Tuesday, April 26, 2011

SELAMAT BERCUTI...

Setelah setahun menimba ilmu di menara gading bagi sesi pengajian 2010/2011 kini tibalah kepenghujungnya. Bagi sesetengah pelajar di sebilangan IPT telah pun mula bercuti namun begitu ada juga yang masih berjuang dengan peperiksaan akhir semester 2 sesi ini. Bagi pelajar pra-siswazah mereka akan menjalani cuti semester yang panjang utk sesi ini..sebagai contoh ipt saya sendiri, UKM yg akan akan mula bercuti pada 01 Mei sehingga 11 September..oleh itu dengan tempoh cuti yang panjang ini marilah kita sama-sama manfaatkannya dengan sebaik mungkin...bagi pelajar-pelajar lepasan stpm, matrikulasi, stam, diploma dan yg seangkatan dngnya...selamat menjejakkan kaki ke pusat-pusat pengajian tinggi untuk semester 1 sesi 2011/2012 yg rata-ratanya akan bermula pada 06 September depan...tahniah atas kejayaan anda dan terpilih menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi...

Sunday, April 24, 2011

PENYAKIT UMAT ISLAM DULU, KINI DAN SELAMANYA

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah S.A.W.. bersabda maksudnya : "Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi S.A.W. menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah : 1. Terlalu banyak seronok, 2. Terlalu mewah, 3. Menghimpun harta sebanyak mungkin, 4. Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, 5. Saling memarahi, 6. Hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim". (Hadis Riwayat Hakim) Huraiannya 6 penyakit tersebut adalah seperti berikut : Pertama : Terlalu banyak berseronok. Orang yang sedang leka dengan keseronokan dunia adalah orang yang lalai dan tidak pernah terlintas tentang kematian. Baginya mati itu tidak perlu difikirkan kerana dia akan pergunakan sesempatan di dunia ini untuk berhibur , menyanyi, bergelak ketawa dan memuaskan nafsunya semata-mata. Sekali Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat sembahyang (musolla) dan baginda melihat beberapa orang sedang bergelak ketawa atau berbual kosong. Lalu baginda bersabda yang bermaksud : "Kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan segala kelazatan hidup, niscaya kamu akan menjadi sibuk (tekun beribadat) sepertimana aku melihat kematian." "Oleh itu perbanyakkanlah mengingati mati kerana tidak berlalu satu hari melainkan kubur akan berkata, 'aku rumah kesepian, aku rumah keseorangan, aku rumah tanah dan aku rumah ulat dan cacing." Keseronokan juga disebabkan mendapat kedudukan dan pimpinan dalam masyarakat disanjung dan dipuja, dihormati dan ramai pengikut. Seronok kerana semua kehendaknya dipenuhi dan mampu menjantuhkan orang lain yang tidak disukainya. Kedua : Terlalu mewah. Rezeki yang kita miliki hasil usaha kita sebenarnya bukan semua adalah hak kita. Oleh itu Islam mewajibkan zakat dan mengalakkan bersedekah dan membantu orang fakir-miskin. Sikap suka bermewah-mewah dan membazir bukannya lahir daripada akhlak Islam tetapi ianya adalah lahir daripada hasutan syaitan. Islam menyuruh umatnya hidup sederhana, tidak membazir dan banyak memberikan sumbangan harta dijalan Allah S.W.T. Sikap suka bermewah dengan makanan dan pakaian, perhiasan rumah, kereta mewah dan berbangga dengan harta yang dimiliki akan menimbulkan perasaan riak dan sombong dan sifat ini amat dibenci oleh Allah S.W.T. Contoh yang diceritakan dalam al-Quran adalah kisah Qarun. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Barang siapa bertawaduk kerana Allah, maka akan diangkat darjatnya oleh Allah, barang siapa yang sombong, maka akan dijatuhkan darjatnya oleh Allah, barang siapa bersikap bersederhana (tidak boros dan tidak pula kikir), maka akan dijadikan kaya oleh Allah, barang siapa membazir, maka akan dijadikan miskin oleh Allah dan barang siapa memperbanyak ingatan kepada Allah, maka dicintai oleh Allah." Ketiga : Menghimpun harta sebanyak mungkin Islam mengalakkan umatnya mencari harta kekayaan dengan cara yang halal supaya dengan harta itu akan menjadikan umat Islam mempunyai kekuatan ekonomi dan umat Islam tidak mudah dipandang hina oleh orang bukan Islam. Tetapi Islam meletakkan harta bukannya sebagai matlamat tetapi ianya hanyalah sebagai alat saja untuk kebaikan Islam. Tetapi sekiranya seorang itu bekerja siang malam, mengumpulkan harta tanpa memperdulikan ibadah kepada Allah, melupakan menuntut ilmu, tidak ada masa untuk mendidik ahli keluarga, kerja-kerja kebajikan dalam masyarakat diabaikan, maka Islam melarangnya. Terutama apabila harta yang diperolehi dengan cara haram seperti mengambil rasuah, bermain judi, menipu dalam perniagaan dan sebagainya. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya : "Barang siapa yang mendapat harta dengan jalan haram, kemudian ia menyambung silaturahim dengan harta itu, atau bersedekah dengannya, atau menginfakkan di jalan Allah, di hari kiamat nanti ia dan seluruh harta itu akan dikumpulkan dan dilemparkan ke dalam api neraka." Sungguh hadis itu memberi isyarat bahawa harta haram itu tidak boleh memberikan manfaat apapun bagi yang membelanjakannya. Bahkan ia diancam dengan api neraka. Keempat : Tipu menipu dalam dalam merebut harta benda dunia. Islam melarang umatnya menipu dalam perniagaan hinggakan kita mengambil harta orang lain secara tidak sah dan besar dosanya disis Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat 188) Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah S.W.T. akan mengalungi tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi." Kelima : Saling memarahi. Islam melarang pergaduhan, maki hamun , permusuhan dan saling memarahi. Sifat suka marah adalah sifat yang disukai oleh syaitan. Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikii sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsunya. Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi S.A.W. "Berilah aku wasiat?." Nabi S.A.W. bersabda: : "Janganlah engkau marah" Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi S.A.W. bersabda : " Janganlah engkau marah" (Hadis Riwayat. Bukhari). Mengelak rasa marah adalah sepanjang waktu perlu mengawal emosi supaya tidak lekas marah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang cepat marah dan suka marah. Perlu diingat, marah itu bara api syaitan yang menjunam ke dalam hati manusia dan syaitan itu adalah musuh manusia nombor satu. Jauhkan diri kita daripada sifat marah. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menahan kemarahannya dan dapat melaksanakannya, niscaya Allah akan memanggilnya di hadapan manusia ramai dan menyuruhnya memilih di antara bidadari yang dikehendakinya.” Keenam : Hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim Abul Laits Assamarqandi r.a. meriwayatkan dengan sanadnya dari Alhasan berkata Nabi Muhammad S.A.W. bersabda maksudnya : "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagai mana api makan kayu." Ibrahim bin Aliyah dari Abbad bin Ishaq dari Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad S.A.W. bersabda maksudnya : "Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorang pun iaitu: 1. Buruk sangka 2. Hasad dengki 3.Takut sial kerana sesuatu." Lalu ditanya: "Ya Rasulullah, bagaimana untuk selamat dari semua itu?" Jawab Nabi S.A.W: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut dari sesuatu maka hadapilah (jangan tinggalkan)." Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kau lahirkan dalam amal perbuatanmu sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah S.W.T. maafkan selama belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika buruk sangka maka jangan kau buktikan, jangan berusaha menyelidiki mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was atau takut dalam hati maka teruskan hajatmu dan jangan tinggalkan." Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah! Sahabat yang dimuliakan, Marilah sama-sama kita berazam untuk menjauhi enam penyakit umat-umat yang terdahulu yang mana penyakit tersebut menyebabkan mereka ditimpa bala dan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. Bila kita kembali mengambil al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W dan mengambil contoh akhlak Rasulullah S.A.W. maka kita akan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Friday, April 22, 2011

SHARCMAN QABLANA


1.0     PENDAHULUAN
Topik perbincangan di dalam kertas kerja ini adalah bagi mengkaji satu sumber hukum yang tidak disepakati oleh para ulama’ iaitu SharcMan Qablana. SharcMan Qablana merupakan satu syariat yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada umatnya yang terdahulu. Topik ini juga mempunyai perkaitan dengan syariat yang ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. (Wahbah Zuhaily. 1998: 867)
            Perbincangan di dalam tajuk ini akan menyentuh berkaitan dengan pentakrifan SharcMan Qablana. Selain itu, ia juga akan membincangkan hal-hal berkaitan dengan pembahagian, furu’ fiqh dan pendapat ulama’ sama ada menerimanya sebagai sumber hukum ataupun tidak.



2.0     PENGERTIAN SHARCMAN QABLANA
SharcMan Qablana menurut ahli usul fiqh ialah hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada para Nabi dan Rasulnya yang terdahulu untuk disampaikan kepada umat-umat mereka pada zaman tersebut (Abdul Karim Zaidan 2009: 209).
            Hukum-hukum tersebut telah disyariatkan oleh Allah S.W.T kepada umat sebelum kita dan diturunkannya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang terdahulu bagi disampaikan kepada umat-umat mereka (Mohd Salleh Haji Ahmad 1999: 134). Hukum-hukum ini diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Rasul-Rasul yang terdahulu seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa. Antara contoh syariat agama yang diturunkan kepada Rasul yang terdahulu ialah Hanifiyyah, Agama Yahudi untuk umat Nabi Musa dan Agama Nasrani untuk umat Nabi Isa (Wahbah Zuhaily 2000: 41)
            Syariat Nabi Muhammad S.A.W adalah syariat yang terakhir. Al-Quran dan al-Sunnah juga banyak menceritakan berkaitan dengan kisah-kisah para Nabi dan Rasul yang terdahulu berserta dengan syariat perundangan mereka (Wahbah Zuhaily 1998: 867).
            SharcMan Qablana dapat disimpulkan sebagai syariat yang telah diturunkan kepada umat terdahulu untuk dituruti oleh mereka. Namun, ulama berselisih pendapat dalam menentukan sama ada syariat tersebut masih terpakai pada umat Nabi Muhammad S.A.W ataupun tidak.



3.0     PEMBAHAGIAN SHARC MAN QABLANA
Ulama telah berselisih pendapat dalam menentukan sama ada SharcMan Qablana ini boleh diterima sebagai sumber hukum ataupun tidak. Oleh itu, para ulama telah membahagikan SharcMan Qablana kepada beberapa bahagian iaitu:
        i.            Hukum-hukum yang disyariatkan kepada umat-umat terdahulu dan turut terdapat di dalam syariat Islam masa kini melalui perintahnya sama ada di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah. Hukum-hukum tersebut disyariatkan kepada umat terdahulu melalui Rasul-Rasul mereka dan turut difardhukan ke atas kita. Contohnya ialah hukum wajib melaksanakan ibadat puasa yang telah difardhukan kepada umat terdahulu sebelum umat Nabi Muhammad S.A.W. Hukum wajib ini juga dikenakan ke atas umat Nabi Muhammad S.A.W. (Mohd Salleh Haji Ahmad 1999: 134). Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
(al-Baqarah 2: 183)
Nas di atas menunjukkan bahawa perintah supaya menunaikan puasa ini telah disyariatkan kepada umat terdahulu dan umat Nabi Muhammad S.A.W. Tuntutan wajib menunaikan puasa ini adalah wajib dilaksanakan oleh kita sama seperti yang telah dikenakan kepada umat yang terdahulu (Abdul Karim Zaidan 2009: 209). Hukum-hukum seperti ini tidak menimbulkan perbalahan antara ulama bahkan semuanya bersepakat menyatakan bahawa kita wajib melaksanakan tuntutan tersebut berdasarkan dalil yang terdapat di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah.
      ii.            Hukum-hukum yang dinyatakan oleh Allah S.W.T melalui kitab suci al-Quran dan al-Sunnah daripada Baginda Rasulullah S.A.W berkaitan dengan syariat umat terdahulu tetapi tidak terpakai pada umat Nabi Muhammad S.A.W kerana telah dinasakhkan  (Abdul Karim Zaidan 2009: 209). Ulama sepakat menyatakan bahawa syariat yang telah dinasakhkan itu tidak menjadi kewajipan bagi umat Nabi Muhammad S.A.W untuk melaksanakannya. Sebagai contoh, pengharaman daging kepada orang Yahudi. Pengharaman tersebut telah dinasakhkan melalui ayat al-Quran yang membenarkan umat Nabi Muhammad memakan daging (Nur al-Din Mukhtar al-Khadimi 2005: 309).  Firman Allah S.W.T yang menunjukkan pengharaman tersebut adalah melalui surah al-An’am:

وَعَلَى ٱلَّذِينَ هَادُواْ حَرَّمۡنَا ڪُلَّ ذِى ظُفُرٍ۬‌ۖ وَمِنَ ٱلۡبَقَرِ وَٱلۡغَنَمِ حَرَّمۡنَا عَلَيۡهِمۡ شُحُومَهُمَآ إِلَّا مَا حَمَلَتۡ ظُهُورُهُمَآ أَوِ ٱلۡحَوَايَآ أَوۡ مَا ٱخۡتَلَطَ بِعَظۡمٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ جَزَيۡنَـٰهُم بِبَغۡيِہِمۡ‌ۖ وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ
      Maksudnya: Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku dan dari lembu dan kambing, Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka dan sesungguhnya Kamilah yang benar.
(al-An’am 6: 146)

Allah S.W.T melalui ayat ini telah mengharamkan setiap jenis daging serta lemak haiwan yang berkuku kepada orang Yahudi. Umat mereka hanya dibenarkan memakan lemak-lemak yang terdapat di sekitar punggung dan yang terlekat bersama-sama tulang haiwan. Namun, ayat al-Quran sebelumnya telah menasakh ayat tersebut dan memberi kebenaran kepada umat Nabi Muhammad S.A.W untuk memakan setiap anggota pada daging haiwan kecuali yang diharamkan. Firman Allah S.W.T:

قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ۬ يَطۡعَمُهُ ۥۤ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيۡتَةً أَوۡ دَمً۬ا مَّسۡفُوحًا أَوۡ لَحۡمَ خِنزِيرٍ۬ فَإِنَّهُ ۥ رِجۡسٌ أَوۡ فِسۡقًا أُهِلَّ لِغَيۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦ‌ۚ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَيۡرَ بَاغٍ۬ وَلَا عَادٍ۬ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(al-An’am 6: 145)

Allah S.W.T melalui ayat di atas pula telah mengharuskan semua jenis makanan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W kecuali bangkai, darah yang mengalir, daging babi dan haiwan yang disembelih bukan kerana Allah S.W.T. Selain itu, hukumnya adalah harus untuk dimakan. Allah S.W.T juga telah memberi kebenaran kepada umat Nabi Muhammad S.A.W untuk memakan haiwan yang diharamkan tersebut jika berada di dalam keadaan darurat.      
Di samping itu, terdapat juga hadis dari Rasulullah S.A.W yang menasakhkan perintah sebelumnya yang dikenakan ke atas umat terdahulu. Sebagai contoh, kebenaran mengambil harta ghanimah atau harta rampasan perang yang sebelum ini dilarang kepada umat terdahulu. Sabda Rasulullah S.A.W ini telah menasakhkan larangan tersebut serta memberi kebenaran kepada umat kini untuk mengambil harta ghanimah. Sabda Rasulullah S.A.W yang memberi kebenaran tersebut ialah:


وأحلت لي الغنائم , ولم تحل لأحد قبلي
Maksudnya: Dan aku menghalalkan kepada kamu ghanimah yang kamu tidak boleh ambil sebelum ini.
(Riwayat Bukhari)

Rasulullah S.A.W telah membenarkan umat Islam untuk mengambil harta ghanimah yang sebelum ini telah dilarang kepada umat terdahulu. Hal ini menunjukkan bahawa sabda Rasulullah S.A.W telah menasakhkan hukum asal yang dikenakan ke atas umat terdahulu iaitu larangan mengambil harta ghanimah. Hukum-hukum yang dinasakhkan tidak perlu diamalkan (Nur al-Din Mukhtar al-Khadimi 2005: 309)
    iii.            Pensyariatan umat terdahulu tidak dinyatakan di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah. Ulama bersepakat dalam pembahagian ini bahawa syariat tersebut tidak disyariatkan kepada umat masa kini (Abdul Karim Zaidan 2009: 210).

    iv.            Hukum-hukum yang disyariatkan kepada umat terdahulu tetapi tidak terdapat ayat al-Quran mahupun al-Sunnah dari Rasulullah S.A.W yang khusus menyatakan sama ada syariat tersebut terpakai pada umat kini ataupun tidak (Abdul Karim Zaidan 2009: 210). Antara contoh syariat yang telah disyariatkan kepada umat terdahulu ialah syariat pelaksanaan qisas. Firman Allah S.W.T:

وَكَتَبۡنَا عَلَيۡہِمۡ فِيہَآ أَنَّ ٱلنَّفۡسَ بِٱلنَّفۡسِ وَٱلۡعَيۡنَ بِٱلۡعَيۡنِ وَٱلۡأَنفَ بِٱلۡأَنفِ وَٱلۡأُذُنَ بِٱلۡأُذُنِ وَٱلسِّنَّ بِٱلسِّنِّ وَٱلۡجُرُوحَ قِصَاصٌ۬‌ۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِۦ فَهُوَ ڪَفَّارَةٌ۬ لَّهُ ۥ‌ۚ وَمَن لَّمۡ يَحۡڪُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
     Maksudnya: Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa dan mata dibalas dengan mata dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(al-Maidah 5: 45)
Firman Allah S.W.T melalui ayat di dalam al-Quran menerangkan tentang pensyariatan hukuman qisas sejak dari zaman Nabi Musa lagi yang terdapat perintahnya di dalam kitab Taurat.            Para ulama telah berselisih pendapat dalam menentukan sama ada syariat ini terpakai sehingga hari ini ataupun tidak.



4.0     KEHUJAHAN SHARCMAN QABLANA
Setelah mengetahui dengan jelas berkaitan pembahagian SharcMan Qablana, barulah boleh diteliti pula kehujahan SharcMan Qablana kerana pokok pangkal berkaitan perbahasannya telah diketahui. Namun begitu, dalam meneliti perkara berkaitan kehujahan ini, ulama telah berselisih pendapat mengenainya terutamanya pada bahagian keempat iaitu hukum-hukum yang dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran atau hadis Baginda Rasulullah S.A.W yang disyariatkan kepada umat terdahulu tetapi tidak terdapat dalil yang menyatakan bahawa ia turut disyariatkan kepada umat terkemudian atau tidak (Abdul Karim Zaidan 2009: 210).
Dalam hal ini ulama telah mengemukakan dua pendapat iaitu yang pertama ialah golongan yang menerima SharcMan Qablana sebagai sumber perundangan dan yang kedua ialah golongan yang tidak menerima SharcMan Qablana sebagai hujah syarak.
            Jumhur mazhab Hanafi, Maliki dan sebahagian ulama al-Shafi’iyy dan Ahmad berpendapat bahawa perkara yang telah disahkan sebagai syariat kepada umat sebelum ini juga menjadi syariat kepada umat yang kemudiannya sekiranya ia telah disyariatkan melalui wahyu kepada Nabi S.A.W, maka ia menjadi wajib kepada seorang mukallaf untuk mengamalkan dan mentaatinya.
            Pendapat kedua pula menyatakan bahawa perkara yang disyariatkan kepada umat terdahulu tidak disyariatkan kepada umat yang terkemudian. Pendapat ini diwakili oleh sebahagian ulama al-Shafi’iyy, Ashairah, Mu’tazilah, dan Syiah (Wahbah Zuhaily 2005: 102).

4.1  Hujah Pendapat Pertama
Golongan pertama yang terdiri daripada jumhur Hanafi, Maliki dan sebahagian ulama al-Shafi’iyy dan Ahmad menerima bahawa syariat terdahulu terpakai kepada umat sekarang selagi syariat tersebut tidak dinasakhkan dan ia wajib diamalkan serta boleh dijadikan sumber rujukan bagi pengeluaran sesuatu hukum. Antara hujah golongan ini ialah:
          i.          Ayat al-Quran yang berbunyi:

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ‌ۖ فَبِهُدَٮٰهُمُ ٱقۡتَدِهۡ‌

Maksudnya: Mereka (Nabi-Nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka.
(al-An’am 6:90)

Jika diteliti, ayat di atas menerangkan bahawa Allah S.W.T memberi petunjuk atau hidayah kepada umat-umat terdahulu merangkumi pelbagai aspek seperti muamalat dan termasuk juga hal yang berkaitan perundangan atau syariat Islam. Di samping itu, ayat ini juga  menunjukkan bahawa Allah S.W.T memerintahkan Nabi Muhammad S.A.W agar mengikut petunjuk atau syariat yang disampaikan oleh Nabi-Nabi terdahulu kerana ada sebahagiannya merupakan syariat yang merangkumi hal-hal keimanan dan perundangan yang digunapakai oleh umat terdahulu yang turut disyariatkan kepada umat pada masa kini (Wahbah Zuhaily 1998:873).


        ii.          Hujah kedua yang dibawa golongan ini pula adalah berdasarkan ayat al-Quran berikut:


ثُمَّ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ أَنِ ٱتَّبِعۡ مِلَّةَ إِبۡرَٲهِيمَ حَنِيفً۬ا‌

Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.
(al-Nahl 16:123)


Perkara yang dapat difahami berdasarkan ayat al-Quran di atas ialah Allah S.W.T telah memerintahkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W agar mengikut syariat yang dibawa oleh Nabi Ibrahim A.S. Hal ini kerana syariat tersebut merupakan syariat yang disampaikan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Ibrahim A.S. Oleh kerana perintah yang terdapat dalam ayat ini bentuk suruhan, maka ia wajib untuk ditaati (Wahbah Zuhaily 1998:873).

 
      iii.          Hujah ketiga yang dikemukakan oleh golongan ini pula ialah berdasarkan kepada firman Allah berikut:


شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحً۬ا وَٱلَّذِىٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ وَمَا وَصَّيۡنَا بِهِۦۤ إِبۡرَٲهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰٓ‌ۖ أَنۡ أَقِيمُواْ ٱلدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُواْ فِيهِ‌ۚ

Maksudnya: Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya.
(al-Shura 42:13)


Ayat di atas  menjelaskan bahawa Allah S.W.T telah memberikan hidayah kepada umat terdahulu melalui syariat yang disampaikan kepada Nabi-Nabi terdahulu. Melalui syariat tersebut turut disertakan hal-hal berkaitan perundangan dan keimanan kepada Allah S.W.T. Melalui ayat ini juga dinyatakan syariat yang sama telah disampaikan kepada Nabi Muhammad S.A.W dan umatnya supaya mengikut setiap yang telah diperintahkan kepada Nabi Nuh A.S, Nabi Ibrahim A.S, dan Nabi Isa A.S untuk menegakkan agama Allah (Wahbah Zuhaily 1998:873).


      iv.          Hujah keempat berkaitan dengan wajib qada’ solat fardu yang telah ditinggalkan. Hujah mereka ialah berdasarkan hadis Baginda S.A.W :

من نام عن صلاة أو نسيها فليصلها اذا ذكرها

Maksudnya: Sesiapa yang tertidur atau terlupa daripada mengerjakan solat maka hendaklah ia mengerjakannya jika mengingatinya.


Baginda S.A.W kemudiannya menyambung lagi dengan membaca firman Allah berikut:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِڪۡرِىٓ

Maksudnya: dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
(Taha 20:14)

Jika diteliti, ayat ini ditujukan kepada Nabi Musa A.S. Sekiranya syariat Nabi terdahulu tidak terpakai kepada Nabi Muhammad S.A.W maka tidak mungkin ayat itu dibacakan oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai sokongan kepada hadis sebelumnya. Berdasarkan hujah ini maka ulama dari golongan ini berpendapat bahawa syariat terdahulu turut terpakai kepada umat yang kemudiannya (Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar 2001:142).


        v.               Hujah kelima yang pula ialah Rasul yang diutuskan Allah S.W.T hanya berperanan sebagai penyampai risalah Allah sahaja. Oleh yang demikian, tiada bezanya antara seorang Rasul dengan seorang Rasul yang lain dari segi syariat yang dibawa oleh mereka. Maka dapat disimpulkan di sini bahawa syariat yang diamalkan Rasul sebelumnya turut diamalkan oleh Rasul yang terkemudiannya selagi syariat tersebut tidak dinasakhkan oleh mana-mana dalil. Hujah ini adalah berdasarkan firman Allah berikut:


لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٍ۬ مِّن رُّسُلِهِۦ‌

Maksudnya: Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya.
(al-Baqarah 2:285)



4.2     Hujah Golongan Kedua
Pendapat golongan yang kedua ini adalah pendapat yang menolak kehujahan SharcMan Qablana sebagai sumber hukum syarak.
      i.                   Sebahagian mazhab Imam al-Shaficiyy, dan sebahagian mazhab Ashacirah, Muctazilah serta Syiah berpendapat bahawasanya SharcMan Qablana bukanlah hukum syarak yang mutlak kepada kita selain daripada hukum-hukum syarak yang telah disyariatkan kepada kita (Wahbah Zuhaily 2000 : 41). Ini berdasarkan kepada firman Allah S.W.T iaitu :

لِكُلٍّ۬ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةً۬ وَمِنۡهَاجً۬ا
Maksudnya: Untuk masing-masing Kami buatkan aturan dan jalan.
(Surah al-Maidah 5:48)

Ayat di atas menerangkan bahawa, setiap Nabi sebelum Nabi Muhammad ada perundanganya yang tersendiri dan perundangan itu hanya terpakai kepada umatnya sahaja. Oleh itu, setiap umat itu mesti mengikut segala yang telah disyariatkan kepada mereka sahaja, bukan mengikut perkara yang telah disyariatkan kepada umat yang lain daripada mereka. Maka setiap yang disyariatkan kepada umat terdahulu tidak wajib diamalkan oleh umat hari ini (Wahbah Zuhaily 1998: 875).


      ii.            Ada ulama berpendapat bahawa SharcMan Qablana atau syariat terdahulu hanya terpakai dan khusus kepada kaum terdahulu dan terbatas kepada kaum tertentu, dan untuk waktu tertentu sahaja (Nur al-Din Mukhtar al-Khadimi, 2005 : 312). Ini berdasarkan kepada beberapa firman Allah antaranya:

وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوۡمِهِۦۤ إِنِّى لَكُمۡ نَذِيرٌ۬ مُّبِينٌ
Maksudnya: Sesungguhnya kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya, mengaktakan sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang terang untuk kamu.
(Surah Hud 11:25)

          وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَڪِّرۡهُم بِأَيَّٮٰمِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّكُلِّ صَبَّارٍ۬ شَكُورٍ۬
Maksudnya: Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Musa membawa keterangan-keterangan kami, bahawa hendaklah kamu keluarkan kaummu dari kegelapan kepada cahaya terang dan peringatkan kepada mereka hari-hari Allah, sesungguhnya hal itu menjadi keterangan bagi setiap orang yang teguh hati dan berterima kasih.
(Surah Ibrahim 14:5)

وَرَسُولاً إِلَىٰ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ
Maksudnya: Dan dia menjadi Rasul untuk anak-anak Israil…
(Surah Ali Imran 3:49)

Tiga ayat yang dinyatakan di atas menerangkan bahawa Nabi Nuh A.S, Nabi Musa A.S, dan Nabi Isa A.S sebenarnya diutuskan khas kepada umat mereka sahaja. Sebaliknya, Nabi Muhammad S.A.W diutuskan untuk seluruh umat manusia sehingga hari kiamat. Oleh yang demikian syariat umatter dahulu tidak wajib diamalkan oleh umat Nabi Muhammad S.A.W.  Ini sebagaimana firman Allah S.W.T dan hadis Nabi S.A.W iaitu:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِين
Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(Sural al-Anbia 21 : 107)

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا ڪَآفَّةً۬ لِّلنَّاسِ بَشِيرً۬ا وَنَذِيرً۬ا وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ
Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).
(Surah an-Saba’ 34 : 28)

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُ‌ۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡ‌ۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ
Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalingan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah  amat segera hitungan hisabNya.
(Surah al-Imran 3 : 19)



وكان كل نبي يبعث إلى قومه خاصة وبعثت إلى الناس عامة
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi-Nabi itu diutuskan untuk kaum tertentu, tetapi aku diutuskan untuk semua manusia.
 (Riwayat Bukhari dari Jabir)

Menerusi dalil-dalil di atas dapatlah disimpulkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W diutuskan kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini sehingga hari kiamat. Hal ini tidak berlaku kepada Nabi-Nabi sebelum Baginda. Oleh itu, apabila datangnya syariat Nabi Muhammad S.A.W menasakhkan syariat-syariat yang terdahulu dan ini menunjukkan bahawasanya syariat terdahulu tidak terpakai pada umat Nabi Muhammad S.A.W (Abu Zahrah1997 : 269).

      iii.          Sesungguhnya ketika Nabi Muhammad S.A.W ketika mengutuskan SaidinaMuaz r.a ke Yaman sebagai kadi ataupun hakim, Baginda telah bertanya kepada Muaz tentang penyelesaian hukum syarak terhadap sesuatu permasalahan. Hal ini telah dinyatakan dalam hadith Nabi iaitu:
( كيف تقضي إذا عرض لك قضاء؟ ) قال : بكتاب الله ،( قال فإن لم تجد في كتاب الله؟ ) قال : فبسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم، قال : (قال فإن لم تجد في سنة رسول الله ولا في كتاب الله ؟ ) قال : أجتهد رأي و لا آلو ، فضرب رسول الله صلى الله عليه وسلم صدره ، وقال : ( الحمد لله الذى وفق رسول رسول الله لما يرضى رسول الله)
(Riwayat Ibn Majah dan Abu Daud)

Maksudnya: Bagaimana kamu hendak memutuskan hukum sesuatu permasalahan yang dibawa kepada kamu? Lalu Muaz menjawab, saya akan berhukum dengan Kitab Allah. Nabi bertanya lagi sekiranya kamu tidak jumpa dalam kitab Allah? Jawab Muaz, saya akan berhukum mengikut Hadis Nabi S.A.W. Nabi bertanya lagi sekiranya tidak dijumpai dalam sunnah? Maka saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut atau membenarkan begitu sahaja lalu Nabi menepuk dada sambil bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah member taufik kepada utusan Rasulullah kearah sesuatu yang diredhai Rasulullah.


Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi S.A.W tidak menyuruh Muaz untuk merujuk kepada syariat umat terdahulu jika sesuatu permasalahan itu tidak dapat diselesaikan, tetapi penyelesaiannya ialah melalui ijtihad. Sekiranya syariat umat terdahulu merupakan salah satu sumber hukum sudah pasti Nabi S.A.W akan menyuruh Muaz untuk merujuk kepada syariat umat terdahulu selepas merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah (Wahbah Zuhaily 1986:846)





5.0     FURUK FIQH
Apabila wujudnya perselisihan pendapat, maka sudah tentulah akan ada perselisihan dan penentuan sesuatu hukum misalnya menjadikan manfaat sebagai mahar kepada perkahwinan.
            Mengikut Imam al-Shafi’iyy dan Imam Ahmad, manfaat harus hukumnya dijadikan mahar perkahwinan  sebagaimana yang diceritakan dalam Al-Quran iaitu:

قَالَ إِنِّىٓ أُرِيدُ أَنۡ أُنكِحَكَ إِحۡدَى ٱبۡنَتَىَّ هَـٰتَيۡنِ عَلَىٰٓ أَن تَأۡجُرَنِى ثَمَـٰنِىَ حِجَجٍ۬‌ۖ فَإِنۡ أَتۡمَمۡتَ عَشۡرً۬ا فَمِنۡ عِندِكَ‌ۖ وَمَآ أُرِيدُ أَنۡ أَشُقَّ عَلَيۡكَ‌ۚ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Maksudnya: Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu Dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, Dengan syarat Bahawa Engkau bekerja denganku selama delapan tahun; Dalam pada itu, jika Engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka Yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. dan (ingatlah) Aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; Engkau akan dapati Aku insya Allah, dari orang-orang Yang baik layanannya".
(Surah Al-Qasas 28:27)

            Dalam surah ini Allah telah menukilkan peristiwa Nabi Musa yang lari dari Mesir ke Madyan (Jordan) semata-mata untuk menyelamatkan dirinya daripada dibunuh oleh Firaun. Nabi Musa melarikan diri pada waktu malam dan sampai ke Jordan iaitu negeri Nabi Syuib pada waktu pagi. Setelah sampainya ke situ, Nabi Musa telah melalui kawasan yang terdapat sebuah perigi. Di situ Nabi Musa melihat terdapat sekumpulan kaum lelaki yang sedang menggunakan telaga tersebut sambil mengambil air untuk diberikan kepada kambing ternakan mereka.
            Dalam jarak beberapa meter dari sekumpulan kaum lelaki tersebut terdapat dua orang wanita juga sedang menunggu untuk mengambil air. Dua orang wanita itu adalah anak kepada Nabi Syuib dan mereka ke situ juga untuk mengambil air untuk diberikan kepada kambing-kambing ternakan mereka. Melihat keadaan itu, Nabi Musa telah membantu anak Nabi Syuib mengambil air dari telaga tersebut. Setelah selesai memberikan air kepada kambing-kambing tersebut, anak Nabi Syuib telah mempelawa Nabi Musa untuk pergi ke rumah mereka.
Nabi Musa telah dipelawa untuk tinggal di rumah Nabi Syuib disebabkan Nabi Musa tiada tempat tinggal dan diberi kerja sebagai pembantu memelihara kambing-kambing ternakan sehingga membuatkan Nabi Syuib kagum dengan disiplin Nabi Musa dalam melakukan pekerjaan. Setelah itu Nabi Syuib telah menawarkan kepada Nabi Musa untuk berkahwin dengan salah seorang daripada anaknya dengan ditetapkan maharnya iaitu bekerja dengannya selama sekurang-kurangnya lapan tahun ataupun menempurnakannya sehingga sepuluh tahun. Dalam kisah ini, para ulama telah berhujah sama ada manfaat itu boleh dijadikan sebagai mahar perkahwinan ataupun tidak. 
Imam Abu Hanifah berpendapat hukumnya harus jika bukan khidmat seorang suami yang merdeka kepada isteri yang berstatus hamba. Menurut Imam Malik pula berpendapat ia tidak harus dijadikan manfaat sebagai mahar akan tetapi jika sudah berlaku maka akad itu adalah sah. Manakala mengikut mazhab Hanbali pula, ia harus walaupun ayat ini menjelaskan tentang syariat Nabi Syuib a.s kerana diqiyaskan dengan sewaan ( Wahbah Zuhaili 2005 : 104 ).
Pada furuk fiqh yang lain pula para ulama berselisih pendapat tentang keutamaan kepada jenis haiwan yang akan dijadikan korban. Imam Malik berpendapat bahawa keutamaan haiwan yang akan dijadikan korban adalah kibas kemudian lembu kemudian unta. Pendapat ini berasaskan kepada perbuayan Nabi Ibrahim a.s ketika beliau disuruh mengorbankan anaknya lalu digantikan dengan kibas. Maka Imam Malik berhujah dengan kisah Nabi Ibrahim yang disuruh menyembelih anaknya sehingga tersebut untuk menentukan keutamaan haiwan tersebut. (Wahbah Zuhaili 1998: 878).



6.0     KESIMPULAN
SharcMan Qablana adalah syariat  yang telah ditetapkan oleh Allah Taala kepada umat-umat terdahulu. Syariat tersebut disampaikan  melalui para Nabi dan Rasul  terpilih.
Hukum-hakam terdahulu yang ditetapkan Allah Taala kepada umat-umat terdahulu. Penetapan tersebut adalah melalui para nabi dan rasul yang terpilih, contohnya Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Isa dan juga junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad SAW.


         Sebahagian dari syariat umat-umat terdahulu itu masih diguna pakai, manakala sebahagiannya yang lain telah dimansukhkan.
Selain itu, terdapat juga syariat yang asalnya daripada Allah Taala, namun diselewengkan oleh para jahilin , contohnya : syariat yang dibawa Nabi Musa telah diselewengkan bangsa Yahudi, dan syariat yang diselewengkan tersebut masih kekal sehingga ke hari ini.


            Namun, yang pastinya, syariat Nabi Muhammad adalah terpakai untuk manusia keseluruhannya dan merupakan pelengkap kepada syariat-syariat sebelumnya.
Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad di samping berusaha memeliharanya dari diselewengkan para jahilin yang sememangnya sedaya upaya untuk merosakkan akidah umat Islam.



7.0     RUJUKAN

Abdul Karim Zaidan. 1992. Al-Wajiz Fi Usul Fiqh. Qaherah : Darul Tauziq Wa An-Nashr Al-Islamiah
Muhammad Abu Zahrah. 1997. Usul al-Fiqh. Kaherah : Dar al-Fikr al-Arabi.
Mohd Salleh Haji Ahmad. 1999. Pengantar Syariat Islam. Kuala Lumpur : Pustaka Haji Abdul Majid
Muhammad Sulaiman Abdullah Al-Ashqar. 2001. Al-Wadhih Fi Usul Fiqh. Dar As-Salam
Wahbah  Zuhaily. 2005. Al-Wajiz Fi Usul Fiqh. Beirut : Darul Fikr
Wahbah al-Zuhaily. 2000. Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh. Lubnan: Dar al-Fikr al-Mua'sir.           Kaherah: Dar al-Fikr.
Wahbah Zuhaily. 1986. Usul al-Fiqh al-Islami Jilid 2. Damsyik : Dar al-Fikr.
Wahbah Zuhaily. 1998. Usul al-Fiqh al-Islamiyy. Juzu’ 2. Damshik : Darul Fikh







DISEDIAKAN OLEH :
MUHAMMAD SYAZWI BIN YUSOF 
MOHD SYAZWAN BIN BAKARI 
MUHAMMAD ZAKWAN BIN HALIM 
MOHD SHAFIQ ASHRAF BIN MOHD SHOKRI 


JABATAN SYARIAH
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA