. Dalam hal ini, perkara yang dimaksudkan
ialah persediaan bagi seorang pendakwah sebelum menyampaikan dakwah.
Hal
ini kerana, dalam usaha berdakwah kepada golongan bukan islam, persediaan yang
rapi diperlukan bagi menerangkan segala perkara yang berkaitan dengan Islam dan
menjawab segala persoalan yang dilemparkan kepada para pendakwah. Oleh itu,
terdapat beberapa persediaan awal yang perlu dilakukan oleh pendakwah. Antara
persediaan yang perlu dilakukan ialah:
6.1 Mempunyai Ilmu Pengetahuan Yang Luas
Ilmu
merupakan perkara yang amat penting dalam kehidupan. Hal ini kerana, melalui
ilmu, seseorang itu dapat menilai baik buruk sesuatu perkara disamping
menimbang perkara tersebut dengan akal fikiran yang dianugerahkan oleh Allah
SWT. Oleh itu, dalam usaha menyampaikan dakwah kepada golongan bukan islam,
ilmu pengetahuan yang luas adalah amat penting bagi menjawab segala persoalan
dan pertanyaan yang diajukan kepada para pendakwah. Sebagaimana firman Allah
dalam al-Quran:
فَٱعۡلَمۡ أَنَّهُ ۥ لَآ إِلَـٰهَ
إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لِذَنۢبِكَ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِۗ
وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مُتَقَلَّبَكُمۡ
وَمَثۡوَٮٰكُمۡ (١٩(
Maksudnya:
Oleh itu, maka Tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad)
Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Allah, dan
mintalah ampun kepadanya bagi salah silap Yang Engkau lakukan.
(Muhammad; 47: 19)
Berdasarkan ayat diatas, dapat dilihat
bahawa ilmu pengetahuan amat penting sebelum bertindak dan melakukan sesuatu.
Hal ini kerana, sekiranya kita bertindak tanpa memiliki ilmu pengetahuan, tidak
kiralah sekuat mana kita berusaha, pasti tidak akan membuahkan hasil kerana perbuatan dan tindakan itu tidak akan
sempurna dan tidak akan mencapai sasaran yang dikehendaki bahkan akan menjadi
gagal. Oleh itu, jika ilmu pengetahuan dilihat amat penting sebelum melakukan
sesuatu perkara, adalah lebih utama lagi bagi memiliki ilmu pengetahuan yang
luas dalam usaha menyampaikan dakwah kepada golongan bukan islam kerana
dengannya kiata akan dapat menyampaikan manusia kepada Allah SWT (Abdul Karim
Zaidan : 1980 : 33).
Disamping itu, ilmu pengetahuan yang
luas amat penting dalam berdakwah kerana golongan bukan islam sudah semestinya
tidak mempercayai kebenaran yang dinyatakan dan yang terdapat di dalam
al-Quran. Oleh itu, adalah penting bagi setiap pendakwah untuk memiliki ilmu
pengetahuan yang luas agar mampu berhujah dengan menggunakan logik akal
disamoing dalil-dalil yang terdapat di dalam al-Quran. Hal ini kerana, adalah
sukar bagi seseorang itu untuk menerima Islam sekiranya individu yang mengajak
kepada Islam itu sendiri kurang pengetahuan mengenai dan tidak dapat
menjelaskan persoalan yang diajukan.
Oleh itu, dalam usaha berdakwah kepada
golongan bukan islam, ilmu dilihat amat penting dan merupakan persediaan asas
bagi seseorang pendakwah dalam usaha menyampaikan dakwah kepada golongan bukan
islam. Hal ini kerana, ilmu mampu menguatkan setiap perkara yang cuba
disampaikan oleh pendakwah.
6.2 Mengubah Sikap Dan Tingkah Laku
Dalam
usaha menyampaikan dakwah, setiap sudut yang adal pada diri pendakwah akan
diteliti. Hal ini kerana, seorang pendakwah itu mencerminkan Islam dan setiap
tingkah laku dan perbuatannya akan diperhatikan. Oleh itu, dalam usaha
berdakwah kepada golongan bukan isla, adalah amat penting bagi seseorang
pendakwah untuk mengubah sikap dan tingkah laku sebagai persediaan awal dalam
usaha menyampaikan dakwah kepada golongan bukan islam.
Di
samping mengajak kepada Islam, dakwah juga berperanan mempengaruhi orang lain
supaya mengubah sikap, pemikiran dan tingkah laku sesuai dengan ajaran agama.
Oleh itu, dalam uasaha menyampaikan dakwah kepada golongan bukan isla,
seseorang pendakwah itu dapat terus menerus mempengaruhi orang lain selagi mana
orang itu menaruh kepercayaan kepadanya dan kepada apa yang disampaikannya.
Namun begitu, ada kalanya seseorang itu disukai tetapi kata-kata yang
disampaikannya tidak dapat mempengaruhi orang yang mempercayainya (Abdullah
Hassan : 2007 : 179).
Masalah
ini berlaku kerana walaupun apa yang disampaikan adalah benar, namun sekiranya
terdapat cacat cela pada individu yang menyampaikan kebenaran tersebut, adalah
sukar bagi seseorang itu untuk menerima apa yang disamapai. Hal ini kerana,
dalam berdakwah tingkah laku pendakwah amat penting kerana dengan tingkah laku
yang baik, ia akan dapat mempengaruhi orang lain untuk menerima apa yang
disamapaikan. Hal ini kerana perkara yang zahir itu memainkan peranan yang
penting dan akan dinilai oleh manusia.
Oleh
itu, dalam usaha menyampaikan dakwah kepada golongan bukan islam, mengubah
sikap dan tingkah laku dilihat amat penting sebagai persediaan awal sebelum
berdakwah kepada golongan bukan islam keranaa dengannya ia akan lebih menjamin
kejayaan dan keberksanan dakwah yang disampaikan sekaligus menjadikan dakwah
yang disampaikan itu akan diterima
6.3 Memiliki Iman Yang Teguh
Islam
merupakan agama yang benar dan satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah.
Keimanan dan keyakinan yang teguh merupakan asas kepada keimanan kepada Allah
SWT. Hal ini kerana, tanpa keyakinan terhadap kebenaran yang dibawa oleh Islam,
adalah mustahil bagi seseorang itu untuk menerima Islam.
Dalam
usaha menyampaikan dakwah, keimanan yang teguh adalah amat penting bagi seorang
pendakwah kerana dengan iman yang teguh, barulalah seseorang itu mampu mengajak
manusia yang lain kkepada Islam. Apa yang dimaksudkan dengan iaman yang teguh
ialah keyakinan terhadap agama Islam yang telah dikurniakan Allah kepadanya dan
diperintahkan untuk menyampaikannya. Firman Allah di dalam al-Quran:
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا
ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ
ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَٮِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ
ٱلۡعِلۡمِۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ۬ وَلَا نَصِيرٍ (١٢٠(
Maksudnya:
Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam
itulah petunjuk yang benar. (al-Baqarah; 2: 120)
Oleh itu,
dalam usaha menyampaikan dakwah kepada golongan bukan islam, keyakinan terhadap
kebenaran Islam itulah yang menjadi suatu prinsip yang tidak dapat di
tawar-tawar lagi. Setiap penyeleengan yang dilakukan daripada prinsip tersebut
adalah kesesatan yang lahir dari nafsu keinginan yang merupakan tanda kurang
sempurnanya iman (Abdul Karim Zaidan : 1980 : 45).hal ini kerana, iaman menjadi
tunjang asas kepada seseorang muslim dalam mengharungi cabaran yang dihadapi
sama ada dalam kehidupan ataupun dalam usaha menyampaikan dakwah.
Oleh itu,
sebagai persediaan seorang pendakwah, keimanan yang teguh kepada Allah dilihat
suatu kelenhgkapan yang amat diperlukan. Hal ini kerana, dalam usaha berdakwah
kepada golongan bukan islam, kita inginkan mereka tertarik kepada Islam dan
bukannya sebaliknya. Namun, hal itu mungkin berlaku sekiranya seorang pendakwah
itu tidak memiliki keimanan yang teguh, berkemungkinan baginya untuk tertarik
kepada agama lain seterusnya menjadi kufur kepada Allah SWT.
Oleh itu,
dalam usaha menyampaikan dakwah kepada golongan bukan islam, persediaan yang
rapi diperlukan oleh seorang pendakwah bagi memastikan dakwah yang disampaikan
berjaya sekaligus menjadikan Islam agama yang diterima oleh semua masyarakat.
Disamping itu, persediaan yang rapi mampu menjadikan seseorang pendakwah itu
mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menyampai dakwah kepada orang lain sama ada
masyarakat bukan islam mahhupun masyarakat islam itu sendiri.
7.0 METODOLOGI DAKWAH KEPADA NON-MUSLIM
Dakwah Islamiyyah bukanlah satu kegiatan yang boleh dilakukan secara
sambil lewa kerana ia merupakan satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh
umat Islam. Dakwah perlu dilakukan oleh orang yang mempunyai ilmu
pengetahuan bukan hanya sekadar minat dan semangat semata-mata. Seseorang
pendakwah perlu mengetahui dengan jelas asas-asas ilmu dakwah dengan
mempelajari metodologi-metodologi tertentu seperti mana yang telah digunapakai
oleh Baginda Nabi s.a.w kerana Baginda merupakan perintis kepada ilmu dakwah.
Metodologi dakwah yang sama boleh digunapakai dalam usaha berdakwah kepada
golongan non-muslim dengan menerapkan sedikit elimen-elimen atau disesuaikan
dengan persekitaran semasa.
Antara metodologi yang
boleh digunapakai ialah:
a) Hikmah dan
Pengajaran yang Baik.
Cara hikmah
yang dimaksudkan ialah perkataan yang tegas dan benar yang membezakan antara
yang hak dan yang batil. Dakwah harus disampaikan dengan cara yang berhikmah
dan tidak menimbulkan perkara yang samar-samar dan boleh mengelirukan golongan non-muslim.
Pengajaran daripada cerita yang disampaikan juga harus dalam bentuk yang penuh
hikmah dan lemah-lembut tanpa mengabaikan amaran yang terkandung dalam risalah
dakwah.
Hal ini telah
dijelaskan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui firmannya:
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ
بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ
أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦۖ وَهُوَ
أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ
Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan
hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan
mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya
Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan
Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat
petunjuk.
(al-Nahl; 16:125)
Peranan akhlak yang ditonjolkan
pendakwah dapat membantu kejayaan seseorang pendakwah dalam menyebarkan dakwah
kepada golongan non-muslim. Para pendakwah boleh menjadikan Rasulullah s.a.w
sebagai contoh ikutan. Hal ini kerana Allah s.w.t sendiri telah memperakui
Baginda sedemikian dalam al-Quran. Karekter yang ditonjolkan oleh Baginda
menambahkan lagi keyakinan dan kepercayaan golongan non-muslim bahawa melaksanakan
ajaran Islam bukanlah sesuatu yang sukar. Inilah yang sepatutnya diikuti oleh
pendakwah masa kini dalam menyebarkan agama Islam kepada golongan non-muslim.
b) Membalas
Kejahatan dengan Kebaikan
Metodologi
dakwah ini sesuai digunakan oleh seorang pendakwah dalam menarik golongan
non-muslim kepada Islam. Hal yang demikian juga telah diajarkan oleh Baginda
Nabi s.a.w kepada seluruh umatnya iaitu membalas kejahatan dengan kebaikan.
Seorang
pendakwah perlu sentiasa berwajah ramah dan murah dengan senyuman serta
sentiasa menjaga sopan dan santun ketika berinteraksi dengan masyarakat biarpun
ketika itu pendakwah tersebut diuji dengan pelbagai cabaran daripada
masyarakat. Kesabaran dan sifat pemaaf yang ditonjolkan oleh seorang pendakwah
mampu mencairkan hati golongan non-muslim untuk memeluk Islam. Sejarah dakwah
Nabi s.a.w telah membuktikan bahawa membalas kejahatan dengan kebaikan mampu
membawa seseorang individu kepada Islam.
Kisah seorang
pengemis buta yang sentiasa mencaci Rasululluh s.a.w boleh dijadikan iktibar.
Dengan berkat kesabaran Baginda s.a.w yang terus berbuat baik kepada pengemis
tersebut dengan member makan kepadanya telah melembutkan hati pengemis tersebut
memeluk Islam.
c) Tulisan
Seorang pendakwah bukan
sahaja boleh berdakwah melalui ucapan, bahkan mesej dakwah juga boleh
disampaikan melalui tulisan yang ditulis kepada sahabat-sahabat dari golongan
non-muslim.
Tulisan yang
disampaikan kepada penerima dakwah boleh berbentuk seruan dan ajakan kepada
agama Islam. Selain itu, pendakwah juga boleh menulis tulisan-tulisan yang
berkaitan panduan dan ajaran yang terkandung dalam agama Islam agar lebih
difahami oleh golongan sasar selain menceritakan kebaikan-kebaikan yang ada
pada agama Allah ini berbanding agama yang mereka anuti.
d) Kaunseling
Untuk mencapai tujuan
dakwah yang sebenar, ia memerlukan kepada peralatan dan prasarana yang
mencukupi. Media dakwah ialah segala yang boleh digunakan sebagai alat untuk
mencapai tujuan dakwah seperti yang telah ditentukan.
Dakwah masa
kini hendaklah sedikit berbeza berbanding dahulu. Selain lisan, dakwah boleh
dilakukan melalui bimbingan dan praktikal dengan menggunakan cara yang lebih
meluas. Kelompok-kelompok dalam masyarakat yang dikenal pasti boleh menjadi
kumpulan sasar perlulah didekati. Kaunseling adalah salah satu metod dakwah
yang sesuai bagi mendekati golongan sasar. Jangan menganggap bahawa kaunseling
hanya kepada mereka yang bermasalah. Seorang pendakwah harus bijak menggunakan
kaedah ini bagi menyebar luaskan ajaran Islam kepada golongan non-muslim.
Disamping menyampaikan nasihat, pendakwah juga boleh menyelitkan
risalah-risalah dakwah di dalamnya.
Metod ini telah
diperlihatkan oleh Allah s.w.t melalui firmanNya:
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ
بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ
أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦۖ وَهُوَ
أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ
Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan
hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan
mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya
Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya
dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat
petunjuk.
(al-Nahl; 16:125)
Perkataan
nasihat pada ayat al-Quran diatas adalah sama konsepnya dengan kaunseling. Oleh
itu dalam mendekati golongan non-muslim, para pendakwah boleh menggunakan
kaedah ini untuk menyebarkan dakwah disamping dapat membetulkan akidah manusia
selain membantunya menyelesaikan kerumitan yang berlaku (Amaludin Ab. Rahman,
2008: 146-147).
e)
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
Dengan
adanya teknologi maklumat yang serba canggih kini, perhubungan antara manusia
menjadi lebih mudah. Pelbagai medium komunikasi yang menggunakan teknologi
seperti email, khidmat pesanan ringkas, facebook, twiter, blog
dan sebagainya boleh dijadikan alat untuk berdakwah. Oleh yang demikian, para
pendakwah perlu mengambil kesempatan dengan menggunakan segala medium ini untuk
mendekati kumpulan sasar terutamanya golngan non-muslim.
Dengan adanya
medium seperti ini risalah dakwah lebih mudah disampaikan dan cepat. Pendakwah
tidak perlu lagi untuk keluar berjumpa golongan ini dan dakwah boleh dilakukan
di pada bila-bila masa sahaja. Pendakwah boleh menulis kata-kata nasihat dan
menceritakan kebaikan Islam dan disampaikan kepada golongan non-muslim melalui email
dan sebagainya.
8.0 MEDIUM-MEDIUM DAKWAH
Untuk mencapai tujuan dakwah, ia memerlukan peralatan dan
prasarana yang mencukupi. Medium dakwah merupakan segala sesuatu yang boleh
digunakan sebagai alat untuk mencapai tujuan dalam berdakwah. Medium dakwah
merangkumi barang(material), orang, suasana, organisasi, dana, bahasa dan
sebagainya.
Hal ini kerana, dengan kecanggihan teknologi,
pelbagai perkara boleh dijadikan medium dalam penyebaran dakwah tanpa perlu
bergantung kepada sesuatu perkara sahaja. Terdapat pelbagai medium boleh
dijadiakan perantara dalam menyampaikan dakwah kepada golongan bukan islam.
Antara medium yang boleh diguna pakai dalam penyebaran dakwah ialah:
8.1 Teknologi Maklumat Dan Komunikasi
Kita sedia maklum bahawa
pada zaman teknologi yang canggih ini dua orang yang berjauhan boleh berhubung
hanya dengan menghadap sebuah komputer. Justeru, para pendakwah seharusnya
memanfaatkan kemudahan dan kelebihan yang dimiliki sepenuhnya untuk berdakwah.
Disamping menggunakan medium lama seperti berceramah dan sebagainya, medium
baru juga boleh digunakan sebagai medium tambahan dalam usaha menyebarkan
dakwah Islam.
Menerusi
kecanggihan teknolog maklumat, pelbagai perkara yang sukar boleh dilakukan
kerana setiap perkara adalah tidak mustahil pada masa kini. Hal ini kerana,
dengan teknologi yang canggih, pelbagai perisian yang diperlukan oleh seorang
pendakwah boleh diperolehi dengan mudah seperti perisian al-Quran serta
hadis-hadis sahih. Dengan ini, penyebaran dakwah dapat dilakukan dengan lebih
mudah serta menjamin keberkesanan dakwah yang dilakukan (Zulkiple Abd. Ghani :
2007 : 77)
Disamping itu, melalui kecanggihan teknologi maklumat,
dakwah juga boleh dilakukan dalam bentu multimedia. Contoh yang dapat dilihat
ialah melalui penghasilan animasi Muhammad The Last Propeht. Melalui perkara
seumpama ini, mesej mengenai Islam dan segala ajarannya dapayt disampaikan
dengan lebih meluas kerana ianya mampu sampai ke seluruh negara dan tidak
tertumpu kepada sesuartu kawasan sahaja. Oleh itu, melalui pengaplikasian
teknologi maklumat, usaha dakwah kepada masyarakat bukan islam dapat dilakukan
dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
8.2 Media Cetak Dan Elektronik
Medium dakwah pada masa
dahulu adalah jauh berbeza dengan masa kini. Hal ini kerana, pada masa dahulu,
masyarakat hidup dalam keadaan serba kekurangan. Ketika itu, alatan-alatan
seperti pembesar suara, radia serta televisyen masih belum wujud.
Namun begitu, hal ini adalah jauh berbeza dengan masa
kini yang mana kita dilengkapi dengan pelbagai peralatan yang cangggih seperti
televisyen, radia, telefon bimbit, akhbar, majalah dan banyak lagi. Melalui
kecanggihan teknologi, para pendakwah masa kini dapat menyampaikan dakwah
dengan lebih mudah tanpa perlu pergi kepada golongan sasaran sebaliknya boleh
menggunakan kemudahan yang sedia ada seperti radio dan televisyen. Walaupun
golongan sasaran merupakan mereka yang bukan beragama isla, tetapi melalui
siaran radio dan televisyen, sedikit sebanyak ia mampu menggerakkan hati mereka
untuk melihat apa yang cuba disampaikan oleh Islam. Medium seperti ini dapat
memudahkan para pendakwah dalam menyebarkan dakwah tanpa perle bersesak-sesak
di tengah jalan raya untuk menyebarkan dakwah ke tempat yang jauh (H. Munawir
Abdul Falah : 2005 : 146).
Begitu juga halnya
dengan media cetak yang mudah dikeluarkan dengan adanya mesin pencetak yang
canggih. Para pendakwah boleh menggunakan satu ruanagn bagi menyampaikan mesej
dakwah walaupun sedikit seperti akhbar, majalah, cerpen ilmiah dan banyak lagi.
Akhbar serta majalah merupakan media cetak yang amat berpengaruh dan tersebar
dengan lebih cepat berbanding bahan penulisan yang lain (www.mufti selangor.gov.my.2011)
Oleh itu, disebalik
kecanggihan teknologi yang dimilki p0ada masa kini, adalah amat penting bagi
setiap pendakwah untuk mempelajari serta mendalami kecanggihan teknologi yang
dimiliki. Hal ini bagi memastikaan bahawa para pendakwah mampu menggunakan
serta mengaplikasikan setiap kemudahan dan kecanggihan teknologi yang dimiliki
dalam usaha menyampaikan dakwah kepada golongan bukan Islam.
8.3 Perbincangan Atau Dialog
Dalam usaha menyampaikan
dakwag, perbincangan dilihat amat penting sebagaai salah satu jalan dalam usaha
menyebarrkan Islam. Hal ini kerana, melalui perbincangan, kita dapat memahami
cara berfikir seseorang individu sekaligus mampu memahami mengapa ia tetap
dengan agama asalnya dan tidak tertarik kepada Islam.
Perbincangan atau dialog dilihat sebagai medium yang amat
sempurna dalam menjalankan usaha dakwah. Hal ini kerana, melalui perbincangan,
akan terhasil pertukaran pendapat antara dua orang atau lebih yang mana setiap
pihak mengemukakan pendapatnya mengenai perkara yang dibincangkan.
Dalam sesuatu perbincangan, seseorang pendakwah haruslah
menggunakan cara yang baik, kata-kata yang beradab dan sopan, selalu merendahkan
diri apabila berbicara, sentiasa tenang serta tidak meninggikan suara. Selain
itu, seseorang pendakwah juga perlu mengawal perasaan marah, tidak mengeluarkan
perkataan yang menghina atau kata-kata yang dapat melukakan perasaan dan
apabila berbicara hendaklah menggunakan perkataan yang lemah lembut dan penuh
kasih sayang namun tetap dengan pendiriannya iaitu menyatakan kebenaran dan
meyakinkan orang kepada kebenaran (Abdul Karim Zaidan : 1980 : 274). Ini adalah
bertepatan dengan firman Allah di dalam al-Quran:
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ
وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ
رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ
بِٱلۡمُهۡتَدِينَ (١٢٥(
Maksudnya:
Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan
nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau
serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik;
(an-Nahl; 16: 125)
Berdasarkan ayat diatas,
dapat dilihat bahawa Islam menganjurkan cara yang baik dalam berdakwah kepada
golongan bukan Islam. Oleh itu, sebagai pendakwah, kita haruslah mempersiapkan
diri sama ada dari segi mental mahupun fizikal bagi menghadapi cabaran dan
dugaan yang bakal dihadapi dalam usaha menyampaikan dakwah kepada golongan
bukan islam.
9.0 CABARAN DALAM USAHA BERDAKWAH
Dakwah Islamiah merupakan suatu usaha untuk
membentuk pemikiran dan sikap manusia supaya berada di dalam satu acuan yang
ditentukan oleh Allah SWT . Untuk mencapai matlamat tersebut, banyak halangan
yang terpaksa dihadapi oleh pendakwah yang datang dari pelbagai pihak.
Namun keadaan tersebut
tidaklah bererti bahawa ada kalanya dakwah tidak menghadapi apa-apa masalah.
Jadi yang dimaksudkan dengan rintangan dakwah ialah masalah-masalah yang lahir
disebabkan oleh keadaan-keadaan tertentu yang sepatutnya tidak ada. Antara
cabaran yang dihadapi dalam usaha berdakwah ialah:
9.1 Konsep Islamophobia
Media massa tempatan
dan di luar negara tidak henti-henti menyiarkan rencana, pemberitaan dan
komen-komen yang memburukkan Islam. Mereka mengguna pakai istilah-istilah yang
sengaja mengaitkan Islam dengan perbuatan jenayah, ganas, bermuslihat dan
sebagainya untuk menutup mata terhadap perlakuan ganas regim
penjajah, Israel dan negara kuasa besar yang sering melakukan
keganasan terhadap negara-negara kecil di dunia.
Dalam
masa yang sama mereka memperguna prasarana undang-undang antarabangsa dan
insititusi antarabangsa untuk mengekang kebangkitan negara-negara Islam (Abd
Ghani Samsudin : 2002). Oleh itu kesan daripada apa yang disiarkan dan
pemahaman masyarakat dunia terhadap Islam, maka adalah sukar bagi pendakwah
untuk menyebarkan Islam kerana masyarakat telah mempunyai pandangan negatif
terhadap Islam.
Melalui
konsep islamophobia ini, para pendakwah semakin sukar bagi mendekati masyarakat
bukan islam kerana mereka lebih suka menjauhkan diri daripada masyarakat Islam.
Hal ini kerana mereka
terkesan dan terpengaruh dengan berita yang digembar gemburkan oleh barat.
Mereka beranggapan bahawa apa yang disampaikan adalah benar dan Islam merupakan
agama yang menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
Oleh itu, adalah penting
bagi para pendakwah berusaha untuk mendekati golongan bukan islam bagi
menyampaikan dakwah seterusnya menjelaskan kepada mereka keadaan ayng
sebenarnya. Hal ini kerana, pemahaman yang betul mengenai Islam harus
disebarkan bagi menghilangkan keraguan tentang Islam dalam kalangan masyarakat
bukan islam. Ini kerana tindakan
segelintir masyarakat Islam tidak menggambarkan keadaan yang sebenarnya
mengenai Islam.
9.2 Penerimaan Keluarga Dan Masyarakat
Berdakwah kepada
masyarakat bukan islam di Malaysia merupakan satu cabaran yang besar bagi
setiap pendakwah. Hal ini kerana masyarakat malaysia terdiri daripada pelbagai
latar belakang masyarakat. Oleh itu terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang
dihadapi dalam usaha menyebarkan dakwah Islam.
Bagi individu yang
tertarik kepada Islam, agak sukar bagi mereka untuk menerima Islam kerana
bimbang akan penerimaan keluarga dan masyarakat. Hal ini kerana, bagi seseorang
yang memeluk agama Islam, ia akan berhadapan dengan tekanan daripada keluarga
serta komuniti asal agamanya. Ia merupakan fenomena atau masalah umum yang akan
dihadapi oleh mereka yang ingin memeluk agama Islam. Terputusnya hubungan
kekeluargaan dan kehilangan pekerjaaan adalah dua masalah utama yang biasanya
dihadapi oleh mereka yang ingin memeluk Islam (Abdul Ghafar Hj Don & Zulkiple
Abd. Ghani : 2009 : 174).
Oleh itu, bagi setiap
pendakwah, ujian dan dugaan seperti ini harus cuba diatasi bagi menjayakan
usaha dakwah yang dilakukan. Golongan bukan islam pasti akan memikirkan perkara
ini adalah suatu masalaah besar sekiranya mereka memeluk Islam. Oleh itu,
adalah penting penerangan diberikan bahawa walaupun mereka dan ahli keluarga
sudah berbeza agama, tetapi hubungan kekeluargaan tetap terjalin dan tidak
terputus disebabkan perbezaan agamaa.
Di samping itu, bagi
mereka yang kuatir akan kehilangan pekerjaan disebabkan pertukaran agama, harus
diyakinkan bahawa Allah itu maha berkuasa dan Ia berkuasa memberi rezeki kepada
hamba-hambaNya. Oleh itu, para pendakwah harus bijak dalam usaha menangani
masalah seperti ini sekiranya ia terjadi dalam usaha menyampaikan dakwah kepada
masyarakat bukan islam.
9.3 Gaya Hidup Masyarakat Islam
Islam merupakan agama
yang mengajak kepada kebaikan. Islam telah meletakkan garis panduan yang
lengkap kepada penganutnya merangkumi segala asperk seperti, ibadah, muamalah,
jenayah, kehidupan seharian dan sebagainya.
Namun begitu, tidak
setiap umat Islam mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan di dalam Islam.
Hal ini telah menyebabkan berlakunya masalah dan halangan dalam menyebarkan
dakwah sekaligus menjadikan cabaran berdakwah semakin sukar. Kadang kala
golongan bukan islam merasa keliru dengan gaya hidup tidak Islamik sebilangan
ahli komuniti muslim khususnya orang Melayu-Islam. Gejala murtad, masalah
sosial, krisis kepimpinan adalah antara masalah besar yang dikaitkan dengan
komuniti Melayu-Islam. Isu-isu tersebut memberi gambaran buruk kepada komuniti
lain dalam melihat Islam (Abdul Ghafar Hj Don & Zulkiple Abd. Ghani : 2009
: 176).
Oleh itu, adalah penting
bagi setiap masyarakat Islam untuk berusaha bagi memperbaiki diri serta
menyelesaikan permasalahan dalaman yang timbul bagi menunjukkan imej yang
positif kepada masyarakat bukan islam. Hal ini adalah penting bagi menarik
masyarakat bukan islam agar dekat kepada Islam sekaligus menjadikan mereka
hamba yang beriman kepada Allah SWT.
10.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, dakwah merupakan suatu tuntutan ke atas setiap
orang Islam. Hal ini kerana, adalah menjadi tanggungjawab kita bagi mengajak
mereka yang belum menganal Islam agar beriman kepada Allah dan tidak
menyekutukanNya dengan sesuatu.
Asas kejayaan
sesuatu usaha dakwah yang dilakukan terlatak pada diri pendakwah itu sendiri.
Hal ini kerana, pendakwah memainkan peranan penting dalam usaha menarik serta
meyakinkan masyrakat bukan islam kepada kebenaran islam. Adalah amat penting
bagi seseorang pendakwah itu untuk mempersiapkan diri sebelum menjalankan
dakwah bagi memastikan apa yang cuba disampaikan itu dapat diterima serta tidak
dapat disangkal olehh golongan sasaran.
Oleh itu, dakwah
dilihat sebagai suatu usaha yang amat penting bagi menjamin kebahagiaan bersama
sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Hal ini kerana, kehidupan di dunia
ini hanyalah sementara dan dunia ini merupakan jambatan bagi menuju ke akhirta.
Oleh itu, adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu yang bergelar muslim
bagi menjalankan dakwah bagi mengajak manusia agar kembali ka jalan yang benar
iaitu dengan mentauhidkan Allah SWT.
BIBLIOGRAFI
Al-Quran
al-Karim
Abdul Ghafar Hj. Don
& Zulkiple Abd. Ghani. 2009. Dakwah Kepada Non-Muslim Di
Malaysia: Konsep, Metode dan Pengalaman. Selangor: Pusat Penerbitan Dan
Percetakan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Abdul Karim Zaidan. 1972. Usul al-Dakwah. Baghdad:
Matba’ah al-A’zim
Abdullah Hassan. 2007. Berdakwah
Dengan Efektif. Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd
Ahmad Ahmad Ghalush. 1978. Al-Da’wah al-Islamiyyah. Beirut:
Dar al-Hunani
Al-Fadhil Ustaz Abd
Ghani Samsudin. 2002. Ijtima' Ulama' Negeri Pahang pada 4 Jun 2002 anjuran
Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Pahang di Hotel Seri Malaysia, Temerloh
Pahang.
Ali Abdul al-Halim. 1990. Fiqh al-Dakwah Ila Allah.
Al-Mansurah: Dar al-Wafa’
Amaludin Ab.
Rahman. 2008. Perkhidmatan Kaunseling: Pendekatan Dalam Hikmah Berdakwah.
Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd.
Dr. Abdul Karim Zaidan.
Terjemahan H.M. Asywadi Syukur LC. 1980. Jilid 2. Dasar-Dasar Ilmu Dakwah.
Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Islam
Ghalwash,
Ahmad, Ahmad. 1978. Al-Dakwah Al-Islamiah : Usuluha wa Wasailuha. Al-Qahirah:
Dar al-Kitab al-Misry.
H. Munawir Abdul Falah. 2005. Pantulan Cahaya Rasul.
Yogjakarta: Pusaka Pesantren
Kamus Dewan
Edisi Ketiga. 1998. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rusydi Ramli al-Jauhari. 2012. Biografi Agung
Rasulullah s.a.w. Kuala Lumpur: Must Read Sdn. Bhd.
Zulkiple Abd. Ghani.
2001. Islam, Komunikasi Dan Teknologi Maklumat. Kuala Lumpur: Utusan
Publications and Distributors Sdn.Bhd.