Friday, September 23, 2011

MASIH BERNYAWAKAH HATI???


Seorang mualim pernah berbicara berkenaan respon hati apabila terlibat dengan sesuatu perkara atau dosa. Menurutnya bersyukurlah kalau hati masih berasa keluh kesah, gundah, bimbang dan cemas apabila terjerumus dengan perbuatan dosa. Itu petunjuk bahawa hati masih ‘bernyawa’. Masih dibuka ruang untuk berubah. Dan patut pula ada kebimbangan sekiranya hati kita lambat memberikan respon setiap kali terjerlus ke lubang maksiat atau dosa. Lebih-lebih lagilah kalau hati langsung tidak memberikan respon. Dalam sedara tau tidak, mudah sahaja melakukan perkara yang menjerumus diri kepada dosa.
            Seperti kata seorang pakar motivasi, Dr.HM Tuah Iskandar menerusi tulisannya dalam satu ruangan kaunseling yang dikelolakannya, “…seolah-olah kita berkata kepada Allah; Wahai Tuhan, lihatlah aku. Betapa aku tidak menghiraukan Mu, walaupun aku tahu engkau ada memerhatikanku…”. Berada dikedudukan begini bukan lagi kebimbangan yang perlu dirasa. Tetapi perlu berasa sedih dan takut. Pasanglah niat setinggi langit sekalipun untuk berbuat perkara baik dan meninggalkan dosa, tidak akan sampai ke mana kalau tidak dengan pertolongan Allah, rahmat, hidayah dan kasih sayangNya.
            Walaupun pada lahirnya usaha dan ikhtiar memang dituntut, yang mendorong atau memudahkan untuk menggerak usaha dan ikhtiar hanyalah Allah. Syarat utama untuk memperolehinya ialah merendah diri kepada Allah. Jangan ada sekali-kali rasa hairan singgah pada hati. Jangan sekali-kali berasa cukup dengan amal yang dikerjakan. Dan yang paling berat sekali mengambil sifat sombong menjadi pakaian diri. Bahayanya penyakit ini, ia ibarat musuh perosak yang memakan tanaman dari dalam batang pokok. Tidak mudah dikesan. Tidak ramai yang menyedari termasuklah diri si pelaku. Lantaran itu, bersyukurlah kepada Allah sekiranya terpilih menjadi orang yang mudah melakukan kebaikan dan mudah pula menjauhi kemungkaran.
            Carilah bekalan hidup di daerah sementara ini untuk di bawa pulang ke kampung akhirat kelak. Taqwa dalam erti kata sebenar – mentaati suruhan dan menjauhi larangan, baik yang zahir mahupun yang batin.
            Namun tidaklah pula cukup sekadar ada pengetahuan dan kesedaran (walaupun kedua-duanya datang dari Allah). Perlu ada dorongan dan kekuatan. Kekuatan untuk menolak ajakan-ajakan nafsu, dan mengerjakan suruhan. Dari mana boleh kita perolehi kekuatan itu? Sekali lagi taufiq dan hidayah Allah.
            Sememangnya hatilah yang menjadi pucuk pangkal segala persoalannya disini. Sebarang tingkah laku terjelma dari hati tidak kira sama ada baik atau buruk. Justeru itu, hatilah yang perlu dicuci buat menjadi wadah diletakkan taufiq dan hidayah, juga supaya tumbuh semula rasa sensitif apabila berhadapan dengan mungkar.
            Cuma sepekara yang perlu diingatkan, ketika tangan kanan tekun menyulam usaha, jangan pula tangan kiri dalam diam mencantasnya. Mudahnya kita mengharapkan rahmat Allah namun dalam masa yang sama kita terjerumus dalam perkara yang menghijab rahmat itu sampai kepada kita.
            Banyak perkara yang tidak boleh diambil enteng atau diambil mudah, perlu berhati-hati dan peka sentiasa. Jika tidak, jalanilah walau beratus kali proses membina seumpama ini, pasti sukar bertemu titik untuk mengungkai serabut kekusutan yang berselirat.

Saturday, September 17, 2011

MELAZIMI PERSOALAN YANG MAMPU ATASI ‘PROBLEM’






S
ahabat-sahabatku yang dikasihi kerana Allah sekalian. Pada saat ini mungkin masing-masing dari kita pasti sedang sibuk atau disibukkan dengan pelbagai tugasan dan sebagainya. Di dalam kesibukkan itu pasti ada sahaja yang dirasakan dan sering terbayang apabila segala tugasan belum selesai. “I wish there were 30 hours in a day!”. Itu yang seringkali terbayang apabila tugasan belum selesai sedangkan due time hampir tiba. Malam menjadi siang dan siang menjadi malam kembali. Mungkin ada dikalangan kita yang mengalami stress apabila keadaan ini berlaku. Molek kiranya dalam situasi sebegini ingin saya mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian. Apakah yang hendak kita dapatkan atau capai dalam hidup ini? Apa tujuan kita hidup di muka bumi Allah ini? Adakah
-          Mendapat pendidikan tertinggi?
-          Jawatan yang tinggi?
-          Kerja yang baik?
-          Pasangan yang cantik dan menarik?
Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah, suka untuk saya ingatkan kembali bahawa tujuan kita yang lebih kekal, suci, lebih agung dan mendasar ialah Allah. Ini kerana tujuan yang satu ini mencakupi semua tujuan yang dinyatakan pada awalnya. Ini bererti, dalam setiap amal dan perbuatan kita seharusnya mengikhlaskan hati kerana Allah semata-mata. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T :
“Katakanlah : Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagiNya dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri kepada Allah”.
al-An’am : 06:162-163
Sahabat-sahabat sekalian, mari kita renungkan sejenak kehidupan kita ini dengan mengajukan persoalan-persoalan ini
-          Sudahkah hidup kita ini selari dengan ikrar kita?
-          Solat kita hanya untuk Allah?
-          Ibadah kita hanya untuk Allah?
-          Hidup dan mati kita hanya untuk Allah?

Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Semoga kita semua mampu melakukannya…wallahua’lam.