Thursday, April 7, 2011

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

1.0              PENDAHULUAN

Peruntukan agama Islam dalam Perlembagaan Malaysia merupakan satu unsur tradisi dan perkembangan sejarahnya adalah sebahagian daripada perkembangan sejarah konsep pemerintahan beraja. Malaysia sebuah negara yang rakyatnya menganut serta mengamalkan pelbagai agama yang berlainan seperti Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain kepercayaan.
           
            Seperti umum mengetahui, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi yang diguna pakai di Malaysia. Jika ada undang-undang lain yang digubal, ia mesti berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan ia akan terbatal sekiranya bercanggah dengan Perlembagaan tersebut.

            Kertas kerja ini akan membincangkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia dan akan difokuskan kepada perkara-perkara atau peruntukan-peruntukan yang mempunyai kaitannya dengan agama Islam dalam konteks Perlembagaan Malaysia dengan lebih terperinci. Peruntukan tersebut adalah seperti berikut :

                                i.            Perkara 3 (1) – Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan
                              ii.            Perkara 4 (1) dan Perkara 75 – Undang-undang Utama Persekutuan
                            iii.            Perkara 11 – Hak kebebasan Beragama
                            iv.            Perkara 12 (2) – Kebenaran menggunakan wang awam untuk kegunaan Islam
                              v.            Perkara 12 (3) & (4) – Hak berkenaan Pendidikan / Agama
                            vi.            Perkara 121 (1A) – Kuasa Kehakiman Persekutuan
                          vii.            Jadual 9 Senarai 2 – Penetapan Hal Ehwal Islam sebagai suatu bidang kuasa yang terletak dalam bidang kuasa negeri









2.0              PENGERTIAN

2.1              UNDANG-UNDANG ISLAM
Undang-undang Islam bererti hukum-hukum Islam yang dikuatkuasakan oleh negara mengikut prosedur dan tatacara tertentu. Ia bukan satu proses ijtihad yang dilakukan oleh para fuqaha atau sarjana semata-mata tetapi ijtihad yang telah diterima oleh pemerintah sesebuah negara sebagai peraturan-peraturan yang boleh dilaksanakan ke atas masyarakat sesebuah negara itu[1].

2.2              PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Perlembagaan Persekutuan pula merupakan Perlembagaan yang mengandungi 183 Perkara. Ia merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia dan ia merupakan dokumen undang-undang bertulis yang berasaskan kepada dua dokumen yang terdahulu, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957



3.0       PERUNTUKAN-PERUNTUKAN YANG TERDAPAT DALAM PERLEMBAGAAN YANG BERKAIT DENGAN UNDANG-UNDANG ISLAM    
3.1       PERKARA 3 (1) : AGAMA BAGI PERSEKUTUAN
Islam adalah agama rasmi bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Berdasarkan kepada Perkara 3(1) ini, menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Walaupun begitu agama-agama lain seperti Buddha dan Kristian boleh diamalkan dengan aman dan damai. Mereka mempunyai hak untuk membela agama yang mereka anuti itu.
Tujuan sebenar agama Islam diadikan sebagai agama rasmi Persekutuan adalah untuk kepentingan upacara-upacara rasmi seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan Majlis Pertabalan Yang Dipertuan Agong (YDPA). Upacara-upacara sebigini membolehkan doa dan amalan bercorak keislaman dilaksanakan[2].
Dari segi kedudukan agama Islam di negeri-negeri Malaysia, Perlembagaan telah menetapkan bahawa Islam sebagai agama rasmi negeri kecuali Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan. Negeri-negeri tersebut diberi peruntukkan yang mana YDPA diberi kuasa sebagai ketua agama Islam. Contohnya, Perlembagaan negeri Pulau Pinang, 1997 telah memperuntukkan Bab 2 Artikel 5 bahawa YDPA menjadi ketua agama Islam di negeri berkenaan[3].
Berkaitan Perkara 3 (1), menurut Profesor Ahmad Ibrahim, banyak salah faham berlaku tentang tafsirnya. Antaranya, pendapat yang menyatakan setiap upacara rasmi di Persekutuan mesti diselitkan dengan unsur-unsur amalan agama Islam. Ini tidak benar kerana Perkara 3 memberi kebebasan yang meluas untuk penganut-penganut agama lain mengamalkan kepercayaan mereka. Perkara 3 secara nyata member jaminan kepada orang bukan Islam untuk mengamalkan kepercayaan mereka secara aman tanpa apa-apa gangguan. Jika perkataan ‘agama’ merangkumi bukan sahaja aspek kepercayaan dan amalan keagamaan tetapi termasuk juga undang-undang yang terpakai kepada peganut-penganut agama tersebut, maka makna yang sama juga sepatutnya diberi kepada ‘agama Islam’. Islam bukan sahaja satu kepercayaan keagamaan dan upacara agama, tetapi satu cara hidup yang merangkumi semua aspek termasuklah undang-undang.
Melihat daripada perspektif undang-undang perlembagaan dan jika dirujuk secara keseluruhan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia, maka beberapa kesan boleh dilihat daripada peruntukan Perkara 3 tersebut. Antaranya :
                                                        i.            Perkara 160 memberi definisi ‘Melayu’ sebagai seorang beragama Islam,lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adapt istiadat Melayu.Menurut Tun Salleh Abas ‘Melayu’ dan ‘Islam’ adalah unsur yang bercantum dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan Perlembagaan.
                                                      ii.            Yang di Pertuan Agung dilantik daripada kalangan raja-raja di negeri-negeri Melayu dan di dalam setiap perlembagaan negeri menghendaki rajanya seorang berbangsa Melayu beragama Islam dan dari keturunan diraja.
                                                    iii.            Di dalam sumpah memegang jawatan Yang di Pertuan Agong, beliau mengangkat sumpah dengan didahului lafaz ‘Wallahi, wabillahi, watallahi’ yang merupakan lafaz sumpah yang dikehendaki dalam agama Islam (Perkara 37 dan jadual keempat Perlembagaan Persekutuan).
                                                    iv.            Yang di Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 3(3) adalah ketua agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai raja.
                                                      v.            Raja dan sultan di negeri-negeri yang beraja ialah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing. Dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam, mereka mempunyai budi bicara dan tidak terikat dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO).
                                                    vi.            Adalah menjadi tanggungjawab Yang di Pertuan Agong untuk melindungi hak istimewa orang-orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana ‘Melayu’ dan ‘Islam’ ialah dua entiti yang tidak boleh dipisahkan maka tugas menjaga hak-hak istimewa orang-orang Melayu juga termasuk menjaga dan melindungi agama Islam.

Perkara 3 dan kesan dari peruntukan Perkara 3 nampaknya boleh ditafsirkan untuk kebaikan Islam dan kepentingan umat Islam. Penggubal undang-undang dan pengamal undang-undang boleh melebarluaskan pentafsiran ini bagi kepentingan Islam dan umatnya. Cuma ada pandangan yang menyebut bahawa Perkara 3(1) tidak harus digunakan untuk menilai kedudukan Islam dalam kerangka perlembagaan secara keseluruhannya. Peruntukan berkenaan juga tidak cukup kukuh untuk menjadi landasan buat pelaksanaan Islam. Untuk tujuan pelaksanaan Islam secara yang sempurna, perlembagaan perlu dipinda dan diubahsuai.

3.2       PERKARA 4 (1) : UNDANG-UNDANG UTAMA PERSEKUTUAN
“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.”
Perkara 4 (1) diatas menyatakan sekiranya undang-undang sebelum merdeka bertentangan dengan Perlembagaan, Perkara tersebut tidak menjadikan undang-ndang itu terbatal. Namun demikian, undang-undang ini boleh diubahsuai untuk diselaraskan dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan.
Hal ini boleh dilihat dalam kes Che Omar bin Che Soh lawan Pendakwa Raya 1988 2 MU 55 (Mahkamah Agong). Defenden dikenakan hukuman mati dibawah Akta Dadah Berbahaya kerana mengedarkan dadah dan dibawah Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) kerana memiliki senjata api.
Hukuman yang dikenakan oleh defenden bertentangan dengan undang-undang Islam[4]. Undang-undang Islam hanya mengenakan hukuman mati untuk hukuman hudud dan qisas[5].
Di dalam kes ini terdapat pertentangan antara undang-undang Islam dan Perlembagaan. Jika dilihat dalam Perkara 4 (1) di atas, Perlembagaan mempunyai keduduan yang lebih tinggi daripada undang-undang Islam. Oleh itu, undang-undang Islam di dalam kes ini terbatal iaitu hukuman mati yang dikenakan ke atas defenden tetap dilaksanakan.


3.3       PERKARA 11 (1)
“Tiap-tiap orang berhak mengamal dan menganuti agamanya-tertakluk pada Fasal (4), dan mengembangkan agama tersebut.”
           
PERKARA 11 (4)
“Undang-undang negeri dan yang berkenaan dengan wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Undang-undang Persekutuan boleh mengawal dan menyekat apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.”
Hal ini dapat dilihat dalam kes Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (7) . Lina Joy atau nama sebenarnya Azlina Jailani telah memohon untuk memadamkan perkataan ‘Islam’ dalam kad pengenalannya. Permohonan itu telah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana tidak mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa sepertimana yang telah diperuntukkan dibawah enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri[6].
Seseorang yang beragama Islam tidak dibenarkan menukar agamanya dengan sesuka hati kerana jika diberi kebebasan tersebut, ia pasti menimbulkan huru-hara dalam kalangan umat Islam dan menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz mengatakan bahawa,
“Hak kebebasan beragama yang telah ditetapkan dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan tidaklah boleh ditafsirkan dengan begitu meluas sehingga meliputi hak kebebasan seseorang Islam untuk memilih dan menukar agama pada bila-bila masa sesuka hatinya[7].”
Beliau berkata lagi, “bagi orang Islam yang berhasrat untuk keluar daripada agama Islam, orang itu perlulah mendapat perintah atau pengisytiharan terlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa sepertimana yang telah diperuntukkan melalui enakman Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri”. Ini adalah perbualan diantara Datuk Seri Mohamad Nazri dengan Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Baru) yang berlangsung di Dewan Rakyat.
Permohonan Lina Joy itu adalah berasaskan Perkara 11(1). Dalam perkara ini dia berhak menganuti dan mengamalkan agama yang di kehendakinya.
Namun demikian tindakan JPN yang menolak permohonan Lina Joy itu tidak boleh dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini disebabkan JPN telah merujuk kepaa Perkara 11(4) yang mengatakan bahawa undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal untuk menyekat kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam.
Kesimpulannya, kedudukan undang-undang Islam dalam kes ini digunakan bagi menyelesaikan kes Lina Joy yang ingin menukarkan status agamanya.



3.4       PERKARA 12 (2) : HAK BERKENAAN DENGAN PENDIDIKAN
Perkara 12 ada menyentuh mengenai bantuan kewangan yang diberikan kepada orang Islam di Malaysia untuk meninggikan syiar Islam.
Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah untuk membantu orang Islam dari segi kewangan. Contohnya ialah dengan menubuhkan Bank Islam dan ‘Institute Of Islamic Understanding’. Ia juga telah mengalakkan perniagaan-perniagaan berlandaskan kepada prinsip-prinsip Islam seperti insuran dan kewangan Islam. Perlembagaan juga telah menghulurkan bantuan kewangan untuk menyebarkan Islam dan membina masjid-masjid diseluruh negeri[8].
                        Ini dapat dilihat dalam Perkara 12 Fasal 2 yang menyebut bahawa,
“Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyelenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”
Kesimpulannya, undang-undang Islam mendapat kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan melebihi agama-agama lain.



3.5       PERKARA 12 : HAK BERKENAAN DENGAN PENDIDIKAN
Perkara 12 (3) :
“Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.”

Perkara 12 (4) :
“Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang dibawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.”
          Kes yang dapat dilihat dalam perkara ini adalah kes Inre Susie Teoh dan Teoh Eng Huat lawan Kadi Pasir Mas & Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Dalam kes ini, Teoh Eng Huat mendapati bahawa  anaknya yang berumur 17 tahun telah memeluk Islam tanpa izin darinya[9]. Oleh yang demikian, dia telah menuntut dari mahkamah untuk membatalkan penukaran agama anak perempuannya itu.
          Plaintif mengaktakan bahawa sebagai seorang bapa, dia berhak menentukan agama yang dianuti anaknya itu lebih-lebih lagi anaknya ketika itu berumur kurang dari lapan belas tahun. Plaintif merujuk kepada Perkara 12 Fasal 3 dan 4 mengenai haknya untuk menentukan agama anaknya, dan apa-apa penukaran agama yang berlaku sebelum anaknya itu berumur 18 tahun adalah tidak sah.
          Mahkamah Syariah dalam hal ini telah membincangkan dengan lebih terperinci mengenai kes ini. Ia merujuk kepada Fasal 3 bahawa seseorang itu atas persetujuannya sendiri boleh menerima arahan dalam sebarang upacara peragamaan atau mahu memuja agama selain dari agamanya. Dalam keadaan ini, Fasal 3 akan hanya terpakai jika seseorang itu tidak melakukannya dengan rela hati.
          Dapat disimpulkan disini bahawa sama ada seseorang itu berhak untuk memilih agamanya, ataupun ditentukan oleh ibu bapanya, ia tertakluk kepada kerelaan defendan itu sendiri. Walau bagaimanapun, keputusan yang diambil oleh Mahkamah Syariah ditolak oleh Mahkamah Agung (kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan).
          Tun Abdul Hamid Omar yang memihak kepada keputusan Mahkamah Agung itu berkata :
“Seseorang di bawah umur 18 tahun tidak berhak memilih agamanya di bawah undang-undang sivil dan ini terpakai pada subjek pada masa itu. Tetapi adakah undang-undang sivil atau undang-undang Islam yang boleh dipakai oleh Susie sebelum dia memeluk agama Islam? Ia sepatutnya undang-undang sivil.”[10]
          Di dalam Seksyan 67 Enakmen Undang-undang Islam (Selangor) memperuntukkan bahawa “untuk tujuan bahagian ini, seseorang yang bukan Islam boleh memeluk Islam jika dia mencapai usia baligh mengikut Hukum Syara’ dan waras”. Oleh itu, setiap orang yang bukan Islam berhak memilih agamanya sendiri apabila dia mencapai umur baligh dan juga waras[11].
          Jelasnya disini bahawa kedudukan Undang-undang Perlembagaan diutamakan berbanding dengan Undang-undang Islam.


3.6       PERKARA 75 : KETIDAKSELARASAN ANTARA UNDANG-UNDANG PERSEKUTUAN DAN UNDANG-UNDANG NEGERI
            Agama rasmi bagi Persekutuan ialah agama Islam dan ia berkuasa untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan Islam, namun terdapat perkara lain yang membataskan kuasa Persekutuan tersebut. Perkara tersebut ialah Perkara 75 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa :
            “Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”
                        Perkara 75 menjelaskan bahawa mana-mana undang-undang negeri yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, dengan sendirinya akan terbatal setakat mana ia bercanggah.


3.7       PERKARA 121 (1A) : KUASA KEHAKIMAN PERSEKUTUAN
Perkara 121 (1A) menyebut :
“Mahkamah yang disebut dalam Fasal 1 tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.”
Dalam Perkara 121 Fasal 1 menyatakan bahawa terdapat dua Mahkamah Tinggi yang mempunyai taraf kuasa yang sama, yang pertama terletak di negeri-negeri Tanah Melayu yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Malaya dan yang kedua di Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak. Kedua-duanya adalah ditentukan oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Perkaitan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi boleh diliht dalam kes Re Susie Teoh & Teoh Eng Huat lawan Kadi Pasir Mas & Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Susie Teoh adalah seorang gadis bukan Islam yang berumur 17 tahun. Dia telah diislamkan oleh seorang kadi tanpa kebenaran daripada bapanya. Bapanya telah membuat tuntutan ke Mahkamah Tinggi dan memohon satu perisytiharan bahawa penganutan anaknya itu tidak sah.
Merujuk Perkara 121 (1A), ada pengecualian kuasa bagi Mahkamah Syariah yang mana ia tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa kes ke atas pihak yang terlibat sekiranya salah seorang daripada mereka bukan beragama Islam[12]. Mahkamah Syariah tidak berjaya untuk mempertahankan agama baru yang dianuti oleh Re Susie Teoh kerana bapanya yang tidak beragama Islam mempunyai hak yang lebih tinggi terhadap agama anaknya yang ketika itu berumur kurang dari 18 tahun. Hal ini adalah kerana menurut Perkara 11 dan 12, seorang bapa atau penjaga berhak untuk menentukan agama dan pelajaran anak mereka itu.
Dalam kes ini, Mahkamah Tinggi telah meluluskan tuntutan yang dibuat oleh Teoh Eng Huat untuk membatalkan pengisytiharan anaknya ke dalam Islam. 
Kesimpulannya, dalam kes ini kedudukan undang-undang Islam dalam Mahkamah Syariah adalah terhad.


3.8       JADUAL 9 SENARAI 2 : PENETAPAN HAL EHWAL ISLAM SEBAGAI SUATU KUASA YANG TERLETAK DALAM BIDANG KUASA NEGERI
            “Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hokum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat, Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairatdan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri, adat Melayu, Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya, masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh Undang-undang Persekutuan, mengawal pengembanagn doktrin dan kepercayaan di kalingan orang yang menganut agama Islam, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu

                                    Bidang kuasa undang-undang Islam hanya tertakluk kepada perkara-perkara yang disenaraikan dalam Jadual 9 Senarai 2. Disini akan dibawakan satu kes yang berkaitan dengan kesahtarafan seorang anak.
            Kes ini mengenai Ainan bin Mahmud lawan Syed Abu Bakar & Ors[13]. Perkara utama yang dihadapkan di mahkamah ialah undang-undang manakah yang perlu dipakai bagi menentukan taraf kesahihan Mat Shah yang telah dilahirkan tiga bulan selepas tarikh perkahwinan ibu bapanya. Mahkamah memutuskan dengan memakai Seksyen 112 Enakmen Keteranagan bahawa Mat Shah adalah anak Ainan yang sah.
Menurut Hakim Aitken yang mengendalikan kes ini, beliau menyatakan bahawa keterangan lanjut perlu dibawa bagi membuktikan atau menafikan kedudukan Mat Shah sama ada anak kandung yang sah kepada Ainan atau tidak. Beliau juga perlu memastikan setakat mana isu itu dipengaruhi oleh undang-undang negeri[14].
Pihak yang terlibat dalam kes ini adalah orang Islam dan hakim akan memutuskan taraf kesahihan Mat Shah berdasarkan undang-undang Islam. Menurut stu seksyen dalam Enakmen Keterangan yang memperuntukan bahawa taraf kesahihan seorang anak itu boleh ditentukan melalui kelahirannya dalam perkahwinan yang sah ataupun dilahirkan dalam tempoh 280 hari selepas perceraian. Namun begitu, sekiranya ada bukti yang menunjukkan bahawa kedua-dua pihak itu tidak melakukan sembarang perhubungan sehingga membolehkan anak itu dikandung, maka kesahihan anak itu dikecualikan.  
Pada mulanya hakim telah memutuskan keputusan kes itu berdasarkan kepada Seksyen 112 dalam Enakmen Keterangan yang mana ia adalah statut yang telah dipakai secara umum, tanpa mengira bangsa dan agama. Namun begitu, Seksyen 112 ini telah mengenepikan peruntukan dalam undang-undang Islam.
Undang-undang Islam telah menetapkan bahawa taraf kesahihan seorang anak itu berdasarkan kepada permulaan kehamilan dan bukan masa kelahiran. Berbeza pula dengan undang-undang Inggeris, dalam Seksyen 112 mengatakan bahawa taraf kesahihan seorang anak itu berdasarkan kepada masa kelahiran dan bukannya permulaan kehamilan. Hal ini telah menyebabkan kedua-dua pihak terpaksa mengetengahkan persoalan ini semula kepada hakim.
Berdasarkan pendapat salah seorang hakim iaitu Baillie tentang pewarisan dalam undang-undang Islam. Beliau menyatakan bahawa ayah dan ibu kepada sesorang anak yang dilahirkan selepas enam bulan dari perkahwinan mereka, hanya boleh ditentukan melalui pengakuan dari suaminya. Jika suaminya mengaku bahawa anak itu adalah anaknya, maka anak itu diiktiraf kesahihannya.dan jika suaminya mengaku bahawa anak itu  hasil dairpada perzinaan, maka asal usul anak itu tidak boleh ditentukan. Hakim Aitken bersetuju dengan pendapat Braille dan telah menggunakan pendapat tersebut sebagai keputusan dalam kesnya.
Dapat dilihat disini, kedudukan undang-undang Islam telah diguna pakai dalam menentukan keputusan bagi kes ini.



4.0       KESIMPULANNYA

            Kedudukan undang-undang islam dalam perlembagaan adalah terbatas sekiranya terdapat mana-mana undang-undang islam yang tidak selaras dengan perlembagaan, maka ia akan terbatal setakat mana yang bercanggah. Hal ini dapat dilihat dalam Perkara 75 Perlembagaan Malaysia.
            Walaupun Agama Islam adalah agama rasmi persekutuan, namun demikian telah ditetapkan di dalam perlembagaan mengenai bidang kuasa undang-undang yang berkaitan dengan Agama Islam. Secara realitinya undang-undang sivil telah menguasai dan mendominasi sistem perundangan di negara kita.
            Kedudukan Mahkamah Syariah yang berada dalam bidang kuasa negeri juga agak terumbang-ambing. Hal ini jelas kerana sesuatu denda atau hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah syariah isetiap negeri berlainan walaupun jenayah yang dilakukan oleh masyarakat adalah sama.

5.0       RUJUKAN

Abdul Jalil Borham. Pengantar Perundangan Islam. 2002. Universiti Teknologi Malaysia.
Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned. Sisitem Undang-undang Di Malaysia. 1985. Selangor: Dawama Sdn.Bhd
Hamid Jusoh. Kedudukan undang-undang Islam dalam Perlembagaan Malaysia ( suatu rujukan khas terhadap konversi dalam undang-undang keluarga ). 1992. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mahmood Zuhdi Abdul Majid. Pengantar Undang-undang Islam Di Malaysia. 1997 . Penerbit Universiti Malaya
Mr. Padmanabha Rau ( Rau ) & Dr. T Johnson Sampathkumar (Kumar). General Principal Of The Malaysian Legal System. 2006. Selangor: Golden Books Centre Sdn.Bhd.
Noor Aziah Mohd Awal. Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia. 2003. Selangor: Heinemann ( Malaysia Sdn Bhd ).
Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd. Kamus Undang-Undang. 1995
Salleh Buang. Sejarah Undang-Undang Malaysia Kes Dan Material. 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Tun Mohd Salleh Abas. Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (dikemaskini : Hj Salleh Buang. 2006. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Wu Min Aun.  An Introduction to the Malaysian Legal System.  1975.  Selangor.  Heinemann (Malaysia Sdn Bhd).
Wu Min Aun. The Malaysian Legal System. 1990. Pearson Malaysia


[1] Mahmood Zuhdi Abd. Majid. Pengantar Undang-undang Islam di Malaysia. 1997. Kuala Lumpur : Penerbit Unversiti Malaya
[2] Hamid Jusoh, Kedudukan undang-undangIislam Dalam Perlembagaan Malaysia. 1992. Dewan Bahasa Dan Pustaka
[3] Hamid Jusoh, Kedudukan undang-undangIislam Dalam Perlembagaan Malaysia. 1992. Dewan Bahasa Dan Pustaka
[4] 1998 2 MU 55
[5] Al_quran. S 5:45
[6] BERNAMA, 23FEBRUARI 2009.
[7] BERNAMA, 23FEBRUARI 2009.

[8] Wu Min Aun. The Malaysian Legal System.1990.Pearson Malaysia Sdn.bhd
[9] Hamid Jusoh. Kedudukan Undang-undang Islam Dalam Perlembagaan Malaysia. 1992. Dewan Bahasa Dan Pustaka
[10] Hamid Jusoh. Kedudukan Undang-undang Islam Dalam Perlembagaan Malaysia. 1992. Dewan Bahasa Dan Pustaka
[11] Seksyen 67 Enakmen Undang-undang Islam (Selangor)
[12] Abdul Jalil Borhan. Pengantar Perundangan Islam. 2002. Universiti Teknologi Malaysia
[13] 1939 MLJ Rep.136
[14] Salleh Buang. Sejarah Undang-undang Malaysia – Kes Dan Material. 1996. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka hlm. 68

1 comment:

  1. Macam mana nak cari kes ainan bin Mahmud lawan Syed Abu Bakar dengan lebih lanjut? dan kes itu dibicarakan dimana?

    ReplyDelete