Thursday, April 7, 2011

PENGURUSAN DAN PENGURUS

1.0              PENDAHULUAN

Islam sebagai cara hidup yang komprehensif dapat memberikan petunjuk terbaik kea rah budaya kerja yang cemerlang. Selain membawa pandangan sarwa tauhidik, Islam juga memberikan etos kerja yang dapat dijadikan landasan motivasi dan wahana pembinaan sikap pengurusan yang baik. Etos dalam pengertian nilai dan norma (values and norms) memang sangat menentukan pola sikap terhadap kerja, tahap semangat dalam bekerja dan watak sebagai pekerja.
           
Di samping itu, Islam (al-Quran dan as-Sunnah) juga memberikan kaedah-kaedah operasional pengurusan seperti syura (musyawarah) dan lain-lainnya. Dengan kata lain, pengurusan dalam Islam adalah alternatif paling tepat kea rah tatakelola yang baik (good governance), prestasi kerja yang cemerlang dan produk yang berkualiti.




2.0       DEFINISI
            2.1       PEGURUSAN
Pengurusan dapat didefinisikan sebagai perihal (kerja dan sebagainya) mengurus sesuatu atau perihal mengurus (syarikat, badan perniagaan dan lain-lain) (Kamus Dewan Edisi Ketiga : 2002 : hlm 1529).

Pengurusan juga dapat ditakrifkan sebagai  proses perancangan,  penyusunan, pengarahan, dan pengawalan usaha ahli-  ahli organisasi dan menggunakan semua sumber organisasi  untuk mencapai matlamat organisasi.

Ada juga yang mentakrifkan pengurusan sebagai proses pengarahan, penyelarasan, dan pengaruh ke atas operasi  organisasi untuk mencapai matlamat yang dikehendaki dan  prestasi sepenuhnya.  Definisi di atas, walaupun mempunyai sedikit perbezaan dari segi bilangan dan jenis fungsi pengurusan, tetapi kedua-dua definisi itu mengandungi perkataan "proses" dan "matlamat". Ini bermakna, dua aspek penting di dalam pengurusan ialah:

                                                        i.            Pengurusan sebagai proses: menjalankan kerja secara sistematik serta memerlukan hubungan tertentu antara satu aktiviti dengan satu aktiviti yang lain.
                                                      ii.            mencapai matlamat organisasi: Apabila aktiviti organisasi itu berjalan dengan teratur dan berhubung atau membantu antara satu dengan lain, maka matlamat organisasi itu dapat dicapai. Matlamat organisasi dapat berbentuk kualitatif (subjektif) atau kuantitatif (objektif).



2.2       PENGURUS
Pengurus dapat didefinisikan sebagai (orang dan lain-lain) yang mengurus, (orang dan lain-lain) yang menjalankan pengurusan (Kamus Dewan Edisi Ketiga : 2002 : hlm 1530). Pengurus juga didefinisikan sebagai penyelaras dan pengarah di dalam organisasi yang mengawasi aliran kerja serta menyatupadukan semua unsur-unsur organisasi.
Selain itu, pengurus juga ditakrifkan sebagai seorang individu yang digaji bagi mempengaruhi, memimpin, membimbing membuat keputusan dan menggunakan sumber organisasi untuk mencapai objektif dan matlamat organisasi.





3.0       PROSES PENGURUSAN  
Setiap perkara yang hendak dilakukan perlu melalui proses-prosesnya yang tersendiri. Begitu juga dengan pengurusan. Proses dalam pengurusan pengurusan penting bagi memastikan apa yang diuruskan itu berjaya atau dapat dilaksanakan dengan baik.
            Pengurusan dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat bergantung kepada cara kita melakukan proses mengurus. Secara amnya proses pengurusan dibahagikan kepada empat proses yang utama iaitu perancangan, penyusunan, pengarahan dan pengawalan(Auni Hj Abdullah t.thn :31). Proses-proses ini saling berkai antara satu sama lain bagi mewujudkan satu proses pengurusan yang berterusan dan mantap.




3.1       Perancangan
Perancangan ialah proses yang melibatkan perletakan matlamat, menerangkan strategi-strategi dan membangunkan pelan-pelan bagi menyelaraskan aktiviti kerja. Sebelum pihak pengurusan memulakan aktiviti organisasi, perancangan hendaklah dibuat terlebih dahulu. Pada peringkat perancangan, terdapat beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian.
                                i.            Tujuan dan objektif
Hal ini termasuklah mengenal pasti perkara yang ingin dicapai oleh sesebuah organisasi berdasarkan matlamat penubuhan organisasi tersebut dan prestasi yang diinginkan seperti kadar pertumbuhan organisasi atau peratusan keuntungan dan lain-lain.

                              ii.            Strategi organisasi
Apabila matlamat dan tujuan telah jelas, organisasi perlu mencari jalan (strategi) untuk mencapai matlamat dan tujuan yang telah ditetapkan. Dalam merangka stretegi, pihak pengurusan perlu membincangkan perkara seperti strategi pemasaran yang meliputi perletakan harga, perluasan pasaran atau perbezaan barangan jika organisasi itu berasaskan perniagaan dan lain-lain agar organisasi itu dapat bersaing dengan pihak luar.

                            iii.            Langkah seterusnya
Pihak pengurusan harus mengatur program atau projek mengikut strategi yang berasaskan matlamat organisasi agar ianya dapat dicapai dengan baik.



3.2       Penyusunan

Penyusunan ialah proses yang melibatkan usaha yang bakal menentukan apakah tugas yang patut dilaksanakan, siapa yang patut laksanakannya, bagaimana ia perlu dilaksanakan, siapa yang melapor kepada siapa dan di mana keputusan patut dibuat. Penyusunan melibatkan kerja-kerja menstruktur organisasi dan penstafan (proses pengambilan kakitangan). Struktur organisasi menunjukkan pembahagian kerja mengikut aktiviti, tingkat (hieraki) autoriti, penyelarasan melalui peraturan dan dasar serta prosedur yang dibuat.

Penstafan pula meliputi perancangan sumber manusia, pengambilan dan pemilihan kakitangan, orientasi dan latihan, penilaian prestasi, sistem pampasan (gaji, upah dan faedah), program keselamatan dan kesihatan kakitangan dan program kebajikan dan perkhidmatan kakitangan.




3.3       Pengarahan

Melibatkan usaha memotivasikan pekerja, mengarah aktiviti-aktiviti, memilih saluran komunikasi yang paling berkesan dan menyelesaikan sebarang konflik yang timbul. Pengarahan merupakan fungsi penting untuk menjamin aktiviti organisasi berjalan dengan teratur dan sempurna dalam suasana harmoni. Untuk mencapai matlamat ini, faktor-faktor motivasi, kepimpinan dan sistem komunikasi perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan.



3.4       Pengawalan

Proses memantau prestasi, membandingkan prestasi dengan matlamat dan membetulkan sebarang penyimpangan yang berlaku. Pengawalan merupakan fungsi terakhir untuk menentukan bahawa prestasi organisasi telah dicapai mengikut perancangan, masalah dalam penyusunan dikenal pasti dan lungkah tertentu diambil, faktor-faktor di dalam organisasi, keinginan dan sifat kakitangan yang ada hubungan dengan prestasi dan tingkah laku perlu diberi perhatian dan diawasi.






4.0       FUNGSI PENGURUSAN
           
Pengurusan diperlukan dalam semua organisasi, tidak kira sama ada organisasi itu besar atau kecil, swasta atau badan kerajaan. Fungsi pengurusan bukan sahaja menjadi tanggungjawab seorang pengurus besar atau pengarah tetapi turut menjadi tanggungjawab penyelia atau ketua bahagian yang berada dalam organisasi tersebut.

            Dalam konteks pengurusan, pengurus ialah mereka yang bertanggungjawab terhadap pekerjaan orang lain pada semua peringkat. Setiap pengurus mempunyai tugas dan tanggungjawabnya yang tertentu. Antara tanggungjawab seorang pengurus ialah (Dr. K.H Didin Hafidhudin :2003:45):

i.        Pengurus ialah penyelaras dan pengarah di dalam organisasi yang mengawasi aliran kerja serta menyatupadukan semua unsur organisasi. Mereka mempunyai kuasa yang diberikan untuk mengarah orang lain yang berada dibawah tanggungjawabnya.

ii.      Pengurus bertanggungjawab menggunakan segala sumber dengan efisien untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.


iii.    Pengurus juga tidak boleh lari dari tanggungjawab ke atas kegagalan dan kejayaan orang dibawah jagaannya. Kegagalan dan kejayaan itu mencerminkan prestasi pengurus berkenaan.

iv.    Pengurus mengimbangkan matlamat dan menetapkan priority seperti menjalankan kerja yang penting terlebih dahulu atau dengan serta-merta.


v.      Pengurus mewujudkan matlamat, perancangan, dasar dan mengimplentasikan strategi.




5.0       UNSUR-UNSUR PENGURUSAN
Sebagaimana telah dijelaskan, di dalam pengurusan terdapat enam unsur pokok yang terdiri daripada 5M dan 1T (Attabik Luthfi t.thn : 27).

5.1       Man (manusia)
Man merupakan unsur yang paling dominan dan paling penting dalam sesebuah pengurusan. Jika sebaik manapun gabungan 4M dan 1T dimiliki, jika ia dikelola oleh manusia yang tidak cekap maka hasilnya adalah tidak optimum. Sebagai contoh, Indonesia adalah sebuah negara yang memiliki hasil bumi yang banyak. Namun begitu, sumber manusia yang dimiliki adalah kurang produktif maka hasil bumi tidak dapat dikeluarkan secara optimum. Buktinya kita dapat lihat miskin, rasuah, kacau bilau dan sebagainya berlaku dengan berleluasa.
            Hal ini nyata berbeza dengan negara Singapura. Singapura adalah sebuah negara yang memiliki hasil bumi yang agak terhad. Namun begitu, sumber manusia yang dimilikinya adalah sangat produktif dan hasilnya pun memuaskan. Rakyatnya kaya, cerdas, bersih, rapid an teratur.

5.2       Machine (jentera)
Mechine yang dimaksudkan adalah jentera tidak kira sama ada ia adalah benda hidup atau mati selain manusia yang berguna untuk membantu bagi memudahkan proses pengeluaran seperti gedung, komputer, telefon bimbit, motor dan sebagainya.

5.3       Method (cara/kaedah/aturan)
Method boleh berbentuk pengarahan kerja, prosedur, petunjuk teknik, panduan, pedoman hingga peraturan perundagan.

5.4       Money (alat tukaran)
Money boleh berbentuk wang atau emas dan lain-lain bentuk mata wang.

5.5       Material (kebendaan)
Sesuatu organisasi perlu memiliki peralatan atau aset yang sepatutnya bagi memastikan proses pengurusan dapat dijalankan dengan lebih baik dan teratur. Jika sesuatu organisasi tidak memiliki aset sendiri yang boleh membantu dalam menjalankan sesuatu proses pengurusan seperti bangunan, kenderaan, peralatan pejabat dan lain-lain, berkemungkinan proses pengurusan organisasi tersebut akan terganggu.

5.6       Time (masa)
Dalam apa jua perkara yang dilakukan termasuklah proses pengurusan, perkara berkaitan masa adalah sesuatu yang amat penting dan berharga. Jika pihak pengurusan telah menetapkan sesuatu matlamat bagi sesebuah organisasi, maka sudah pasti ada tempoh masa yang telah ditetapkan. Semua pihak perlu mematuhi tempoh masa tersebut bagi memastikan apa yang dicita-citakan tercupai denagn sebaiknya. Disini kita dapat lihat masa memainkan peranan yang penting dalam sesuatu proses pengurusan.
Gabungan kesemua unsur-unsur ini bukan sahaja akan menghasilkan output (hasil) yang baik malahan turut menghasilkan outcome (nilai tambah).



6.0       PRINSIP PENGURUSAN ISLAM
Sistem pengurusun Islam adalah satu sistem yang segala-galanya berpangkal daripada tauhid serta bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Pengurusan menurut perspektif Islam adalah sebahagian daripada misi kebaktian kepada manusia dan pengabdian kepada Pencipta. Dengan demikian ia harus dapat memenuhi tuntutan dua pihak iaitu keperluan manusia dan keredaan Tuhan.
            Seperti sistem pengurusan yang diamalkan oleh barat, sistem pengurusan Islam juga mempunyai prinsip-prinsipnya yang tertentu yang telah lama diamalkan semenjak zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w lagi. Antara prinsip-prinsip yang diamalkan dalam sistem  pengurusan Islam ialah :

6.1       Prinsip Syura (Musyawarah)
Syura adalah mekanisme membuat keputusan yang telah lama membudaya dalam kehidupan masyarakat kita, cuma ia kadangkala lebih dikenali sebagai musyawarah dan muafakat (Panel Akademi Pengurusan YPEIM : 2005:96).
Bagi menjamin pengamalan syura yang sihat ia harus memiliki sifat bersangka baik (husnu ‘z-zan) dalam kalangan anggota pembuat keputusan. Sangka baik ini pula hanya mungkin wujud jika ada sikap saling percaya atau mutual trust. Andainya proses syura itu berteraskan perasaan buruk sangka dan saling tidak percaya maka syura tersebut sebenarnya telah rosak sejak awal lagi.
Selain itu, sistem syura juga perlu mempunyai kesepakatan dalam setiap aspek selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Namun begitu, anggota syura terlebih dahulu mesti sepakat dari segi rujukan baku (terms of reference) dan dalam konteks sebagai umat Islam, rujukan baku yang utama al-Quran dan as-Sunnah  seterusnya diikuti dengan rujukan-rujukan lain seperti perlembagaan, akta dan sebagainya. Syura tidak akan mencapai kesepakatan yang diharapkan jika para anggotanya tidak terlebih dahulu sepakat dalam soal rujukan baku.
Seterusnya syura juga harus ada kebebasan untuk bersuara yang sepenuhnya dalam kalangan anggota yang terlibat (Muhammad Nubli Abdul Wahab: 2008: 67). Kebebasan bersuara termasuklah kebebasan dan keberanian berbeza pendapat dengan sesiapa sahaja termasuk ketua kumpulan. Syura tidak akan dapat mencapai objektifnya jika ia dilaksanakan dalam suasana takut bersuara dan takut untuk berbeza pendapat.
Di samping itu, keberhasilan syura juga banyak bergantung kepada ketua kumpulan. Ia harus mendapat kepercayaan dari anggota-anggota kumpulan. Pemilihannya harus didasarkan kepada prestasi, kemampuan dan keikhlasannya dalam memimpin. Ketua yang tidak mampu, tidak jujur, egois dan degil tidak akan dapat mengendalikan syura dengan berjaya.
Syura yang sihat harus bebas daripada gejala groupism atau sikap berpuak-puak dalam kalingan anggota-anggotanya. Gejala seperti itu akan membawa berleluasanya politicking dan perebutan sokongan secara tidak sihat. Sebaliknya ia akan menjadi medan pertarungan antara kumpulan yang tidak lagiberminat untuk mencari idea yang terbaik, sebaliknya lebih berminat untuk memenangkan pendirian kelompok masing-masing.
Dalam keadaan wujudnya perbezaan pendapat, keputusan harus diambil berdasarkan suara terbanyak. Sememangnya dalam Islam suara majoriti diakui sebagai kekuatan pemutus. Dalam istilah usul fiqh ia disebut sebagai al-kathratu hujjatun (suara majoriti adalah suara hujah atau kuasa pemutus). Dalam keadaan demikian pihak yang menjadi minoriti harus tunduk kepada keputusan majoriti dan ha lini pernah berlaku kepada Baginda Nabi s.a.w yang cadangannya dikalahkan oleh suara majoriti dalam peristiwa pemutusan strategi perang Uhud.


6.2       Amal Jama’i (Semangat & Kerja Kolektif)
Meskipun proses globalisasi belum menampakkan dampak yang sepenuhnya, namun beberapa gejala bawaannya telah mulai kelihatan. Antaranya termasuklah fenomena global business atau perdagangan global. Seiring dengan perkembangan tersebut ialah menigkatnya persaingan di dunia dagang. Dalam situasi itulah timbulnya gagasan world class team. Sesuai dengan sifat global perdagangan dewasa ini, maka pasukan kelas dunia yang digagaskan itu tentunya juga bersifat global dalam erti pasukan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya. Demikianlah peri pentingnya pasukan, semangat berpasukan dan kerja berpasukan.
                        Bagi menjayakan kerja berpasukan yang menjadi tulang belakang kepada sesebuah organisasi dalam menghadapi cabaran dunia global, elimen atau nilai tertentu perlu dimiliki. Antaranya ialah (Panel Akademi Pengurusan YPEIM : 2005:103):

i.        Nilai keagamaan
Gerakerja dalam wadah, kaedah dan semangat ummatik diberi harapan oleh Allah s.w.t untuk mencapai kejayaan.

ii.      Erti dan ciri
Amal jama’i diertikan kegiatan atau gerakerja yang lahir bersumberkan dari sesebuah organisasi, menepati skemanya dan menjurus kearah mencapai matlamatnya.

iii.    Perlunya perencanaan dan tawakal
Amal jama’i harus bertolak dari perencanaan yang rapi namun tidak hanya berencana dan berstrategi tetapi harus disertai tawakal kepada Allah.

iv.    Pimpinan dan kewajipan bersyura
Dalam keadaan tertentu, organisasi Islam membolehkan kepimpinan kolektif. Namun begitu, pimpinan dalam tradisi keislaman harus mengamalkan syura. Dalam kalangan ulama, pengamalan syura adalah wajib.

v.      Bay’ah
Berbay’ah (persetiaan untuk taat dan mendukung segala tanggungjawab) adalah juga suatu tuntutan syara’ dan merupakan Sunnah Nabawiyyah.
vi.    Mentaati pemimpin
Mentaati pemimpin itu adalah wajib kerana tanpa ketaatan organisasi akan dilanda fitnah dan bencana. Ketaatan harus timbul setulus hati dan bersih dari sebarang tekanan luar.

vii.  Prinsip dan kaedah amal jama’i
Kegiatan-kegiatan amal jama’i harus berpundukan skema tertentu yang merangkumi kaedah, cara dan pemeringkatan kerja.

viii.   Penjanaan semangat berpasukan
Amal jam’i dapat dijayakan andainya telah wujud semanagt berpasukan iaitu mentaliti dan sikap mengutamakan kepentingan organisasi.

6.3       Kepimpinan & Kepengikutan 

Dalam sumber-sumber klasik Islam pemimpin selalunya dirujuk dengan istilah imam. Selain membawa maksud kepimpinan dengan fungsi umumnya (mengarah, dan mengawal), secara tersirat istilah imam mengandungi makna keteladanan (Panel Akademi Pengurusan YPEIM : 2005:114). Dengan demikian dalam tradisi keislaman pemimpin tidak hanya memerintah, mengarah dan mengurah tetapi sekali gus harus dapat memberikan contoh teladan. Dalam kaitan ciri kepimpinan Rasulullah s.a.w yang paling menonjol ialah keteladanannya (uswah hasanah). Memang sesuatu bangsa tidak dapat dibangunkan tanpa pemimpin teladan.

                        Kepimpinan pada hakikatnya adalah suatu taklif (amanah dan tanggungjawab) dan bukan tashrif (kebesaran dan kemegahan). Mempersepsikan kepimpinan sebagai suatu keistimewaan yang penuh populariti adalah suatu kekeliruan yang cukup mendasar. Kerana itu dalam tradisi Islam, kepimpinan biasanya tidak diminta, dan jika diberikan kepada yang tidak layak adalah suatu perbuatan pecah amanah.

                        Antara aspek yang temasuk dalam kepimpinan dan kepengikutan ialah:

a)      Kepimpinan dari perspektif Islam
Keunggulan sesuatu umat bermula dengan penampilan pemimpin berprinsip, berwawasan, dan bermisi berasaskan ajaran kitab (petunjuk Ilahi). Kepimpinan yang berwibawa dicirikan oleh kemampuan merubah dan membina manusia di bawah pengaruh dan kuasanya serta kemampuan membina budaya yang kuat untuk dihayati seluruh warga organisasi.


b)      Kepengikutan: Hak dan Tanggungjawab
Tanggungjawab utama pengikut ialah memberikan kesetiaan, kepatuhan dan iltizam yang sepenuhnya.

c)      Semangat kesalingan
Kerjasama meliputi makna kesediaan pemimpin menjaga kepentingan dan kebajikan para pengikut dan keluarga mereka. Selain itu, nasihat-menasihati secara jujur dan ikhlas merupakan asas hubungan kewargaan dalam sesebuah organisasi.



7.0       KONSEP PENGURUS.
Pengurusan dan pengurus ibarat isi dengan kuku. Di mana ada pengurusan maka di situ ada pengurus. Pengurusan adalah sistemnya, manakala pengurus adalah orang yang menguruskan sistem itu.
Jadi, setiap orang yang bekerja dengan prinsip-prinsip pengurusan sebenarnya adalah seorang pengurus. Contohnya, seorang ibu yang mengurus urusan rumah tangga, maka dia adalah seorang pengurus kepada suami, anak-anak, dan rumah tangganya. Seorang pengurus syarikat yang mengurus orang bawahannya juga diiktiraf sebagai seorang pengurus.
Justeru itu, dapatlah diketahui bahawasanya, pengurus itu berada dalam pelbagai peringkat dan bidang. Tidak kiralah sama ada pengurus sesebuah kedai makan, jualan al-Quran, syarikat  dan sebagainya.
Di sini telah dikategorikan pengurus itu kepada tiga peringkat. Peringkat pertama adalah pengurus kelas bawahan. Pengurus kelas bawahan ini selalunya lebih dikenali sebagai mandor, penyelia atau “Supervisor”. Peringkat kedua pula adalah pengurus pada peringkat pertengahan. Pada peringkat ini biasanya digelar pengurus dan “Senior Manager”. Peringkat terakhir pula ialah pengurus kelas atasan. Pengurus kelas atasan digelar “General Manager”, “Vice President” hingga “President Director” atau “Chief Executive Officer”. (Haryanto  t.thn : 26)
Namun begitu, di dalam kertas kerja ini, kita akan membincangkan keadaan sebenar pengurus itu dalam sesebuah organisasi pengurusan berdasarkan pandangan Islam .




8.0       DEFINISI PENGURUS.
Terdapat pelbagai definisi pengurus yang telah dikemukakan oleh para sarjana dalam bidang pengurusan. Antara definisi yang diberikan adalah seperti berikut:
                    i.            Pengurus ialah ketua yang berperanan sebagai pendidik, pengasuh, pembimbing dan pemandu (Auni bin Haji Abdullah  t.thn : 74).
                  ii.            Orang yang berusaha membantu sesebuah organisasi mencapai matlamat mereka (Aizzat Mohd Nasurdin, Intan Osman, Zainal Ariffin Ahmad 2006 : 6).
                iii.            Pengurus juga beerti seseorang yang bertanggungjawab merancang, mengurus, mengeluarkan dan memasarkan produk atau perkhidmatan sesebuah organisasi (http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=autoriti).



9.0       PERBEZAAN PENGURUS DENGAN PEMIMPIN
Apabila berbincang tentang pengurus dengan pemimpin, ada yang menyatakan bahawa pemimpin dan pengurus itu adalah dua perkara yang sama. Namun begitu, terdapat perbezaan di antara pengurus. Perbezaannya adalah dari sudut berikut :

9.1       Bersifat Peribadi
            Pengurus lebih menitik beratkan fungsi pengurusan yang bukan bersifat peribadi, manakala pemimpin pula adalah lebih bersifat peribadi. Ini kerana pemimpin perlu mendorong memujuk dan mempengaruhi orang lain agar mereka melaksanakan arahan untuk mencapai matlamat.


9.2       Kedudukan Dalam Organisasi
Seseorang menjadi pengurus kerana kedudukannya yang formal dalam organsasi itu. Ini menyebabkan pengurus itu mempunyai kuasa autoriti dan tanggungjawab. Pemimpin pula tidak semestinya dilantik secara formal dan mempunyai jawatan formal dalam organisasi.

9.3       Sikap dan Motivasi
Pengurus mempunyai sikap yang tidak mendorong kepada bersifat peribadi, malah kadangkala pasif terhadap pencapaian matlamat. Pemimpin pula lebih mempunyai sikap yang aktif dan lebih mengambil berat tentang cara yang digunakan untuk mencapai satu matlamat.

9.4       Skop Pendekatan
Pengurus diperlukan untuk menangani kerumitan dalam organisasi. Pengurus perlu memastikan bahawa operasi organisasi berjalan pada landasan yang betul. Kepimpinan diperlukan untuk menangani perubahan. Ini kerana pemimpin perlu mejelaskan hala tujuan dengan membentuk visi yang sesuai. Pemimpin perlu menyelaras kesemua usaha subordinatnya dengan memaklumkan kepada mereka visi yang telah dibentuk, dan beliau perlu memberikan semangat kepada subordinatnya untuk menangani halangan (http://www.scribd.com/doc/39811313/Perbezaan-Antara-Pemimpin-Pengurus).





10.0     CIRI-CIRI PENGURUS
Seseorang yang bergelar pengurus perlulah mempunyai ciri-ciri pengurus yang terbaik. Ciri-ciri seseorang pengurus itulah yang menentukan sama ada beliau layak digelar pengurus yang terbaik atau sebaliknya. Analoginya mudah, cuba bayangkan, kenapa ayam goreng di Kentucky Fried Chicken lebih laris berbanding ayam goreng yang terdapat di pasaran meskipun harganya mahal. Jawapannya ialah kerana ayam goreng itu memiliki ciri atau karakter yang unik berbanding dengan ayam goreng yang lain. Antara ciri-ciri yang menarik pada ayam goreng Kentucky Fried Chicken ialah seperti baik dari segi rasa, tempat ianya dijual, layanan dan sebagainya.
Demikianlah juga berkaitan dengan bidang pengurusan. Pengurusan akan menjadi lebih baik apabila pengurusnya mempunyai ciri-ciri seorang pengurus yang berlandaskan ajaran Rasulullah. Oleh itu, berikut adalah ciri-ciri seorang pengurus yang menjadi pengukut kredibiliti seseorang pengurus itu :
                                i.            Berketuhanan
Antara ciri utama dan pertama berdasarkan pengurusan Rasulullah ialah pengurusan yang diterapkan dengan nilai-nilai yang diajar oleh Allah s.w.t.Al-Quran yang diturunkan menjadi panduan dalam menguruskan dakwah baginda. (Attabik Lutfi, MA t.thn :43)
        Dalam konteks pengurusan yang ada pada zaman moden hari ini, seorang pengurus perlulah mempunyai pegangan agama yang kukuh agar beliau mampu menjadi hamba yang bertakwa serta menjadi seorang ketua yang  dapat dijadikan contoh kepada orang dibawah pengurusannya sebagaimana Rasulullah dijadikan ikutan oleh umatnya.
        Apabila seorang pengurus yang juga seorang ketua itu mempunyai pegangan agama yang mantap, sudah tentu beliau mahu orang yang berada dalam pengurusan beliau juga dapat melaksanakan segala perintah dan larangan Allah s.w.t. maka sudah pastilah sesebuah organisasi yang menerapkan aspek ketuhanan itu akan mendapat berkat dari Allah.
                              ii.            Keterbukaan
Sifat yang sentiasa terbuka adalah suatu sifat atau ciri yang amat diperlukan oleh seseorang pengurus. Ini kerana apabila seseorang itu ada sifat ini, maka pengurus itu dapat menerima pandangan dan pendapat daripada orang bawahannya. Sekiranya seseorang pengurus itu tidak mempunyai sifat keterbukaan, beliau akan sentiasa merasakan dirinya betul dan orang yang berada di sekelilingnya adalah salah. Beliau juga sukar untuk menerima cadangan atau nasihat daripada orang lain.

          Antara contoh yang dapat sejarah yang dapat dilihat ialah seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab.Beliau adalah seorang pengurus dan pemimpin yang baik. Pada suatu hari , Saidina Umar telah mengumpulkan ramai wanita kerana pada masa itu terdapat ramai lelaki bujang yang sudah tua dan masih belum beristeri. Hal ini berlaku kerana ketika itu, mahar  untuk menikah seorang wanita adalah tinggi dan terlalu mahal. Saidina Umar berkata, “Wahai para wanita, janganlah kalian meletakkan mahar yang  terlalu mahal”. Setelah mendengar kata-kata Saidina Umar, salah seorang wanita yang ada di situ terus protes sambil membacakan ayat 20 surah an-nisa’. Wanita itu menyatakan bukankah Allah telah berfirman iaitu:

…. وَءَاتَيۡتُمۡ إِحۡدَٮٰهُنَّ قِنطَارً۬ا …
                        Maksudnya: …sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya  harta yang banyak….(an-Nisa’: 4: 20)
Setelah selesai membacakan ayat itu, wanita ini terus berkata, “Saya tidak setuju dengan kebijaksanaan anda”.Setelah mendengar kata-kata wanita itu, Saidina Umar terus berkata, “Umar salah dan wanita itu yang benar (K.H Didin Hafidhuddin, Hendri Tanjung2003 : 14).
          Melalui kisah ini dapatlah disimpulkan bahawa pengurus yang baik itu adalah pengurus yang mempunyai sifat keterbukaan dalam segala hal kecuali perkara-perkara yang melanggar syarak dan etika berorganisasi.

                            iii.            Berfikiran Positif
Bagi memastikan ketelusun ketika membuat sesuatu kerja atau membuat penilaian terhadap pencapaian, pengurus mestilah berfikiran secara positif.Ini bermaksud pengurus perlu membuat keputusan secara rasional dan tidak dipengaruhi oleh sentiment emosi, prejudis dan terikut-ikut dengan politik dalaman organisasi. Pengurus sepatutnya mengelak daripada menilai pekerja semasa berhadapan dengan masalah keluarga, kewangan, tekanan kerja dan sebagainya (Ab. Aziz Yusof 2007 : 180) .

                            iv.            Dinamik
Dinamik  menurut kamus dewan edisi keempat bermaksud bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan. Hal ini dapat dilihat dalam pengurusan cara Rasulullah. Cara pengurusan Rasulullah adalah cara yang dinamik kerana menghadapi 1001 permasalahan yang sebenar, di mana harus dipecahkan setiap masa dan setiap waktu. Dalam keadaan sukar ataupun mudah. Cantiknya, semua permasalahan itu dapat dihadapi dan diselesaikan oleh Rasulullah dengan baik.
          Dinamik cara Rasulullah ini berkaitan dengan selok-belok kehidupan. Bermula dari masalah keluarga, agama hinggalah kepada masalah negara. Dalam peperangan misalnya, Rasulullah terlibat sebanyak 62 siri peperangan. Dengan perincian 35 kali peperangan yang dilakukan tanpa kehadiran baginda dan 27 kali peperangan dihadiri oleh baginda secara langsung serta sembilan kali banginda menjadi panglima perang (Attabik Luthi t.thn : 58).
          Tempoh berada di Madinah adalah 10 tahun atau 120 bulan. Ini beerti bahawa Rasulullah akan terlibat dalam 2 bulan sekali. Uniknya, keadaan di Madinah tetap aman, stabil dan terkawal.
          Dalam keadaan seperti itu, sudah tentu seorang pengurus yang dinamik diperlukan. Ini kerana, sebagai ketua negara, Rasulullah bukan sahaja berperang, namun baginda juga mengurus pendidikan, mendidik dan membentuk isteri, menantu, cucu dan para sahabat.
Untuk melengkapkan dan meyakinkan kepada kita bahawa seseorang pengurus itu memerlukan ciri dinamik dalam sesuatu pengurusan, berikut adalah pendapat sarjana barat dan orientalis terhadap pengurusan Nabi Muhammad yang bersikap dinamik itu.
a)      Amual D. S. mengatakan, “Hanya dia (Muhammad) itulah yang mengajarkan kemanusiaan orang-orang Eropah dengan kitabnya yang bernama al-Quran (Attabik Luthi t.thn : 59).

b)      J.G. Schott menyatakan, “Orang-orang Arab yang dulunya bercerai-berai, berpecah-belah, setelah dipimpin oleh Muhammad, dapat menjadi golongan yang bersatu (Attabik Luthi t.thn : 59).

c)      Mr. Wals, seorang ahli sejarah bangsa Inggeris mengatakan, “Muhammad itu nabi dan rasul yang termasuk ahli pertanian, ahli perubatan, ahli undang-undang dan seorang pemimpin umat. Bacalah hadis-hadisnya, tentu anda akan dapat membenarkan apa yang saya katakana tadi  (Attabik Luthi t.thn : 59).

d)     Monsieur Fransisco Ezouldo, seorang ahli sejarah dan penyelidik bangsa Barat menyatakan, “Muhammad lahir, kemudian negeri-negeri di Jazirah Arab menjadi hidup. Dia memimpin bangsa Arab sehingga mencapai martabat yang lebih tinggi. Belum genap satu abad, cahaya Muhammad sudah bersinar ke seluruh alam (Attabik Luthi t.thn : 60)




11.0     PERANAN PENGURUS DALAM PENGURUSAN ORGANISASI
Pengurus berperanan besar dalam menentukan hala tuju dan kemajuan sesebuah organisasi yang diterajui.Untuk itu, Islam meletakkan pengurus sebagai tonggak dan orang yang dipertanggungjawabkan sepenuhnyaterhadap kemajuan dan operasi organisasi (Muhammad Nubli Abdul Wahab 2008 : 32). Dalam Institusi Islam, pengurus berperanan seperti berikut :
            11.1     Pemegang Amanah Sumber Dalam Organisasi
Sumber  dalam organisasi pengurusan seperti aset, modal dan tenaga kerja. Pengurus terpaksa bertanggungjawab mengurus semua sumber berkenaan dangan amanah. Amanah pengurus adalah memastikan sumber berkenaan diurus dan digunakan selari denagan prinsip Islam. Pengurus tidak boleh menggunakan sumber secara bercanggah dengan prinsip yang telah ditentukan oleh-Nya. Ketua juga perlu memastikan setiap sumber berkenaan digunakan oleh organisasi seperti yang telah ditentukan oleh Islam.

11.2     Bertanggungjawab Kepada Kebajikan Pekerja
Kebajikan pekerja atau orang yang diurus meliputi lima aspek asasi seperti agama, nyawa, kehormatan, keturunan dan harta. Kebajikan perlu diberikan oleh pengurus kepada orang yang diurus atau ketua kepada pekerja. Tidak betul jika seorang pengurus hanya memberikan kebajikan material tanpa memelihara agama pekerja yang diurusnya. Pengurus perlu memastikan pekerja mempunyai pegangan agama yang betul selain aspek-aspek keperluan pekerja dalam aspek harta. Pengurus perlu juga memastikan pekerja terpelihara keturunan dengan mengelakkan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, menjauhakan penggunaan dadah, minuman keras dan seumpamanya.

11.3     Mematuhi Peraturan Organisasi
Pengurus perlu bertindak secara tersusun dan mematuhi peraturan organisasi yang telah ditentukan. Sungguhpun pengurus adalah ketua yang memiliki institusi, tetapi mereka tetap perlu mematuhi peraturan organisasi yang telah ditetapkan. Hal ini untuk membolehkan sistem pengurusan berjalan dengan lancar dan menepati matlamat organisasi.


11.4     Mengurus Sumber Untuk Mencapai Matlamat Organisasi
Sumber yang dijadikan oleh Allah adalah secara terhad. Modal, tanah, buruh dan seumpamanya adalah sedikit dan perlu digunakan secara berhemah untuk mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan. Pengurus perlu pandai mengurus dan menyusun kesempitan sumber berkenaan untuk memberikan pulangan yang besar kepada organisasi.



12.0     KESIMPULAN
Pengurusan adalah merupakan satu aspek yang penting dan selari dengan tujuan perutusan manusia ke dunia ini sebagai khalifatullah, iaitu untuk mentadbir dunia dengan sebaiknya. Pengurusan yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah serta khazanah yang digali daripada kegemilangan tamadun Islam dilihat sebagai nucleus untuk mengembalikan semula peranan manusia sebagai the vicegerent of Allah dan mampu membawa kestabilan serta keamanan di dunia.
            Pengurusan Islam yang berteraskan Tauhid merupakan tonggak kepada sisitem pengurusan yang diamalkan manusia kerana ia mencakupi nilai-nilai universal yang diterima oleh semua golongan tanpa mengira apa jua latar belakang, bangsa dan keturunan serta sesuai dilaksanakan pada setiap masa, tempat dan keadaan.






13.0     Rujukan
Ab Aziz Yusuf. 2007. Keinsafan dalam Pengurusan.  Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors
Aizzat Mohd Nasurdin, Intan Osman, Zainal Ariffin Ahmad. 2006. Pengantar Pengurusan. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Attabik Luthfi, MA. T.thn. Pengurusan Sumber Manusia Cara Rasulullah S.a.w. Kuala Lumpur : Synergy Media.
Auni bin Haji Abdullah. T.thn. Pengurusan Islam : Potensi dan cabaran. Kuala Lumpur : Darul Fikr Sdn Bhd.
K.H Didin Hafidhuddin, Hendri Tanjung 2003 : Manajemen Syariah Dalam Praktik. Jakarta: Gema Insani Press 
Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab. 2008. Kecemerlangan Pengurusan Dalam Islam (Siri 1). Universiti Malaysia Pahang.
Panel Akademi Pengurusan YPEIM. 2005. Pengurusan dalam Islam : Menghayati Prinsip dan Nilai Qurani. Kuala Lumpur : Akademi Pengurusan YPEIM
prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=autoriti
.



1 comment:

  1. asalam..saye nak kopi maklumat encik smua nie, bole..?

    ReplyDelete