Sunday, December 11, 2011

KEJATUHAN KERAJAAN BANI 'ABBASIYYAH

1.0       PENDAHULUAN
Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah (‘Arab: نيدساّبعل al-Abbāsidīn) ialah nama yang diberi bagi Khalifah Baghdad iaitu empayar kedua Islam selepas penyingkiran pemerintahan Kerajaan Bani Ummaiyyah. Kerajaan ini merampas kuasa pada tahun 750 selepas mereka berjaya mengalahkan tentera Ummaiyyah dalam medan peperangan. Kerajaan ini berkembang selama dua kurun tetapi secara perlahan-lahan mengalami zaman kejatuhan selepas kebangkitan tentera berbangsa Turki yang mereka cipta. Kerajaan ini akhirnya berakhir pada tahun 1258 selepas Hulagu Khan iaitu seorang panglima tentera Mongol menghancurkan Baghdad.
Golongan ‘Abbasiyah merupakan sebahagian daripada Bani Hashim (Al-Hashimiyah) kerana merupakan keturunan Al-‘Abbas bin ‘Abdul Mutalib bin Hashim, salah seorang bapa saudara Nabi Muhammad S.A.W. dan sempat hidup bersama r.a dan melihatnya sebagai pemimpin agung umat Islam. Al- ‘Abbas terlibat secara aktif pada zaman Jahiliah iaitu menguruskan Jabatan Al-Siqayah dan Al-Rifadah.


2.0       KERAJAAN BANI ‘ABBASIYYAH       
2.1       Revolusi ‘Abbasiyyah
Pembunuhan Husayn bin Ali di Karbala telah menyebabkan seluruh puak Syi’ah bersatu dan menyebabkan bertambah kuat seruan untuk keluarga Ali, sehingga menimbulkan perselisihan dan pemberontakan yang tidak putus-putus disetiap pelusuk negeri. Rentetan daripada itu, tercetuslah suatu peristiwa penting dalam sejarah Syi’ah iaitu pertukaran kekuasaan Imam dari Bait Ali kepada Bait Abbas, ditangan Abu Hashim bin Muhammad bin al-Hanafiyah, ketua Sya’ah al-Kaysaniyyah.
            Peristiwa ini berlaku pada tahun 98 H, apabila Sulaiman bin Abdul Malik menjemput Abu Hashim ke istananya dan menunjukkan kebaikannya. Tetapi sebaliknya khalifah merancang untuk membunuh Abu Hashim dengan memberinya racun, kerana seruan yang dilakukan oleh Abu Hashim. Apabila dia berasa dia akan mati, Abu Hashim pergi ke suatu kampung bernama al-Hamimah yang terletak di Shurah, iaitu antara Aham dan Jijaz di mana tempat Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas bersembunyi. Di sana Abu Hashim menyerahkan kuasanya sebagai Imam kepada Syi’ah dan menyampaikan segala maklumat serta dokumen penting pergerakan mereka beserta senarai nama kakitangan gerakan itu di Kufah. Dengan itu berpindahlah kuasa Imam (pemerintah) Syi’ah dari Alawiyyah kepada ‘Abbasiyyah.
            Walau bagaimanapun, penyerahan ini dirahsiakan daripada pengetahuan pengikut-pengikut Syi’ah kerana mengelakkan perpecahan dalam gerakan mereka untuk menjatuhkan Bani Umayyah. Mereka telah menggunakan slogan “Keluarga Nabi” dalam seruan mereka. Perhubungan diantara Bani Umayyah yang terdiri daripada Alawiyyin dan Abbasiyyah adalah sangat rapat. Kedua-dua keluarga ini bersatu bagi menghadapi musuh yang sama iaitu Bani Umayyah.


2.2       Pengenalan Kepada Bermulanya  Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah
Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah telah ditubuhkan apabila Abu al-‘Abbas ‘Abdullah bin Muhammad al-‘Abbasi atau lebih dikenali sebagai al-Saffah dilantik oleh penduduk Kufah sebagai Khalifah negara Islam. Penubuhannya dianggap sebagai suatu kemenangan iaitu selepas kejayaan menewaskan Khalifah Bani Ummaiyah yang terakhir iaitu Khalifah Marwan bin al-Hakam II bin Muhammad pada tahun 132 H. Kemenangan ini juga adalah kemenangan dalam merealisasikan idea yang dianjurkan oleh kalangan Bani Hasyim selepas kewafatan Baginda Rasulullah s.a.w agar jawatan khalifah diserahkan kepada keluarga Rasululah dan sanak sudaranya.
Kerajaan ini berterusan dalam jangka masa yang agak panjang iaitu kira-kira 500 tahun. Kerajaan Abbasiyyah telah diterajui oleh 37 orag khalifah yang kesemuanya daripada keturunan bapa saudara kepada Nabi iaitu al-‘Abbas bin ‘Abd Mutalib.
Pemerintahan Bani ‘Abbasiyyah bermula pada tahun 132 H / 749 M seiring dengan runtuhnya pemerintahan Bani Ummaiyah. Pemerintahan kerajaan Bani ‘Abbasiyyah runtuh pada tahun 856 H bersamaan 1258 M setelah orang-orang Mongol menghancurkan Baghdad dan membunuh khalifah terakhir Bani ‘Abbasiyyah. Oleh yang demikian, Bani ‘Abbasiyyah menjadi pemerintah selama 524 tahun iaitu dari tahun 132 hingga 656 H.
Pemerintahan kerajaan Bani ‘Abbasiyyah boleh dibahagikan kepada dua jangka masa seperti yang ditulis oleh banyak sejarawan.
                    i.            Pemerintahan ‘Abbasiyyah jangka masa I :
Jangka masa ini bermula dari tahun 132 hingga 247 H bersamaan 749 hingga 861 M. jangkamasa ini merupakan tempoh masa kejayaan para khalifah ‘Abbasiyyah. Untuk jangka masa ini, kerajaan ‘Abbasiyyah diperintah oleh sepuluh orang khalifah.
                  ii.            Pemerintahan ‘Abbasiyyah jangka masa II :
Bagi jangka masa kedua, ia bermula dari tahun 247 hingga 656 H bersamaan 861 hingga 1258 M. Ketika ini ialah jangka masa pemerintahan ‘Abbasiyyah dikuasai oleh pembesar atau menteri yang di lantik oleh khalifah dan khalifah yang memerintah untuk tempoh masa ini ialah seramai 27 orang.


3.0       PENTADBIRAN KERAJAAN BANI ‘ABBASIYYAH
3.1       Bentuk Pentadbiran Dan Pemerintahan Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah

Dalam struktur pemerintahan kerajaan ‘Abbasiyyah, khalifah merupakan toggak utama kepada kerajaan. Namun begitu, khalifah boleh mewakilkan urusan berkaitan pentadbiran awam kepada wazirnya, manakala urusan kehakiman kepada qadi (hakim) serta urusan pertahanan kepada panglima angkatan tenteranya. Di era permulaan kerajaan ‘Abbasiyyah, tugas-tugas khalifah adalah berdasarkan kepada cara dan tradisi Parsi dan ketika khalifah ke 8 iaitu khalifah Muhammad bin Harun bin Muhammad (al-Mu’tasim) sehingalah khalifah yang terakhir iaitu khalifah Abdullah bin al-Mustanshir Billah (al-Musta’sim), nama Allah disebut pada hujung nama khalifah tersebut. Mengikut tradisi ini, khalifah hendaklah menentukan bakal penggantinya iaitu dari kalangan sanak saudaranya sendiri yang pada pandanganya berkebolehan dan dirasai layak dilantik sebagai pemimpin.
Manakala wazir pula adalah jawatan yang kedua selepas khalifah dalam urusan pentadbiran dan dianggap sebagai orang yang paling rapat dengan khalifah. Selain itu, pentadbiran kerajaan ‘Abbasiyyah juga menubuhkan beberapa buah jabatan bagi melancarkan urusan pentadbiranya. Antara jabatan-jabatan yang ditubuhkan ialah jabatan kewangan, jabatan penyelaras, jabatan penimbang rayuan, jabatan cukai, jabatan polis dan sebagainya. Kesemua ketua-ketua jabatan ini akan menjadi anggota kepada sebuah majlis yang dipengerusikan oleh wazir dan jabatan yang paling susah dan sulit ialah jabatan cukai dan jabatan polis. 
Bagi memudahkan urusan pentadbiran, wilayah kerajaan ‘Abbasiyyah dibahagikan kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian ditadbir oelh seorang gabenor. Namun begitu pembahagian wilayah ini selalu berubah. Gabenor yang mentadbir wilayah-wilayah ini dilantik dengan persetujuan wazir dan bertukar-tukar ekoran daripada perubahan pucuk pimpinan bagi jawatan wazir. Bagi hasil yang diperolehi oleh sesebuah wilayah pula, ianya akan dibelanjakan untuk kepentingan dan pembangunan wilayah itu sendiri dan jika tidak mencukupi, gabenor yang mentadbir wilayah tersebut akan memohon bantuan kewangan daripada khalifah.

3.2       Khalifah-Khalifah Kerajaan Bni ‘Abbasiyyah

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, pemerintahan kerajaan ‘Abbasiyyah dibahagikan kepada dua jangka masa. Jangka masa pertama bermula dari tahun 132 hingga 247 H yang diperintah oleh sepuluh orang khalifah dan jangka masa kedua bermula dari tahun 247 hingga 861 H yang  diperintah oleh 27 orang khalifah.

            3.2.1    Khalifah Jangka Masa Pertama (132 hingga 247 H / 749 hingga 861 M)

Senarai khalifah yang memerintah untuk jangka masa ini ialah :

i.                    Abu ‘Abbas ‘Abdullah bin Muhammad (al-Saffah) – (132-136 H /  749-753 M)
ii.                  Abu Ja’far ‘Abdullah bin Muhammad (al-Mansur) – (137-158 H / 753-774 M)
iii.                Muhammad bin ‘Abdullah bin Muhammad (al-Mahdi) – (158-169 H / 774-785 M)
iv.                Musa bin Muhammad bin ‘Abdullah (al-Hadi) – (169-170 H / 785-786 M)
v.                  Harun bin Muhammad bin ‘Abdullah (al-Rasyid) – (170-193 H / 786-808 M)
vi.                Muhammad bin Harun bin Muhammad (al-Amin) – (193-98 H / 808-813 M)
vii.              ‘Abdullah bin Harun bin Muhammad (al-Ma’mun) – (198-218 H / 813-833 M)
viii.            Muhammad bin Harun bin Muhammad (al-Mu’tasim) – (218-227 H / 833-841 M)
ix.                Harun bin Muhammad bin Harun (al-Wathiq) – (227-232 H / 841-861 M)
x.                  Ja’far bin Muhammad bin Harun (al-Mutawakkil) – (232-247 H / 846-861 M)


3.2.2    Khalifah Jangka Masa Kedua (247 hingga 656 H / 861 hingga 1258 M)
Senarai khalifah yang memerintah untuk jangka masa ini ialah :

i.                    Muhammad bin Ja’far al-Mutawakkil (al-Muntasir) – (247-248 H / 861-862 M)
ii.                  Ahmad bin Muhammad al-Mu’tasim (al-Musta’in) – (248-252 H / 862-866 M)
iii.                Muhammad bin Ja’far al-Mutawakkil (al-Mu’taz) – (252-255 H / 866-868 M)
iv.                Mihammad bin Harun al-Wathiq (al-Muhtadi) – (255-256 H / 868-869 M)
v.                  Ahmad bin Ja’far al-Mutawakkil (al-Mu’tamid) – (256-279 H / 869-892 M)
vi.                Ahmad bin Thalhab bin Ja’far (al-Mu’tadhid) – (279-289 H / 892-901 M)
vii.              ‘Ali bin Ahmad al-Mu’tadhid (al-Muktafi) – (289-295 H / 901-907 M)
viii.            Ja’far bin Ahmad al-Mu’tadhid (al-Muqtadir) – (295-320 M / 907-923 M)
ix.                Muhammad bin Ahmad al-Mu’tadhid (al-Qahir) – (320-322 H / 932-933 M)
x.                  Muhammad bin Ja’far al-Muqtadir (al-Radhi) – (322-329 H / 933- 940 M)
xi.                Ibrahim bin Ja’far al-Muqtadir (al-Muttaqi) – (329-333 H / 940-944 M)
xii.              ‘Abdullah bin al-Muktafi (al-Mustakfi) – (333-334 H / 944-945 M)
xiii.            Al-Fadhl bin Ja’far al-Muqtadir (al-Muthi’) – (334-363 H / 945-973 M)
xiv.            ‘Abdul Karim ibnul Fadhl al-Muthi’ (al-Tha’i) – (363-381 H / 974- 991 M)
xv.              Ahmad bin Ishaq ibnul Muqtadir (al-Qadir) – (381-422 H / 991- 1031 M)
xvi.            ‘Abdullah bin Ahmad al-Qadir (al-Qaim) – (422-467 H / 1031- 1075 M)
xvii.          ‘Abdullah bin Muhammad ibnul Qaim (al-Muqtadi) – (467-487 H / 1075-1094 M)
xviii.        Ahmad bin ‘Abdullah al-Muqtadi (al-Mustazhir) – (487-512 H / 1094-1118 M)
xix.            Al-Fadhl bin Ahmad al-Mustazhir (al-Murtasyid) – (512-529 H / 1118-1135 M)
xx.              Manshur ibnul al-Fadhl al-Murtasyid (al-Rasyid) – (529-530 H / 1135-1136 M)
xxi.            Muhammad bin Ahmad al-Mustazhir (al-Muqtafi) – (530-555 H / 1136-1160 M)
xxii.          Yusof bin Ahmad al-Muqtafi (al-Mustanjid) – (555-566 H / 1160- 1170 M)
xxiii.        Al-Hasan bin Yusof al-Mustanjid (al-Mustadhi’) – (566-575 H / 1170-1180 M)
xxiv.        Ahmad ibnul Hasan al-Mustadhi’ (al-Nashir) – (575-622 H / 1180-1225 M)
xxv.          Muhammad bin Ahmad al-Nashir (al-Zhahir) – (622-623 H / 1225- 126 M)
xxvi.        Manshur bin Muhammad al-Zhahir (al-Mustanshir) – (623-640 H / 1226-1242 M)
xxvii.      ‘Abdullah bin Manshur al-Mustanshir (al-Mu’tashim) – (640-656 H / 1242-1258 M)

4.0       ZAMAN KEGEMILANGAN KERAJAAN BANI ‘ABBASIYYAH

Kerajaan ‘Abbasiyyah mula mencapai tahap kegemilangannya ketika zaman pemerintahan khalifah Harun bin Muhammad bin ‘Abdullah (al-Rasyid), yang bermula sekitar tahun 170 hingga 193 H bersamaan 786 hingga 808 M. Antara faktor kegemilangannya ialah :

            4.1       Penterjemahan Ilmu Pengetahuan Secara Meluas

Oleh kerana tidak memiliki buku ilmiah yang lengkap, maka buku-buku dari bahasa asing diterjemahkan secara besar-besaran ke dalam bahasa Arab. Kerja-kerja penterjemahan ini adalah penting dan dianggap sebagai sumber pemikiran Islam di samping al-Quran dan Hadis. Untuk tujuan itu, mereka terlebih dahulu perlu mempelajari bahasa-bahasa asing sehingga lahirlah pera cerdik pandai yang mampu menguasai pelbagai bahasa seperti bahasa Parsi, Yunani, Hindu dan lain-lain. Jabir bin Hayyan yang terkenal dalam kalingan masyarakat Eropah adalah salah seorang penterjemah Islam yang cekap dan bijak. Dia juga merupakan seorang ahli sains dan sasterawan terbilang di era kerajaan ‘Abbasiyyah.
            Aktiviti penterjemahan sampai ke kemuncaknya di era pemerintahan khalifah ‘Abdullah bin Harun bin Muhammad (al-Ma’mun). Ketika ini ditubuhkan sebuah akademi khas di Baghdad yang bertanggang jawab untuk tugas-tugas menterjemah buku-buku penting dari pelbagai bahasa ke bahasa Arab. Akademi ini diketuai oelh Yahya bin Masaweh, juga seorang yang bertanggang jawab menterjemah banyak buku perubatan untuk khalifah Harun al-Rashid.


4.2       Kemajuan dalam Bidang Astronomi

Khalifah al-Ma’mun juga merupakan pelopor utama dalam bidang astronomi. Beliau telah membina pusat penyelidikan dalam bidang astronomi yang dilengkapi dengan peralatan yang agak sempurna dan lengkap di Baghdad. Tujuannya ialah untuk mengetahui pergerakkan bintang dilangit agar mereka dapat mengetahui musim dan pergerakan angin. Ini berbeza dengan ahli astronomi sebelum kedatangan Islam yang menggunakan ilmu astronomi untuk menilik nasib manusia.

5.0       FAKTOR-FAKTOR KEJATUHAN KERAJAAN BANI ‘ABBASIYYAH
Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah yang diasaskan oleh Abu ‘Abbas as-Saffah itu hanya sempat bertahan selama 508 tahun (5 kurun) iaitu pada tahun 750 hingga 1258 Masihi. Namun dalam tempoh 400 tahun yang terakhir, pemerintahan Bani ‘Abbasiyyah hanya tinggal pada nama sahaja. Keagungan dan kehebatan sebelumnya gagal dikembalikan semula. Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah menjadi lemah dan terus merosot. Akhirnya kerajaan ‘Abbasiyyah tumbang pada tahun 1258 Masihi apabila digempur oleh tentera Hulagu Khan. Berikut adalah faktor-faktor kejatuhan kerajaan Bani ‘Abbasiyyah.
5.1       Kelemahan Pemerintah.
Faktor utama kejatuhan kerajaan ‘Abbasiyyah adalah disebabkan oleh kelemahan pemerintahnya sendiri. Hal ini dapat dilihat apabila para pemerintahnya diperlakukan seperti boneka oleh bangsa Turki. Selain itu, para khalifah ‘Abbasiyyah pada zaman terakhir pemerintahan, mereka lebih mementingkan kepentingan peribadi serta kehidupan yang mewah tanpa mempedulikan rakyat dibawah pemerintahan mereka.
Keadaan adalah lebih teruk apabila Khalifah al-Mu’tasim Billah termakan nasihat penasihatnya sehingga menyebabkan Kerajaan ‘Abbasiyyah jatuh ketangan Hulagu Khan yang merupakan cucu kepada Genghis Khan. Ketika itu, pusat pemerintahan ‘Abbasiyyah bertapak di Kota Baghdad, Iraq. Dalam sejarah,  kejatuhan itu dilihat berpunca dari kelemahan Khalifah al-Mu’tasim Billah sendiri. Beliau yang hanya mendengar nasihat dari pengampu kerajaan, sedangkan pengampu tersebut mempunyai seribu satu muslihat untuk menjatuhkan pemerintahan Khalifah Islamiah tersebut.
Walaupun mempunyai kemahiran dalam bidang al-Quran dan as-Sunnah, tetapi Khalifah al-Mu’tasim Billah merupakan seorang yang kurang cerdik. Beliau amat mempercayai penasihatnya yang bernama Umayiduddin Muhammad Al-Aqami, sedangkan ketika itu sudah banyak tindakan-tindakan Umayiduddin yang amat meragukan.
Segala nasihat dan cadangan yang diberikan oleh Umayiduddin, ternyata tidak memberi sebarang faedah kepada Islam, seperti cadangan mengadakan hubungan perpaduan dengan Hulagu Khan, walhal ketika itu tentera Hulagu Khan sudah bersiap sedia untuk melakukan serangan terhadap pusat pemerintahan kerajaan ‘Abbasiyyah di Kota Baghdad tersebut.
Ketua Tentera kerajaan ‘Abbasiyyah bernama Rukunuddin Ad-Daudar telah memberi nasihat kepada Khalifah, tetapi Khalifah tetap meletakkan kepercayaannya kepada Umayiduddin, sedangkan Umayiduddin itu mempunyai ‘Abbasiyyah secara senyap-senyap.
Hulagu Khan telah menjanjikan jawatan raja kepada Umayiduddin, sekiranya tentera Hulagu Khan berjaya menguasai Baghdad. Oleh hal yang demikian, dengan segala kecerdikan yang ada, Umayiduddin telah menggunakannya untuk memperdayakan Khalifah al-Mu’tasim Billah sehingga Hulagu Khan dan bala tenteranya berjaya masuk ke kota Baghdad tanpa menghadapi sebarang kesusahan dan kepayahan.
Sebelum kejadian itu, beberapa tindakan yang dilakukan oleh Umayiduddin ini sudah dapat dihidu oleh ketua tentera Kerajaan ‘Abbasiyyah iaitu Rukunuddin, malahan telah dilaporkan kepada Khalifah. Namun begitu, disebabkan kebodohan dan sifat “lurus bendul” yang wujud dalam diri Khalifah al-Mu’tasim Billah, menyebabkan segala laporan yang disampaikan oleh Rukunuddin tidak dipedulikan.
Memandangkan Khalifah seorang yang mempunyai sifat ego, sombong, malas, penting diri dan lurus bendul, dia tidak mengambil peduli terhadap dakwaan Rukunuddin yang telah lama sangsi akan kewujudan Umayiduddin, sedangkan Khalifah tidak mahu mempedulikan apa yang diberitahu olehnya.
Umayiduddin seorang yang mempunyai kebijaksanaan mengungkap ucapan yang menarik, disamping kepetahan membaca bait ayat-ayat al-Quran, menyebabkan Khalifah tidak mempercayai segala dakwaan Ketua tentera Kerajaan ‘Abbasiyyah iaitu Rukunuddin.

5.2       Serangan Tentera Mongol
Orang-orang Mongolia adalah bangsa yang berasal dari Asia Tengah. Negeri mereka adalah Mongolia yang merupakan sebuah kawasan di negara China. Mereka terdiri daripada kabilah-kabilah besar yang pelbagai, yang kemudiannya disatukan oleh Genghis Khan (603-624 H/ 1206-1226 M) .

Mereka adalah orang Badwi-sahara yang terkenal dengan sikap yang keras kepala dan suka melakukan kejahatan. Selain itu, mereka juga adalah kelompok manusia yang suka berperang, merompak, dan menumpahkan darah, serta menyembah berhala-berhala, bintang-bintang, dan matahari. Mereka memakan apa sahaja apa yang mereka mahu, dan suka melakukan perkara-perkara yang hedonisme-permisif.

Pada tahun 1258 Masihi Baghdad telah jatuh ke tangan bangsa Mongol, ini bukan sahaja mengakhiri kekuasaan Khilafah Bani ‘Abbasiyyah di sana, tetapi juga merupakan tanda awal kemunduran politik dan peradaban Islam, kerana Baghdad merupakan pusat kebudayaan dan peradaban Islam yang sangat kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan itu lenyap dimusnahkan oleh tentera Mongol yang dipimpin Hulagu Khan.
Dalam kejadian itu, digambarkan bahawa Hulagu Khan menyerang Baghdad dengan pasukan tentera yang sangat besar. Jumlah tentera Mongol kira-kira seramai 200 000 orang. Oleh itu, tentera ‘Abbasiyyah tidak mampu menentang tentera Mongol lalu lari berkurung di dalam kota. Tentera Mongol terus mengepung kota Baghdad selama 10 hari. Akhirnya, kota Baghdad jatuh ke tangan tentera Mongol.
Tentera Mongol memasuki kota Baghdad dan membunuh sesiapa sahaja yang mereka temui. Segala peradaban Islam yang terbina di Baghdad telah dihancurkan. Segala kitab yang dihasilkan oleh sarjana-sarjana Islam telah dikumpulkan dan dibuang ke dalam Sungai Dujlah sehingga airnya menjadi hitam (kerana dakwat daripada tulisan kitab-kitab itu).
Pada saat yang genting tersebut, penasihat kepada Khalifah al-Mu’tasim iaitu Umayiduddin Muhammad Al-Aqami ingin mengambil kesempatan dengan menipu Khalifah. Umayiduddin berkata kepada Khalifah al-Mu’tasim, "Saya telah menemui mereka untuk perjanjian damai. Hulagu Khan ingin mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Bakr Ibn Mu'tashim, putera Khalifah. Dengan demikian, Hulagu Khan akan menjamin kedudukanmu. la tidak menginginkan sesuatu kecuali kepatuhan, sebagaimana saudara-saudaramu terhadap sultan-sultan Seljuk".
Khalifah al-Mu’tasim menerima usul itu, ia keluar bersama beberapa orang pengikut dengan membawa mutiara, permata dan hadiah-hadiah berharga lainnya untuk diserahkan kepada Hulagu Khan. Hadiah-hadiah itu dibahagi-bahagikan Hulagu kepada para panglimanya. Keberangkatan khalifah disusul oleh para pembesar istana yang terdiri dari ahli fiqh dan orang-orang terpandang serta keluarganya. Tetapi, sambutanyang diberikan Hulagu Khan sungguh di luar dugaan Khalifah. Apa yang dikatakan wazirnya ternyata tidak benar. Mereka semua, termasuk wazir sendiri, dibunuh dengan leher dipancung secara bergilir-gilir.
5.3       Polisi Mengutamakan Bangsa Asing
Terdapat khalifah-khalifah ‘Abbasiyyah yang terlalu mengutamakan bangsa asing khususnya keturunan Turki dan Parsi. Sebaliknya bangsa Arab kurang diberi perhatian. Bangsa Turki dan Parsi diberikan jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran negara. Ini menimbulkan perasaan tidak puas hati bangsa Arab.
Hal ini dapat dilihat apabila Khalifah Al-Mu’tasim telah mencipta satu dasar yang melemahkan Kerajaan ‘Abbasiyyah apabila beliau mengambil 50,000 orang Turki untuk menjadi askar upahan dengan harapan untuk menjadikan mereka sebagai penyokongnya yang setia. Apabila orang Turki ini menjadi pengawal istana, maka kedudukan mereka bertambah kuat, lalu mereka mulai menguasai khalifah sehingga khalifah terpaksa mengikut arahan mereka.
            Apabila masuknya dominasi bangsa luar ke dalam pusat pemerintahan Baghdad telah menyebabkan kedudukan Khalifah sebagai boneka. Akibatnya, para khalifah hanya berkuasa atas nama Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah tetapi urusan pemerintahan dikuasai oleh orang lain. Sejak awal, Khalifah Bani ‘Abbasiyyah memasukkan unsur-unsur bukan Arab seperti unsur Parsi dan Turki. Pada tahun 945-1055 Masihi, Kerajaan Bani Buwaih dari Parsi menguasai Baghdad. Selanjutnya Bani Seljuk dari Turki pula menguasai pemerintahan pusat di Baghdad menggantikan Bani Buwaih.
            Antara 27 orang khalifah selepas Khalifah al-Mutawakkil (819-847 Masihi), ada 12 orang khalifah yang kedudukannya dipermainkan oleh para pengawal istana dari Turki. Sebagai contohnya, Khalifah al-Mu’tasim melarikan diri dari Baghdad kerana tidak sanggup menghadapi perlakuan kasar pengawal-pengawal dari Turki. Al-Mu’taz hanya berkuasa selama tiga bulan. Beliau dipaksa turun dari takhta oleh pengawalnya sendiri. Al-Muhtadi juga dipaksa turun takhta dan dipenjarakan kerana berselisih pendapat dengan orang Turki. Ramai lagi khalifah-khalifah yang dipecat, disingkirkan, dibunuh ataupun dipenjarakan oleh para pengawal dari Turki.

5.4       Kemerosotan Ekonomi
Selain mengalami kemunduran dalam bidang politik, Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah juga mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan. Pada zaman awal pemerintahan Bani ‘Abbas, Kerajaan ‘Abbasiyyah merupakan sebuah kerajaan yang kaya. Dana yang masuk lebih besar dari yang keluar sehingga Bait al-Mal penuh dengan harta. Sumber pendapatan Kerajaan ‘Abbasiyyah adalah daripada hasil kutipan cukai wilayah dan pertanian.
            Setelah banyak negara melepaskan diri, jumlah bayaran pajakan daripada wilayah-wilayah semakin berkurangan. Bagi meningkatkan pendapatan, pemerintah mengarahkan tentera memungut cukai secara paksa. Menurut Jurji Zaidan, pendapatan Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah menurun kerana para pengutip cukai memonopoli hasil cukai. Pertanian pula terganggu kerana lumpur menimbus sistem pengairan. Ini berikutan Sungai Nahrawan mengalami kerosakan besar akibat perang dan salurannya yang tidak dibaiki.
Selain itu, kemerosotan ekonomi Kerajaan ‘Abbasiyyah juga adalah disebabkan oleh berlakunya rusuhan rakyat sehingga menyebabkanpara pedagang tidak lagi berkunjung ke Baghdad. Hal itu menyebabkan dana yang tersimpan di Baitulmal semakin merosot berbanding peruntukan yang dikeluarkan. Malahan berpunca daripada kehidupan para khalifah yang semakin mewah dan mementingkan diri sendiri.

5.5       Munculnya Gerakan Pemberontakan
Pada zaman al-Muthadi (869 Masihi), timbul pemberontakan daripada kaum Zanj di bawah pimpinan Ali bin Muhammad. Di Iraq, terdapat gerakan Syiah, Qaramitah yang di pimpin oleh Hamdan Qarmat pada tahun 874 Masihi. Gerakan ini berjuang untuk menjadikan wilayah mereka sebagai zon merdeka. Lanjutan daripada gerakan Qaramithah, timbul pula gerakan Hasyasyin di bawah pimpinan Hasan bin Sabbah. Mereka membunuh para pembesar negara yang menjadi musuh mereka seperti Perdana Menteri Kerajaan Bani Seljuk di Baghdad dan Nizamul Muluk. Sebelum berkuasa, Kerajaan Bani Buwaih juga melakukan pemberontakan ke atas pemerintahan Baghdad sehingga berjaya menguasainya.
            Selepas melalui fasa-fasa kemunduran, akhirnya kerajaan Bani ‘Abbasiyyah jatuh ke tangan tentera Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan. Menurut Jurji Zaidan, sebelum Hulagu menyerang Baghdad, kedudukan dalaman Kerajaan Bani ‘Abbasiyyah sedang mengalami zaman kemunduran akibat berlakunya pertentangan hebat di antara kumpulan Syiah dan Sunni. Golongan istana pada ketika itu menganut kepercayaan Sunni, manakala penasihat atau wazir kerajaan pada ketika itu iaitu Umayiduddin al-Aqami pula adalah seorang penganut Syiah. Sebab terjadinya tentangan di antara Syiah dan Sunni disebabkan oleh tindakan Al-Daudar dan Abu Bakar, yang merupakan putera khalifah pada ketika itu bertindak menghancurkan daerah Karkh yang menjadi tempat tinggal orang-orang Syiah. Akibat marah dengan perbuatan itu, Umayiduddin mengirim surat kepada Hulagu dan meminta Hulagu menyerang Baghdad.

6.0       PENUTUP
Era kerajaan ‘Abbasiyyah merupakan era keemasan dan kegemilangan Islam. Ketika ini kedaulatan umat Islam sampai ke kemuncak kemuliaan, baik dari segi kekayaan, kemajuan atau kekuasaan. Ketika ini juga telah lahir pelbagai cabang ilmu yang penting yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Selain itu, sumbangan umat Islam untuk peradaban dunia juga hasil cetusan minda para cendikiawan besar dan hebat yang lahir ketika era kerajaan ‘Abbasiyyah.
            Namun begitu, terdapat pengajaran penting yang perlu diberi perhatian dalam kita menghayati dan menyulusuri sejarah sepanjang tertegaknya kerajaan ‘Abbasiyyah yang telah menguasai dunia berabad-abad lamanya. Pengajarannya ialah umat Islam jangan mudah terlena dengan kekuasaan yang dimiliki, kerana apabila leka dibuai mimpi indah dan hidup dalam keadaan bermegah-megah akan menyebabkan kita tersasar dari ajaran Allah s.w.t yang telah disampaikan melalui utusannya Nabi Muhammad s.a.w. Hal ini juga menjadi pemacu kepada umat Islam kembali bangkit untuk mencapai kembali kegemilangan Islam seperti yang pernah diraih ketika era kerajaan ‘Abbasiyyah.
            Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Begitulah juga yang terjadi kepada sebuah kerajaan yang agung seperti kerajaan Bani ‘Abbasiyyah. Hanya dengan beberapa isu kontroversi, kerajaan ini berakhir dengan sarangan tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan pada tahun 656 H bersamaan 1258 M.



BIBLIOGRAFI
Ahmad al-‘Usairy, penterjemah: Samson Rahman, 2003, Sejarah Islam Sejak Zaman Nabi Hingga Abad XX , Jakarta:  Akbar Media Eka Sarana
Ahmad Rauh Yaacob, 1994, Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Esa Khalid, 2001, Konsep Tamadun Islam Sains dan Teknologi, Johor: Muafakat Jaya Percetakan Sdn. Bhd.
Mohd Azri Awang, 1996, Sejarah & Tamadun Umat Islam Zaman ‘Abbasiyyah
Mohd Mokhtar Syafie, 1996, Sejarah Islam Abad Pertama, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise
Nur Hakim, 2008, Jatuhnya Sebuah Tamadun: Menyingkap Kebangkitan Dan Kejatuhan Empayar Khalifah Islam, Selangor: PTS Islamika, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd
Yusuf al-Isy, 20007, Dinasti Abbasiyyah, Jakarta Timur: Pustaka al-Kauthar
Zakaria Abdullah, 2009, Tamadun Islam Teks Lengkap Sejarah STPM, Kuala Lumpur: Marshall Cavendish
http://id.wikipedia.org/wiki/Kekhalifahan_Abbasiyah
http://id.wikipedia.org/wiki/Kekhalifahan_Abbasiyah#Kemerosotan_Ekonomi

7 comments:

  1. terima kasih.sangat membantu sy dalam menyelesaikan assignment sy

    ReplyDelete
  2. Terima kasih sangat kerana dapat menjawab soalan ii tingkatan 5

    ReplyDelete
  3. boleh tahu informasi ni dapat daripada mana

    ReplyDelete
  4. Seluruh ummat perlu kembali kepada usaha atas iman melalui usaha dakwah pada qhairul qurun, Allah swt akan kembalikan zaman kegemilangan yg diharapkan..

    ReplyDelete